Apabila kebanyakan orang memikirkan tentang lebah, mereka membayangkan serangga berwarna kuning dan tompok hitam yang menghurung di sekeliling sarang, menghisap nektar dan mendebungakan bunga setiap hari.
Walau bagaimanapun, sarang tidak kekal selama-lamanya dan sistem navigasi lebah tidaklah sempurna.
Jadi apa yang berlaku apabila lebah sesat jalan? Adakah pembuat madu ini akan menghabiskan sisa hidupnya bersendirian kesepian, ataupun ada pengakhiran yang lebih baik?
BESARKAN TEKS A- A+
Untuk membincangkan dengan tepat, terdapat beberapa ciri lebah lain dan beberapa fakta yang mengejutkan yang dapat memberikan pencerahan.
Bolehkah lebah tersesat jalan?
Ramai di antara kita beranggapan bahawa lebah-lebah tahu di mana lokasi rumahnya dan tidak mempunyai risiko sesat jalan, seperti manusia.
Lebah yang meninggalkan koloninya untuk mencari debunga dan madu adalah lebah pekerja, yang merupakan lebah betina dan bertanggung jawab atas sebagian besar pekerjaan di sarang.
Dalam purata koloni lebah madu, terdapat 20,000 hingga 80,000 lebah pekerja betina, beberapa ratus lebah drone jantan dan seekor ratu lebah.
Lebah drone jantantidak mempunyai tanggungjawab lain selain daripada mengawan dengan ratu dan tidak mempunyai sengat, serta tidak meninggalkan sarang atau koloni.
Walaubagaimanapun, bagi lebah pekerja betina (lebah yang biasanya ditemui di taman-taman) meneruskan hidup di luar koloni adalah sangat penting.
Lebah ini mempunyai jangka hayat hanya 2 bulan secara purata.
2 minggu pertama lebah ini dihabiskan dengan bekerja di dalam sarang, jadi apabila ia meninggalkan sarang, lebah pekerja tidak mahu membuang masa.
Mujurlah, lebah-lebah mempunyai cara yang luar biasa untuk menavigasi ke seluruh dunia tanpa tersesat. Ia menggunakan matahari sebagai titik tetap dan mengekalkan sudut berhubung dengan matahari.
Ketika mencari makanan, seekor lebah akan mencari sumber makanan, kemudian kembali ke sarang dalam garis lurus, di mana ia akan terlibat dalam tarian pendek untuk memberitahu lebah lain di mana makanan itu ditemui.
Pakar-pakar tidak pasti bagaimana lebah mampu berkomunikasi menggunakan matahari memandangkan pergerakan dan penempatan matahari berubah-ubah sepanjang tahun, tetapi mereka percaya ia mempunyai kaitan dengan sesungut di atas kepala lebah tersebut.
Ini digabungkan dengan peta mental yang sangat tepat mengenai persekitaran terdekat, yang dibentuk oleh serangga ini selepas melakukan beberapa penerbangan keluar dari koloni.
Kebolehan dan keupayaan ini cukup untuk menghalang lebah daripada tersalah atau tersesat jalan.
Walau bagaimanapun, jika seekor lebah dialihkan dari persekitaran normalnya sebagai contoh, terperangkap di dalam kereta dan dibawa sejauh 200 kilometer dari koloni.
Atau jika sarang lebah dihancurkan sepenuhnya disebabkan oleh bencana alam atau aktiviti manusia, lebah ini pastinya terpaksa mencari cara untuk bertahan hidup.
Jika ia tak dapat mencari jalan pulang atau tiada lagi rumah untuk pulang, apa yang akan ia lakukan?
Mampukah lebah bertahan hidup di luar sarang?
Bagi yang tak tahu, hanya sekitar 10% daripada lebah sahaja yang hidup dalam koloni dan sarang biasa.
Sebilangan besar lebah di seluruh dunia dikenali sebagai "lebah bersendirian" dan menjalani hidup bersendirian atau dalam suasana masyarakat yang sangat kecil dengan lebah lain dari spesies yang sama yang juga bersendirian.
Terdapat antara 20,000 dan 30,000 spesies lebah bersendirian di seluruh dunia dan ia memainkan peranan kritikal dalam pendebungaan, sama seperti lebah yang hidup dalam koloni, lebah bersendirian tidak mendapat pengiktirafan yang sama.
Oleh itu, pada peringkat asas, lebah mampu bertahan di luar suasana sarang, tetapi untuk lebah madu (lebah koloni), ia hidup untuk melayan ratu.
Jika lebah madu kehilangan sarangnya atau dipisahkan dengan jarak yang jauh tanpa peluang untuk kembali, mungkin ia akan cuba masuk ke sarang lain.
Pada ketika ini, ia bergantung sepenuhnya kepada jenis lebah yang terlibat, kesihatan sarangnya, sama ada lebah asing membawa nektar dan debunga ke sarang, dan sama ada lebah tersebut memiliki banyak feromon.
Terdapat fenomena yang dipanggil "honeybee drift", yang sangat umum apabila sarang-sarang rapat antara satu sama lain.
Pada dasarnya, setiap sarang adalah unik dan setiap lebah dari sarang itu ditandai dengan tandatangan kimia. "Drifters" dari koloni lain boleh dibenarkan masuk, jika lebah pengawal dari koloni baru membenarkannya.
Sekitar 10% daripada lebah dewasa bekerja sebagai pengawal untuk sarang, memeriksa mana-mana pelawat asing apabila ia tiba, sama ada menghalau atau membenarkan lebah tersebut masuk.
Jika pengawal mengiktiraf tandatangan kimia, atau jika lebah berasal dari koloni yang saling berkaitan, ia akan dibenarkan masuk.
Jika lebah berbeza spesis atau serangga lain seperti tebuan cuba untuk masuk, kemungkinan besar ia akan dihalau atau dibunuh.
Tambahan pula, lebah penyerang adalah berbeza daripada lebah drifter atau lebah migran, kerana ia hanya cuba masuk untuk mencuri madu.
Lebah pengawal juga akan menangkis penceroboh ini.
Menariknya, ketika terdapat sumber yang banyak dan berdekatan, kemungkinan besar lebah pengawal akan membenarkan lebah asing masuk, walaupun ia bukan dari koloni yang sama atau tidak berkait rapat.
Tetapi dengan syarat, iaitu lebah tersebut sanggup menyumbang kepada sarang dan tidak mencuri sumber, maka ia mungkin dibenarkan untuk tinggal di situ.
Jika sarang dimusnahkan sepenuhnya, bermakna ratu lebah dan semua larva lebah hilang, maka tidak ada cara untuk memulakan semula koloni dan menyelamatkannya.
Dalam kes sarang hancur sebahagian atau ratu lebah mati, ratu baru boleh dimasukkan, di mana lebah drone dan pekerja sekali lagi akan bersatu.
Jika ini tidak boleh berlaku, cubaan untuk bergabung dengan koloni yang lain adalah satu-satunya pilihan untuk lebah madu. Jika tidak, ia akan kehilangan makanan dan mungkin kelaparan.
Lebah penyangak atau drifter mungkin bertuah dan diterima masuk ke koloni lain, tetapi dalam kajian formal, hanya kira-kira 30% lebah asing yang diterima melalui sempadan yang ketat ini.
Kesimpulan
Sekiranya anda ternampak seekor lebah yang berlegar-legar di sekeliling meja makan anda, biarkan sahaja. Ini kerana lebah ini diserang dari pelbagai sudut dan hidupnya sedang susah.
Juga, jangan sangkakan bahawa setiap lebah yang anda lihat tergolong dalam mana-mana sarang berdekatan. Mungkin ia hidup bersendirian, tetapi masih penting untuk kerja-kerja pendebungaan.
References
1. California State University
3. Science
4. JSTOR