Pastinya sesetengah daripada kita pernah mengalami situasi di mana cermin kereta retak akibat dihentam oleh batu kecil atau objek lain.

Cuba bayangkan perkara ini berlaku terhadap pesawat yang sedang terbang dengan kelajuan yang sangat dahsyat dengan tekanan udara yang lebih tinggi.

Apa yang akan berlaku?

Dalam dunia penerbangan , sesuatu serangan itu berlaku apabila seekor burung secara tiba-tiba melintasi trajektori atau laluan kapal terbang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Biasanya, ini akan memberikan pengakhiran yang buruk bagi burung tersebut. 

Pertembungan di antara burung dan pesawat bukan sesuatu yang jarang berlaku, walaupun anda tak pernah melihat berita seperti ini di mana-mana akhbar.

kapal terbang langgar burung eksiden

Pada tahun 2017, pesawat Jepun Airlines ke New York terpaksa membuat pendaratan kecemasan akibat dilanggar burung. 

Sebuah lagi pesawat terpaksa kembali ke Lapangan Terbang Cardiff di Wales selepas seekor burung menghentam enjin pesawat. 

Pada tahun 2016 terdapat 1,835 serangan burung yang disahkan di UK sahaja, iaitu kira-kira 8 daripada setiap 10,000 penerbangan.

Ini boleh memberi impak besar kepada syarikat penerbangan kerana pesawat yang diserang oleh burung perlu diperiksa dengan teliti untuk apa yang dikenali sebagai kesan kerosakan yang tidak dapat dilihat, yang mungkin menjadi berbahaya jika tidak dapat dikesan.

Daripada semua pertembungan, hanya kira-kira 5% sahaja yang mengakibatkan kerosakan pesawat.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, semua kapal terbang yang terlibat dalam pertembungan ini terpaksa kembali ke lapangan terbang terdekat, penumpang harus turun dan ditempah ke penerbangan lain dengan krew baru, yang mana semua ini boleh memberi kesan besar kepada operasi syarikat penerbangan itu.

Sangat sukar untuk mengetahui kos tidak langsung, tetapi kerajaan Kanada menganggarkan bahawa di Amerika Utara, masalah ini menyebabkan kos sekitar RM2 bilion. 

Kesan hentaman burung

keadaan pesawat selepas dihentam burung

Biasanya, burung tidak terbang terlalu tinggi.

Satu kajian pada tahun 2006 melaporkan bahawa tiga perempat daripada serangan burung berlaku di bawah 150 meter, apabila kapal terbang berada dalam fasa awal berlepas, atau pada fasa terakhir pendaratan.

Kelajuan pesawat lebih perlahan pada ketika ini, gear pendaratan mungkin dibuka dan oleh itu perubahan arah sangat sukar dilakukan.

Hasilnya bergantung pada bahagian pesawat yang terkesan. Pesawat direka untuk menahan kuasa atau daya yang luar biasa, dan walaupun para jurutera berwaspada, tiada apa yang perlu dibimbangkan. 

Sebagai contoh, enjin pesawat direka dengan rekaan yang begitu kuat.

Kriteria pensijilan mengenakan peraturan bahawa pesawat besar harus menahan impak terhadap semua jenis burung yang memiliki berat lebih dari 3.5kg tanpa sebarang serpihan yang tajam dan laju keluar daripada enjin.

cermin kanopi pesawat retak selepas bertembung dengan burung

Sebenarnya, kebanyakan enjin boleh bertahan dan hanya mengalami kerosakan kecil pada bilah, jika apa-apa spesis burung yang memasukinya.

Serangan burung terhadap enjin sebanyak 2 kali dilihatkan sebagai tidak mungkin berlaku, tetapi jika satu enjin gagal berfungsi akibat serangan burung, itu masih tidak menimbulkan masalah besar.

Ini kerana semua pesawat direka untuk berfungsi dengan baik walaupun satu enjin mengalami kerosakan. Malah, kebanyakan pesawat diperakui mampu terbang jauh walaupun dengan satu enjin sahaja.

Jika mengalami serangan burung, bukan enjin sahaja yang berisiko mengalami kerosakan, tetapi tingkap kokpit juga boleh terancam.

Walau bagaimanapun, panel ini biasanya dibuat daripada tiga lapisan akrilik dan kaca berlamina, yang direka untuk menahan hujan batu.

Jadi, pada amnya hentaman burung bukanlah masalah yang besar. Kehadiran lapisan berganda memastikan pesawat tetap bertekanan, sekiranya lapisan paling luar rosak.

Di samping itu, juruterbang dilatih untuk menghidupkan pemanasan tetingkap (biasanya digunakan untuk mencegah ais daripada terbina di altitud yang tinggi) sebelum berlepas, menjadikan tingkap lebih lembut dan kurang rapuh jika berlaku impak.

"Miracle on the Hudson"

miracle on the hudson

Terdapat banyak kes kejadian pesawat dihentam burung, tetapi yang mendapat banyak perhatian adalah kes Penerbangan AS Airways 1549.

Pada 15 Januari 2009, sebuah pesawat (Airbus 320) membuat pendaratan ketika enjin pesawat tidak berfungsi di Sungai Hudson selepas dilanggar oleh kawanan burung sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang LaGuardia di New York City.

Sungguh luar biasa, tidak ada korban jiwa dilaporkan. Tidak hairan mengapa kejadian ini dikenali sebagai "Keajaiban di Hudson".

Pencegahan dan pengesanan kerosakan

kesan pelanggaran burung dengan pesawat 2

Untuk memastikan tidak ada burung yang mengalami nasib yang begitu dahsyat, lapangan terbang juga telah mencuba pelbagai langkah untuk menghalang haiwan ini daripada mendekati pesawat.

Rakaman bunyi burung, penghalau burung yang menghasilkan bunyi kuat dan pancaran cahaya digunakan untuk menghalang burung daripada bertembung dengan pesawat.

Langkah-langkah ini berfungsi dalam jangka pendek, tetapi biasanya burung cenderung membiasakan diri dengan gangguan baru seperti ini dalam masa yang singkat.

Selain itu, burung memang diketahui untuk sukakan lapangan terbang.

Banyak kawasan kosong yang hijau dikelilingi oleh pokok-pokok dan sampah berdekatan sangat menarik perhatian hidupan liar.

Seringkali dicadangkan bahawa enjin harus dipasangkan gril pelindung seperti pada bamper hadapan kereta, tetapi ini bukan penyelesaian yang mudah.

cermin kanopi pesawat retak selepas bertembung dengan burung 2 29

Isu utama adalah untuk menyekat burung secara berkesan pada 800km/j, gril tersebut harus kuat dan tebal, tetapi ini akan mengganggu udara yang mengalir ke dalam enjin.

Enjin adalah mekanisma yang cekap kerana ia direka dengan baik untuk mengeksploitasi udara yang sangat nipis yang terdapat pada ketinggian, jadi kelemahan gril perlindungan jauh melebihi manfaatnya.

Dan semakin banyak pesawat komersial dikhuatiri mengalami masalah ini, industri penerbangan sedang mencari cara atau sistem untuk memberitahu juruterbang tahap kerosakan dan impak yang berlaku.

Jadi. ini membolehkan mereka tahu sama ada untuk meneruskan penerbangan atau tidak.

Para penyelidik di Cardiff, universiti-universiti Imperial di UK dan di seluruh dunia sedang berusaha menghasilkan sensor dan bahan yang berbeza yang dapat menilai sendiri tahap keselamatan pesawat, dan sama ada berpotensi menamatkan penerbangan yang terganggu.

Idea ini adalah untuk membangunkan sistem berkuasa rendah, ringan dan tanpa wayar yang boleh mengesan lokasi serta tahap kerosakan.

Ia mungkin mengambil masa lebih daripada sedekad untuk mengesahkan sistem itu, tetapi jika ia berhasil, tugas juruterbang akan menjadi lebih mudah.

Jika mereka perlu mendarat, pihak penyelenggara akan tahu apa yang perlu diperiksa dan alat ganti akan sampai sebelum pesawat tiba di lapangan terbang.

Tetapi selagi sistem ini belum dihasilkan, pencegahan, reka bentuk, dan juruterbang yang terlatih adalah pertahanan utama kita terhadap serangan burung.

Rujukan:

1. Telegraph

2. Slate

3. Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)