Oleh pada 29 Jan 2022 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Program pertandingan nyanyian fenomena bercorak misteri, The Masked Singer Malaysia kembali lagi untuk penganjuran musim yang kedua.

Sebagaimana diketahui umum, musim pertama The Masked Singer Malaysia meletakkan penyanyi Aina Abdul yang mengenakan kostum Bunga Raya, sebagai juara.

Edisi perdana itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kemenangan dalam kategori ‘Best TV Format Adaptation (non-scripted)’ di anugerah Content Asia Awards 2021, Ogos lalu.

Penganugerahan secara tahunan itu dilakukan bagi mengangkat pemain industri kandungan terbaik di serata Asia merangkumi Malaysia, Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan, Indonesia, India dan banyak lagi.

the masked singer malaysia 762

Kredit foto: Instagram Zon Lawak

The King of Mask Singer

The Masked Singer Malaysia merupakan sebuah rancangan realiti Korea Selatan, ‘The King of Mask Singer' dalam versi Malaysia.

Format asal program yang ke udara sejak tahun 2015 itu turut sama diadaptasi di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, China, Thailand dan Indonesia.

Konsep

Seperti musim lalu, kesemua peserta The Masked Singer Malaysia 2 mengenakan kostum bagi menyembunyikan identiti masing-masing ketika membuat persembahan.

Peserta yang terdiri daripada 14 selebriti ternama ini bukan sekadar menyorokkan susuk fizikal, malahan suara percakapan mereka turut diubah bagi mengelirukan juri dan penonton.

Tambah menarik, identiti sebenar mereka hanya diketahui oleh 8 orang dalam bahagian produksi sebagai pemegang amanah, manakala ratusan kru produksi, termasuk juri dan semua yang terlibat tidak mengetahui identiti di sebalik topeng berkenaan.

Malah, peserta “The Masked Singer Malaysia” sendiri tidak mengenali antara satu sama lain! Semuanya hanya terjawab apabila peserta tersingkir dikehendaki menanggalkan topeng kostum di penghujung episod mingguan.

Antara yang bakal membantu adalah paparan video klu sebelum persembahan peserta yang barangkali dapat menjadi petunjuk buat panel juri dan penonton dalam membuat tekaan.

Sebaik sahaja persembahan selesai, kesemua juri akan membuat ramalan identiti peserta.

Seperti program realiti lain, peserta dengan markah terendah bakal menjadi mangsa dalam segmen penyingkiran.

Identiti peserta tersingkir ini terjawab apabila buat pertama kalinya beliau menanggalkan topeng buat tatapan khalayak sebelum meninggalkan pentas pertandingan.

Sementara finalis yang menjejakkan kaki ke peringkat final tidak didedahkan identiti mereka sehinggalah pada episod kesepuluh itu yang turut akan menyaksikan siapakah juara The Masked Singer Malaysia musim kedua!

the masked singer 921

Kredit foto: Instagram Zon Lawak

Peserta

Penyertaan 14 orang selebriti terkemuka negara ini hadir daripada pelbagai lapangan seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan banyak lagi.

Kemasyhuran bintang popular ini diselindungkan sepanjang keberadaan mereka dalam persaingan, menerusi kostum-kostum unik dan menarik direka khas diberi nama Orkid, Bujang Senang, Mat Penyu, Pepatung, Ratu Semut, Si Merak, Seladang, Burung Hantu, Aiskrim Roti, Harum Manis, Teh Tarik Kaw, Nanas, Periuk Kera dan Rambutan.

Kesemua kostum diberikan suntikan lokal dalam melambangkan budaya Malaysia agar lebih relevan untuk tontonan tempatan.

Juri

The Masked Singer Malaysia musim kedua menampilkan sembilan figura popular tanah air sebagai barisan juri tetap iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Zizan Razak, Amy Mastura, Raja Azura, Michael Ang, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.

Pembaharuan yang dilakukan dalam edisi ini adalah anugerah khas buat juri yang berjaya membuat tekaan tepat paling banyak iaitu kategori ‘Tekaan Juri Paling Gempak’.

masked singer malaysia 2022 253

Kredit foto: Instagram Zon Lawak

Format Penjurian

Selain tugas merungkai identiti, para juri juga dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam menentukan peratusan markah peserta.

Pereka Kostum

Kostum yang dikenakan peserta adalah rekaan daripada Akma Suriati Awang yang juga merupakan individu yang mencipta kostum-kostum musim terdahulu.

Akma Suriati Awang berpengalaman selama 50 tahun dalam bidang rekaan dan perundingan fesyen, aktif berkhidmat sebagai penatarias industri filem, selain mereka kostum pelbagai produksi teater mega seperti ‘Hikayat Merong Mahawangsa’, ‘Siti Di Alam Fantasi’, ‘Mahsuri’, ‘Puteri Gunung Ledang’, dan ‘Chow Kit Road’.

Tahun ini juga menyaksikan kemunculan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat dalam menyerikan lagi kostum “The Masked Singer Malaysia 2” bagi memberi variasi gaya kostum ketika peserta membuat persembahan.

 

the masked singer malaysia 2022 355

Kredit foto: Instagram Zon Lawak

Pengarah Muzik

Pemuzik, penerbit, penggubah dan penulis lirik terkenal, Shah Slam buat kali kedua dipilih sebagai Pengarah Muzik.

Pengacara

Pentas pertandingan digamatkan dengan penampilan pengacara berpengalaman, Datuk AC Mizal sebagai hos pentas utama.

Manakala siri Live+ menggunakan khidmat Izzue Islam dan Anna Al Jufrey sebagai pengendali yang bakal membawa penonton mengimbas persembahan peserta, juga berinteraksi bersama audiens melibatkan pengisian menarik untuk dikupas.

Tempoh Siaran

Rancangan dengan 10 minggu siaran ini mengambil masa selama dua (2) jam dan dua setengah (2.5) jam bagi setiap episod.

Baca: Identiti Peserta Dan Senarai Keputusan The Masked Singer Malaysia 2022 Musim 2

Baca: Identiti Peserta Dan Senarai Keputusan Pemenang The Masked Singer Malaysia 2020 Musim 1

   

Rakan Digital Dan Radio Rasmi

SINAR mengambil peranan sebagai Radio Rasmi bersama sokongan ERA.

Turut serta, Gempak, Zon Lawak dan Ria X hadir sebagai Rakan Digital.

masked singer malaysia 2 282

Kredit foto: Instagram Zon Lawak

Waktu Siaran

The Masked Singer Malaysia 2 yang dijadualkan bermula 28 Januari 2022 menemui penonton pada setiap hari Jumaat, pukul 9 malam eksklusif di Astro Warna HD (saluran 107), selain boleh distrim di aplikasi Astro GO dan On Demand untuk tontonan online.

Untuk info, The Masked Singer Malaysia 2 terlebih dahulu menjalani sesi rakaman yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Kemeriahan The Masked Singer Malaysia berterusan dengan siri Live+ yang ke udara pada setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam mulai 28 Januari 2022.

Kredit video: LIVE Gempak Live+ | The Masked Singer Malaysia Season 2 | - Episode 1




Hakcipta iluminasi.com (2017)