Oleh pada 14 Jun 2018 kategori

Dengan penayangan episod 19, maka berakhirlah slot samarinda yang mempertontonkan drama Nur yang kini tular di media sosial terutamanya Facebook. Nur adalah satu siri yang sangat di luar norma drama tipikal Malaysia, menceritakan tentang hubungan dua darjat di antara seorang ustaz dan seorang pelacur.

Dilakonkan oleh Syafiq Kyle sebagai Ustaz Adam dan Amyra Rosli sebagai Nur, drama ini mendapat sambutan yang sangat hangat dengan tontonan lebih daripada 9 juta di seluruh Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 122

Ia merupakan drama yang sarat dengan mesej yang menyentuh realiti kehidupan masyarakat Malaysia dari pelbagai segi, membuatkan penonton begitu dekat dan terkesan dengan setiap adegan yang dilakonkan.

Turut membantu adalah Datuk Jalaludin Hassan, Azhar Rani, Noorkhiriah , Riena Diana , Kuna Mazani, Zaidi Omar, Raja Atiq, Elmy Moin dan ramai lagi. Dengan itu, iluminasi.com ingin kongsikan dengan para pembaca 10 perkara yang boleh kita pelajari melalui drama Nur.

1. Hidayah milik allah

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 02

Menurut pandangan penulis, ini adalah antara perkara utama yang ingin disampaikan oleh pengarah kepada penonton. Hidayah adalah cahaya petunjuk Allah ke arah jalan benar dan diredhai.

Jelas dipaparkan dalam drama ini bahawa Nur yang merupakan seorang pelacur yang dipandang keji dan hina oleh masyarakat, digerakkan hatinya untuk mencari Allah yang dimulakan dengan bertanyakan soalan setiap pagi pada waktu subuh di masjid. 

Jadi maka benarlah Allah memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, tanpa mengira siapa dan masa lampau hamba-Nya.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 03

Seperti yang dihadapi oleh Nur, walaupun dia menerima hidayah, namun ia tidak semudah ABC. Allah hanya menggerakkan hatinya, tetapi dia tetap harus berusaha mencari dan mengenal Allah, kerana Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan diubah sendiri.

Dan apabila menerima cabaran dalam mencari Allah, dia seolah-olah berputus asa, dan perkara ini dijawab oleh Adam dengan mengatakan bahawa Allah sangat sukakan hambanya yang merintih kepada-Nya.

Di episod yang terakhir, ibu Nur, Mona, telah meninggal dunia. Namun sebelum menghembuskan nafas, Mona yang sebelum itu tidak percaya akan kewujudan Allah disebabkan oleh dugaan hidup yang dihadapinya, telah mengaku bahawa dia percaya yang Allah itu wujud dan menyebut kalimah "Allahuakhbar" (Allah Maha Besar). 

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 060

Siapa sangka, seorang wanita yang sepanjang hidupnya bekerja sebagai pelacur, diberikan peluang menghembuskan nafas dengan mengucapkan nama Allah, yang mana mungkin lebih baik daripada kita yang berasa diri beriman. 

Hidayah bukan sahaja boleh diberikan, tetapi juga boleh ditarik balik. Jadi, janganlah kita berasa lebih baik daripada orang lain apabila melihat mereka yang berbuat maksiat, sebaliknya menasihati untuk kebaikan bersama.

2. Jangan gunakan agama utk kepentingan peribadi 

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 09

Pastinya semua penonton yang berasa sangat geram dengan watak antagonis dalam drama ini, tak lain tak bukan Ustaz Syed Hamadi. Watak yang dibawa oleh pelakon Azhar Rani menggambarkan seorang penunggang agama ini sangat berkesan sehingga membuatkan ramai memaki hamun.

Namun, ada juga yang mengkritik pengarah yang seolah-olah menjatuhkan imej seorang ustaz dengan menggambarkan seorang ustaz berperwatakan munafik. Ustaz Hamadi berpura-pura menjadi seorang ustaz dan dilantik menjadi pengetua sekolah tahfiz Darul Mukhsin.

Di sinilah dia menunjukkan watak sebenarnya dengan menyeleweng wang yang diamanahkan mengendalikan Darul Mukhsin untuk kegunaan peribadi termasuklah membayar yang pendahuluan membeli kereta baru.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 4

Dia langsung tidak menghiraukan kebajikan pelajar-pelajar dan hanya mementingkan diri sendiri, menyebabkan pelajar-pelajar di sekolah terbabit kelaparan.

Walaupun pahit untuk ditelan, perkara ini sememangnya berlaku dalam masyarakat kita di mana terdapat segelintir yang menggunakan agama untuk kepentingan peribadi.

Tidak perlu dihuraikan perkara ini dengan lebih panjang kerana ia agak sensitif, namun diharapkan ia diperang habis-habisan bagi tidak mencemarkan nama Islam ke tahap yang lebih membimbangkan.

3. Jangan cepat menghakimi dari luaran

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 01

Juga merupakan antara mesej utama dalam drama Nur adalah supaya kita tidak menghakimi manusia berdasarkan luaran semata-mata. Perkara ini juga ditonjolkan oleh beberapa watak.

Antaranya adalah watak Hamidi yang merupakan seorang "ustaz" merangkap pengetua sekolah tahfiz, berpakaian lengkap dengan berserban pada siang hari, namun merupakan kaki perempuan yang melanggan pelacur di malam hari.

Luaran membawa identiti agama tetapi di dalam sangat menyimpang jauh.

Dan walaupun Nur berasal dari keluarga kurang dari segi agama, bekerja sebagai pelacur pada awanya apatah lagi untuk menutup aurat, namun dia mempunyai hati yang baik, hormat kepada ibunya, mencari rezeki yang halal dengan membasuh pinggan dan sentiasa ingin berubah.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 2

Berbanding Aisyah yang dibesarkan dalam keluarga yang penuh dengan ciri-ciri keagamaan dan bertudung labuh, namun mempunyai perasaan dengki, iri hati, memfitnah, melawan cakap ibu bapa, terlalu mengejarkan dunia dan sanggup melakukan apa saja untuk mencapai apa yang diinginkan.

Dalam masyarakat kita pada hari ini, kita terlalu suka dan cepat untuk menghukum sesuatu perkara tanpa selidik dan mengetahui masalah disebalik sesuatu perkara. Kita lebih suka menuduh, daripada menghulurkan bantuan.

Kita sering membuat kesimpulan berdasarkan apa yang dilihat, dan bukan dengan mengetahui perkara sebenar, kerana itu adalah lebih mudah. Siapa tahu, orang yang kita hakimi dan tuduh itu sebenarnya memerlukan bantuan kita, yang mana boleh menjadikan keadaan lebih baik.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 10

Nur tidak minta untuk dilahirkan dalam keluarga sebegitu, namun nasibnya membuatkan dia terjerumus ke lembah maksiat. Dan hanya disebabkan itu, kita yang bernasib baik terus menghukum.

Kita tidak mempunyai hak untuk menghakimi sesama manusia kerana kita tidak tahu apa yang berlaku dalam hidup seseorang. Dan seperti yang dijelaskan oleh Nur ketika hari pertama memakai tudung, dia sebenarnya sudah lama ingin memakai tudung namun tidak kesampaian kerana pekerjaannya.

4. Jodoh adalah rahsia Allah

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 08

Ramai di antara kita yang sedia tahu bahawa jodoh, rezeki dan ajal sudah ditentukan sejak sebelum kita dilahirkan lagi. Namun apabila sesuatu perkara tidak berjalan lancar mengikut apa yang kita mahu, kita mula menyalahkan takdir.

Adam merupakan seorang ustaz, ditakdirkan untuk memperisterikan seseorang yang tak pernah disangka-sangka, iaitu seorang pelacur. Jika menurut adat, ia adalah seperti langit dan bumi.

Bagaimana seorang ustaz yang dipandang tinggi oleh masyarakat, ditakdirkan untuk berkahwin dengan pelacur yang jijik di mata masyarakat. 

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 12

Walaupun begitu, ia tidak mustahil berlaku dalam dunia sebenar kerana jodoh itu misteri Allah. Dalam drama ini, Allah menghantar Adam untuk membimbing Nur ke jalan yang benar.

Jodoh tak semestinya kekal dan bahagia. Kadang-kadang Allah menghantar seseorang itu untuk menguji keimanan kita. Juga kadang-kadang untuk menjadikan diri kita lebih baik, malah ada yang mendapat jodoh yang bermasalah, semata-mata untuk memperbaiki pasangannya. 

Lakukan yang terbaik dan selebihnya serahkan kepadaNya.

5. Redha itu menenangkan

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 13

Redha. Perkataan yang selalu kita dengar dan sebut, namun tak pernah kita hayati maksudnya, sehinggalah kita benar-benar diuji Allah. Seperti firman Allah dalam surah Al-ankabut ayat 2 yang bermaksud:

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ”Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?"

Kita sebagai umat Islam, yang melakukan segala perintah Allah, sering sudah berasa kita telah beriman kepada Allah, namun belum diuji.

Dan apabila diuji dengan begitu dahsyat, barulah kita akan tahu sama kita benar-benar beriman dengan percaya akan ketentuan Allah yakni redha, ataupun menyalahkan takdir.

Bukan mudah untuk meredhakan sesuatu yang berlaku dalam hidup yang bertentangan dengan pegangan kita. Berapa ramai di antara kita yang boleh menarik nafas panjang dan meredhakan sesuatu yang berlaku seperti mana dihadapi Musalmah? 

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 1

Tak perlu diperjelaskan mengenai watak Musalmah, kita tahu bahawa dia adalah seorang yang memahami tentang agama. Namun di saat Adam mengahwini Nur, ketika itulah imannya diuji dengan begitu kuat.

Dan walaupun dia cuba sedaya upaya untuk redha iaitu menerima Nur, namun dia tidak mampu yang membuatkan hidupnya sentiasa dibelenggu kegelisahan. Jika kita belajar untuk redha dan melepaskan sesuatu, kita akan melihat dunia dengan persepsi yang lebih indah dan manis serta tidak bersangka buruk terhadap Allah.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 04

Watak Qhadeeja harus dipuji kerana akhirnya dia redha dengan ketentuan bahawa Adam bukanlah jodohnya, membuatkan hidupnya lebih tenang. Dan yang pastinya, segala ujian yang dikenakan ke atas hamba-Nya tidak akan melebihi apa yang termampu.

6. Jangan berhutang kerana nafsu

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 22

Untuk memenuhi nafsu, Ustaz Hamadi menggunakan wang Darul Mukhsin untuk membayar pendahuluan kereta barunya. Dan apabila tidak mampu membayar kembali, wang tersebut, Ustaz Hamadi terpaksa berhutang pula dengan ceti haram.

Wang ceti haram tersebut pula dibayar menggunakan wang yang dipinjam daripada pinjaman "patuh syariah". Akhirnya, hutang menjadi RM100,000 dan tak termampu untuk dibayar.

Di sini, kita harus mengambil iktibar supaya tidak berhutang untuk memenuhi nafsu dan keinginan kita.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 23

Hakikatnya, perkara ini berlaku secera berleluasa dalam masyarakat kita di mana pinjaman peribadi dilakukan untuk melunaskan nafsu dengan membeli kereta, melangsungkan perkahwinan besar-besaran dan sebagainya.

Berhutang adalah harus hanya jika kita memerlukan, wajib jika tidak berhutang boleh memudaratkan diri, dan haram jika untuk perkara maksiat. Malah, Nabi Muhammad S.A.W sendiri pernah berhutang untuk membeli makanan dari seorang peniaga Yahudi.

Baginda turut mencagarkan baju besinya. Ini terdapat di dalam hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari.

7. Kuasa suami tidak menghalalkan perkara haram

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 06

Syurga isteri di bawah telapak kaki suami, yakni isteri yang diredhai suami mudah untuk masuk ke syurga. Dan sebagai isteri, sangat mudah untuk masuk ke syurga dengan hanya melakukan 4 perkara ini, iaitu Solat Fardhu 5 Waktu, Berpuasa Di Bulan Ramadhan, Menjaga Kehormatan Diri dan taat kepada perintah suami.

Antara yang paling sukar untuk dilakukan adalah taat kepada perintah suami. Namun, tak semestinya segala arahan dan perintah suami harus dituruti, lebih-lebih lagi perkara yang melanggar syarak.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 0 253

Ini merujuk kepada tindakan Aisyah yang menuruti segala arahan Ustaz Hamadi termasuklah bersubahat dalam merancang untuk menceraikan Adam dan Nur, memfitnah Ustaz Yassin dan banyak lagi.

Dan bagi pihak suami (Ustaz Hamadi) pula, adalah sangat tidak patut untuk menggunakan istilah "isteri derhaka" setiap kali isteri tidak menurut perintahnya. Isteri bukanlah robot yang boleh diperintah, sebaliknya memerlukan kasih sayang seorang suami.

8. Amalkan apa yang dipelajari daripada al-Quran

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 111

Membaca dan menghafal Al-Quran bukanlah semata-mata untuk digunakan ketika solat dan urusan-urusan agama yang lain. Ia sebenarnya harus dipraktikkan ke dalam kehidupan seharian kita, menepati tujuan utama ayat-ayat Al-Quran diturunkan ke bumi yakni untuk membimbing kehidupan manusia ke jalan yang benar.

Tidak ada gunanya jika kita menghafal Al-Quran sekalipun namun ianya tidak digunakan dalam menjalani kehidupan yang patuh kepada perintah Allah. Sebagai contoh, Mirul yang merupakan seorang pelajar tahfiz, sering termakan hasutan Aisyah tentang Aisyah.

Mirul mempunyai prasangka buruk kerana terpengaruh dengan tuduhan Aisyah bahawa Nur telah melakukan perbuatan sihir kepada keluarga Adam, sehinggakan mencurigai makanan yang dimasak Nur. 

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 00

Ini bertentangan dengan firman Allah سبحانه وتعالى :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 12)

Antara kisah yang menunjukkan pentingnya kita beramal dengan ayat Quran adalah kisah Saidina Umar Al-Khattab. Sahabat Rasulullah S.A.W ini mengambil masa terlalu lama untuk menghafal surah al-Baqarah, iaitu selama 9 tahun. 

Mengapa terlalu lama? Ini kerana beliau beramal dengan setiap satu daripada ayat dalam surah ini, sebelum beralih kepada ayat lain. 

9. Masuk syurga bukan disebabkan amalan baik

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 24

Sesungguhnya segala amalan baik yang kita lakukan di dunia ini tidak menjamin untuk kita ke syurga, tetapi kita masuk ke syurga disebabkan oleh rahmat Allah S.W.T.

Ini merujuk kepada perbualan di mana Adam bertanyakan kepada Tok Siak masjid adakah orang-orang alim sahaja yang akan masuk ke syurga. Pertanyaan tersebut dijawab oleh Tok Siak dengan jawapan "Ya, orang-orang macam kita".

Adam kemudiannya menjawab, "Yang masuk syurga nanti adalah orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang beriman tak semestinya orang alim macam kita,".

Sebanyak mana sekalipun amalan kita, jika ia tidak mendapat rahmat daripada Allah, kita tidak layak untuk ke syurga. 

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.” Para sahabat bertanya; “Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Ya, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya padaku, oleh kerana itu berlaku luruslah dan bertaqarublah (dekatkan diri dengan Allah) dan janganlah salah seorang dari kalian mengharapkan kematian, jika dia orang baik semoga saja boleh menambah amal kebaikannya, dan jika dia orang yang buruk (akhlaknya) semoga boleh menjadikannya dia bertaubat.” (Sahih Bukhari, no. 5241)

Dan terdapat satu kisah yang mana seorang ahli ibadah yang ingin masuk ke syurga menggunakan amalannya:

Dari Jabir bin Abdullah, dia berkata: “Suatu hari kami keluar bersama Rasulullah S.A.W. Di tengah perjalanan Rasulullah bersabda: “Sebentar tadi Jibril datang kepadaku, dia berkata: “Wahai Muhammad, dahulu kala Allah mempunyai seorang hamba yang sangat soleh. Dia beribadah kepada Allah selama lima ratus tahun. Seluruh hidupnya dia abdikan hanya kepada Allah. Dia tinggal di puncak sebuah gunung yang terletak di tengah lautan. Luas dan tinggi gunung tersebut sekitar tiga puluh hasta, sementara lautnya terbentang luas sekitar empat ribu farsakh.

Tidak jauh dari tempat dia beribadah, di kaki gunung, keluarlah air tawar sebesar jari yang keluar dari celah-celah batu sebagai tempatnya menghilangkan rasa haus. Di tempat tadi juga ada sepohon delima yang setiap malam mengeluarkan buahnya. Apabila petang hari tiba, dia turun dari puncak gunung menuju kepada air tawar tadi untuk mengambil wudhu’ sekaligus minum dan makan buah delima sebagai mengisi perutnya yang kosong. Setelah itu dia kembali beribadah. Demikianlah rutinnya sehari-hari.

Suatu hari dia memohon kepada Allah agar dimatikan dalam keadaan sujud, lalu Allah mengabulkan permohonannya itu, dia pun mati dalam keadaan sujud. Ketika dia sudah berada di hadapan-Nya (pada hari Kiamat), Allah kemudian berfirman: “Wahai hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku.” Hamba itu menjawab: “Ya Allah, aku masuk syurga kerana amalku, bukan kerana rahmat-Mu.” Allah kembali berfirman: “Wahai hamba-Ku, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku.” Hamba tadi kemudian menjawab kembali: “Ya Allah, bukan kerana rahmat-Mu aku masuk ke dalam syurga, melainkan kerana ibadahku. Aku habiskan seluruh umurku hanya untuk beribadah kepada-Mu.”

Allah lalu berfirman: “Hamba-Ku ini membandingkan nikmat yang telah Aku berikan dengan amal ibadah yang telah dilakukannya. Ketahuilah wahai hamba, nikmat penglihatan sahaja yang Aku berikan kepadamu itu cukup untuk membalas amal ibadahmu yang lima ratus tahun itu, belum lagi dengan nikmat-nikmat-Ku yang lain.” Allah berfirman lagi: “Baiklah wahai hamba, mendekatlah dan jawablah pertanyaan-pertanyaan-Ku ini. Wahai hamba, siapakah yang telah menciptakanmu dari tiada?” Hamba itu menjawab: “Engkau ya Allah.” Allah kembali bertanya: “Siapa yang memberimu kesihatan sehingga kau dapat beribadah selama lima ratus tahun?” Hamba itu kembali menjawab: “Engkau ya Allah.”

Allah kembali bertanya: “Siapa yang menempatkanmu di tengah lautan sehingga kau dapat beribadah dengan tenang? Siapa pula yang telah mengeluarkan air tawar sebagai tempatmu minum padahal kau berada di tengah lautan yang masin airnya? Siapa pula yang telah mengeluarkan buah delima dari pohonnya yang selalu berbuah setiap hari sebagai makananmu padahal buah itu (sepatutnya) ada setahun sekali? Siapa pula yang mematikanmu ketika kau sedang sujud?” Hamba itu menjawab: “Engkau ya Allah.” Allah kembali berfirman: “Semua itu adalah rahmat-Ku, dan kerananya (rahmat) pula Aku memasukkanmu ke syurga. Engkaulah hamba-Ku yang paling beruntung, kerananya masuklah ke dalam syurga.” Hamba itu kemudian masuk ke dalamnya (syurga).”

(Riwayat Al-Hakim, sanadnya sahih)

10. Terus melakukan kebaikan walaupun dikeji manusia

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 11

Kita hidup dalam zaman di mana apabila kita melakukan sesuatu yang baik dan betul, ia lebih mengundang kejian dan cacian. Perkara ini sangat memberikan impak yang buruk di mana ia menjadikan melakukan perkara yang betul, sebagai sesuatu yang salah, dan sebaliknya.

Dan dalam situasi ini, kita harus istiqamah dalam melakukan perkara yang baik, yang mana digambarkan oleh watak Nur. Nur yang cuba berubah terpaksa solat di celah-celah lorong, bagi mengelakkan perbuatannya diketahui ibunya.

Dia melakukan sedemikian kerana pernah dipukul ibunya apabila Mona menemui keratan-keratan majalah yang berunsurkan kegamaan.

Walau siapa pun yang menentang dan menghalang, jangan pernah berhenti berbuat kebaikan walaupun sekecil zarah, kerana kita tidak tahu mungkin kebaikan sekecil zarah itu yang akan memberatkan timbangan kita untuk masuk ke syurga.

Ekstra

11. Peranan seorang ayah dalam keluarga

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 35

Tidak lengkap jika penulis tidak mengulas mengenai Datuk Jalaludin Hasan dalam drama ini yang membawa watak sebagai Datuk Haji Mukhsin, seorang penceramah yang juga merupakan bapa kepada Adam dan pemilik Darul Mukhsin.

Selain arif dari segi agama seperti yang diketahui, watak ini harus dipuji kerana ia mencerminkan seorang ayah yang sangat bertanggungjawab, bertolak ansur dan bijak dalam mengawal situasi dalam rumah tangga.

Beliau sangat tenang dan berfikir menggunakan iman berbanding akal fikiran apabila mengetahui melalui Adam bahawa Nur adalah seorang pelacur. Beliau tidak menghukum, malah menyuruh Adam untuk mencari Nur.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 100

Selain itu, Datuk Mukhsin seorang yang penyabar dengan kelakuan isteri, Musalmah dan anaknya, Aisyah.

Wanita sememangnya sukar mengawal emosi apabila sesuatu yang tidak enak berlaku, dan di sinilah kaum hawa sangat memerlukan makhluk yang diberi kesabaran dan akal fikiran yang lebih baik, sebagai ketua keluarga dalam.

Jika rosak nakhoda, makan karamlah kapal. 

12. Jangan pernah penat untuk berdoa

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 37

Dan akhir sekali, penulis ingin menekankan kepentingan berdoa. Seperti yang umum tahu bahawa doa adalah senjata umat Islam. Jika difikirkan secara logik, mengapa kita harus berdoa, sedangkan Allah mempunyai sifat Maha Mengetahui. 

Sudah tentu Dia mengetahui apa yang ada di dalam hati kita, oleh itu apa signifikannya sebuah doa? Ya memang Allah tahu apa yang tersirat dalam hati sanubari kita, tetapi Dia mengajarkan dan meminta kita berdoa kepadaNya karena Allah ingin agar kita datang kepadaNya.

Tujuan doa bukanlah untuk meminta apa yang kita hajatkan tetapi untuk kita mengenalNya dan sujud menyembahNya. Allah mahu kita merintih dan menangis kepadaNya,

Doa juga merupakan satu bentuk ekspresi hubungan di antara kita dengan Allah, yang menjalinkan keintiman hubungan dengan-Nya. Selain itu, ia juga bentuk penyerahan diri kepada Allah, mengaku yang kita tak mampu hidup tanpa bergantung kepadaNya.

ini 10 perkara yang kita boleh pelajari dari drama samarinda nur tv3 36 721

Merujuk kepada drama ini, Nur yang jahil tidak putus-putus berdoa memohon bantuan Allah, akhirnya dikabulkan dengan sesuatu yang sangat tidak disangkakannya, iaitu seorang suami yang arif dalam hal agama. 

Jangan kita pernah berhenti berdoa walaupun tidak dikabulkan dengan segera. Teruslah merintih kepadaNya, walaupun kita adalah hamba yang penuh dengan dosa, jangan pernah malu untuk menadah tangan memohon bantuan dan keampunan, seperti mana doa Mona yang akhirnya terkabul.

Sebagian sahabat radhiyallahu ‘anhum berkata,

يَا رَسُولَ اللَّهِ رَبُّنَا قَرِيبٌ فَنُنَاجِيهِ ؟ أَوْ بَعِيدٌ فَنُنَادِيهِ ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ هَذِهِ الْآيَةَ

“Wahai Rasulullah, apakah Rabb (Tuhan) kami itu dekat sehingga kami cukup bersuara lirih ketika berdo’a ataukah Rabb kami itu jauh sehingga kami menyerunya dengan suara keras?” Lantas Allah Ta’ala menurunkan ayat di bawah. (Majmu’ Al Fatawa, 35/370)

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (QS. Al Baqarah: 186)

Wallahualam.

Nota: Dengar cerita TV3 minta pengarah drama ini menghasilkan Nur 2. Tak sabar!




Hakcipta iluminasi.com (2017)