Oleh pada 04 Sep 2017 kategori

Terdapat banyak jumlah bangunan yang tinggi berada di dunia ini. Pada kali ini Iluminasi akan menyenaraikan 10 bangunan paling tinggi di dunia yang telah disenaraikan oleh The Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH) iaitu sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengukur dan mengiktiraf bangunan-bangunan yang tinggi di dunia. CTBUH dipertanggungjawabkan untuk mengukur titik ketinggian sesuatu bangunan yang melibatkan pelbagai aspek dan kategori seperti keluasan lantai,keluasan setiap tingkat,tingkat yang boleh ditambah atau dibuang dari bangunan tersebut. Ukuran tinggi ini juga dapat membantu dalam lalu lintas trafik udara merangkumi kawasan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bandar bandar yang kian berkembang pesat merupakan faktor utama peningkatan pembangunan bangunan tinggi akibat kekurangan tanah dan juga persaingan untuk perkembangan ekonomi sesebuah negara. Fungsi dan cara pembinaan bangunan tinggi ini juga berubah mengikut peredaran masa termasuklah dari segi kos,bahan-bahan binaan dan juga rekabentuk. Pada 20 tahun yang lalu, Amerika Utara  mempunyai 75 peratus bangunan tertinggi didunia tetapi ianya telah beralih ke Asia dan Timur Tengah. Kos pembinaan bangunan-bangunan ini juga telah meningkat kerana kerumitan pendekatan kejuruteraan yang diperlukan untuk menjadikannya lebih tinggi dan lebih tinggi. KLCC dahulunya pernah tersenarai dalam 10 bangunan tertinggi didunia tetapi kini telah digantikan oleh bangunan yang lain. Berikut adalah 10 bangunan tertinggi di dunia.

10. International Commerce Centre, Hong Kong - 1588 Kaki

hong kong international commerce centre

Pusat Perdagangan Antarabangsa yang terletak di Hong Kong ini mempunyai ketinggian 1588 kaki dan terdapat 108 tingkat bangunan yang siap dibina pada tahun 2010. Pada masa itu bangunan pencakar langit ini mendapat tempat yang keempat di dunia dalam kategori bangunan paling tinggi dan kini ia telah tergelincir ke tempat yang ke sepuluh. Bangunan ini juga telah disewa oleh Ritz Carlton, Hong Kong. Bangunan ini juga mempunyai kolam renang dan bar tertinggi di dunia yang terletak di tingkat 108 bangunan tersebut. Bangunan ini juga mempunyai tempat pemerhati, pusat membeli-belah dan restoran mewah.

9. Shanghai World Financial Centre, China - 1614 kaki

shanghai world financial centre

Shanghai World Financial Centre telah siap dibina pada tahun 2008 yang mempunyai ketinggian 1,614 kaki dan terdapat 101 tingkat bangunan. Ia terletak di daerah Shanghai yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit. Bangunan ini digunakan sebagai pusat kewangan dan perdagangan antarabangsa. Bangunan ini mempunyai bilik hotel, pejabat, dewan persidangan, dek pemerhati dan pusat membeli-belah. Menaranya mempunyai rekabentuk dan lubang trapezoid dia atas puncak dan mempunyai ciri kawalan udara yang dikenali sebagai Variable Air Volume (VAV) yang direka khas dengan rangka pepenjuru untuk mengurangkan daya lentur dan mampatan setiap orang yang berada di dalam bangunan, angin dan peralatan berat pada bangunan tersebut. Reka bentuk pencakar langit itu telah diterima secara positif oleh kebanyakkan orang.

8. Taipei 101, Taiwan - 1667 kaki

taipei 101

Taipei 101 mempunyai ketinggian 1667 kaki dan 101 tingkat bangunan ini terletak di bandar Taipei. Strukturnya telah dikenali ramai kerana pernah memegang kedudukan sebagai bangunan paling tertinggi di dunia selepas siap dibina pada tahun 2004. Bangunan ini mempunyai tirai tirai kaca yang cantik berwarna biru kehijauan yang unik di setiap tingkat. Bangunan ini direka bentuk dan dibina oleh C. Y. Lee & Partners dan KTRT Joint Venture. Bangunan pencakar langit ini mempunyai kelenturan dan daya tahan untuk menahan gegaran gempa bumi dan juga ribut. Struktur ini juga telah mendapat anugerah oleh Leadership in Energy and Environmental Design (LEED). Ia merupakan salah satu contoh seni bina postmodern.

7. CTF Finance Centre, China - 1739 kaki

ctf finance centre

Pencakar langit ini terletak di bandar Guangzhou, China dan dikenali sebagai Pusat Kewangan CTF adalah bangunan kegunaan campuran yang merupakan salah satu senarai baru dalam senarai 10 bangunan tertinggi di dunia ini. Ia selesai dibina pada Oktober 2016 dan telah dinobatkan sebagai salah satu bangunan yang mempunyai lif tercepat di dunia. Kelajuan lif tersebut dianggarkan mencapai kelajuan 44.7 batu sejam dan mempunyai 111 tingkat bangunan secara keseluruhan. Pusat membeli-belah terdapat di bangunan ini dan ia juga mempunyai 1705 lot parkir kereta. Bangunan ini juga disediakan rumah pejabat dan terdapat sebuah hotel yang mempunyai 251 bilik pada 6 tingkat teratas.

6. One World Trade Center, Amerika Syarikat - 1776 kaki

one world trade center

Mempunyai ketinggian setinggi 1,776 kaki dan terdapat 104 tingkat bangunan menjadikan One World Trade Center bukan sahaja bangunan tertinggi di bandar New York dan negara Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh Hemisfera Barat. Bangunan ini telah siap dibina pada tahun 2014 dan ia dibina sebagai salah satu peringatan kepada bangunan New York One Trade Centre yang musnah akibat serangan 9/11. Bangunan ini dinamakan seperti bangunan yang asal. Bangunan ini telah direka dengan beberapa ciri khas terutamanya untuk sumber tenaga yang melibatkan penggunaan semula air hujan. Rancangan masa depan One World Trade Centre adalah untuk membina lima tingkat bangunan pejabat  serta tapak peringatan dan muzium 11 September.

5. Lotte World Tower, Korea Selatan - 1819 kaki

lotte world tower

Lotte World Tower terletak di Korea Selatan dan merupakan salah satu senarai terbaru yang dimasukkan dalam kategori 10 bangunan paling tinggi di dunia. Bangunan ini siap dibina pada Mac 2016 dan menjadikannya ia bangunan kelima tertinggi di dunia. Perancangan membina bangunan ini mengambil masa selama 13 tahun dan pembinaan Lotte World Tower bermula pada Mac 2011. Bangunan ini mempunyai 123 tingkat bangunan dan enam di antaranya berada di bawah tanah. Bumbung bangunan tersebut direka khas dan dibina dengan kekuatan seperti itu untuk menahan gempa bumi dengan magnitud sehingga 9 pada skala Richter.

4.  Pang An International Finance Centre, China - 1965 kaki

pang an international finance centre

Pusat Kewangan Antarabangsa Pang An terletak di Shenzhen mempunyai ketinggian setinggi 1965 kaki dan juga merupakan salah satu bangunan yang tertinggi baru dimasukkan dalam senarai ini. Walaupun pencakar langit ini telah dirasmikan pada 2015 namun kerja pembinaannya masih berterusan dan dijangka siap pada tahun 2017. Bangunan ini mempunyai pusat persidangan, hotel dan terdapat juga ruang niaga di dalam sebuah pusat beli-belah mewah pada bangunan ini. Ia juga merupakan pejabat Pang An Insurance. Bangunan  ini menggunakan sejumlah 33 lif berkembar untuk mengakses 115 tingkat bangunan tersebut. 

3. Makkah Royal Clock Tower, Arab Saudi- 1972 kaki

makkah royal clock tower

Bangunan ini juga dikenali sebagai Abraj Al Baitis. Menara Jam Diraja Mekah adalah bangunan ketiga tertinggi di dunia yang mempunyai ketinggian setinggi 1,972 kaki. Bangunan ini terletak di bandar Mekah dan dimiliki oleh kerajaan Arab Saudi. Ia mempunyai sebuah hotel setinggi 120 tingkat dan telah siap dibina oleh Saudi Binladin Group yang merupakan firma pembinaan terbesar di Arab Saudi. Bangunan ini selesai dibina pada tahun 2012, manakala menara jam tersebut direka bentuk oleh firma seni bina Jerman SL Rasch GmbH dan firma Mahmoud. Dimensi jam tersebut mempunyai keluasan 141 kaki persegi dan menjadikannya ia menara jam yang terbesar di seluruh dunia. Selain terdapat bilik-bilik hotel, menara ini juga mempunyai pusat persidangan, sebuah Muzium Islam, sebuah ruang solat yang boleh memuatkan sehingga 10,000 orang, Pusat pemerhatian anak bulan dan pusat membeli-belah lima tingkat. Terdapat 21,000 lampu LED berwarna hijau dan putih yang terletak di bahagian atas jam dan memberi isyarat jika tiba waktu solat. Lampu-lampu ini dapat dilihat dengan jarak pandangan sejauh 19 batu.

2. Shanghai Tower, China - 2073 kaki

shanghai tower

Menara Shanghai mempunyai 121 tingkat bangunan setinggi 2,073 kaki adalah bangunan kedua tertinggi di dunia. Pembinaan Menara Shanghai bermula pada tahun 2006 dan mengambil masa selama lapan tahun tempoh binaan sebelum selesai pada bulan Mac 2014. Bangunan ini juga mempunyai dek pemerhati tertinggi di dunia. Jumlah kos pembinaan bangunan ini adalah sebanyak $ 4.2 bilion. Menara ini terletak di daerah Shanghai dan juga bersebelahan dengan dua menara pencakar langit yang terkenal di dunia di Shanghai iaitu Jin Mao Tower dan Shanghai World Financial Centre. Bangunan ini direka bentuk oleh syarikat senibina Amerika Gensler yang menempatkan hotel dan pejabat. Ia mempunyai sejumlah 1,100 tempat letak kereta dan 320 bilik hotel. Struktur ini mempunyai pemandangan menarik dan unik.

1. Burj Khalifa, Dubai - 2717 kaki

burj khalifa

Burj Khalifa yang pada awalnya dikenali sebagai Burj Dubai merupakan menara atau bangunan yang paling tinggi di dunia yang terletak di Dubai. Bandar Dubai yang kian berkembang pesat kini dalam perancangan untuk membina sebuah menara yang lebih tinggi dari Burj Khalifa ini. Burj Khalifa  mempunyai 163 tingkat dengan ketinggian bangunan sebanyak 2,717 kaki tinggi. Bahan utama bangunan ini dibina daripada keluli dan konkrit dan ia di reka bentuk oleh Owings, Skidmore dan Merrill of Chicago yang juga sebelum ini bertanggungjawab untuk mereka bentuk pencakar langit terkenal seperti Willis Tower dan One World Trade Centre. Syarikat Korea Selatan Samsung C & T juga terlibat dalam menjalankan bidang kejuruteraan serta pembinaan struktur ini telah siap pada tahun 2010.

Bangunan ini merupakan projek yang dibiayai oleh kerajaan Emiriah Arab Bersatu untuk mengalihkan ekonomi negara tersebut dari sumber berasaskan minyak kepada salah satu sumber pelancongan dan perkhidmatan. Bangunan ini mempunyai 30,000 kediaman, 19 menara kediaman, tasik buatan manusia yang berjumlah 30 ekar, taman tema yang bersaiz tujuh ekar, sembilan buah hotel dan pusat membeli-belah. Suprastruktur ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa Emiriah Arab Bersatu dan juga menerima pujian kerana reka bentuknya yang tampak anggun dan menawan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)