Oleh pada 22 Jun 2023 kategori

      

Dengan tema 'dusty pink' dan konsep mutiara, majlis pernikahan pasangan Shuib Sepahtu Dan Watie Hanifiah akan diadakan di Putra Glass Hall, Putra Height, Selangor pada 23 Jun 2023, dengan kehadiran seramai 600 orang tetamu jemputan.

Majlis ditaja dengan sumbangan melebihi RM1.7 juta yang merangkumi set barang kemas tajaan Siti Jewels, busana, lokasi majlis dan makanan yang disediakan.

Kos itu termasuk untuk majlis khatam al-Quran, berinai dan juga akad nikah.

       

shuib watie 57489

       

Detik Perkenalan

Kisah pertemuan Shuib dan Watie bermula apabila Watie mengirimkan ucapan takziah kepada Shuib melalui mesej di media sosial setelah kematian isteri Shuib, Siti Sarah Raissuddin pada Ogos 2021.

Namun, Shuib hanya membalas mesej itu selepas lima bulan berlalu.

Walaupun Shuib berasa ragu dengan tindakannya, dia mengambil langkah pertama untuk berkenalan dengan Watie dengan meminta nombor telefonnya. Walau Watie mengambil masa yang agak lama, akhirnya dia membalas juga mesej tersebut.

Satu faktor yang membuat Watie jatuh hati pada Shuib adalah 'rekod' bersihnya sebagai suami. Bagaimana Shuib memperlakukan arwah Siti Sarah dengan penuh kasih sayang dalam perkahwinan mereka sebelumnya telah meyakinkan Watie bahawa Shuib mampu menjadi seorang pemimpin keluarga yang baik. Sikap itu mempengaruhi Watie untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya.

         

watie shuib 25017

       

Pertunangan

Pada 6 Mei 2023, pasangan ini telah bertunang dalam majlis yang diadakan secara tertutup di rumah kediaman Watie di Shah Alam. Majlis itu turut dihadiri oleh keluarga dari kedua-dua belah pihak dan menyaksikan pihak lelaki membawa tiga dulang hantaran sementara pihak wanita membalas dengan lima dulang hantaran. Antara barang-barang hantaran yang dihadiahkan termasuklah sirih junjung, buah-buahan, manisan, sampin dan kasut.

          

shuib 57983

         

Majlis Khatam al-Quran

Sebelum mereka sah menjadi suami dan isteri, pasangan ini memilih untuk mengadakan Majlis Khatam al-Quran pada 13 Jun 2023 di Glasshouse, Seputeh, Kuala Lumpur.

Dalam majlis yang diraikan dengan penuh sederhana, pasangan ini berbusana serba ungu lembut. Acara dihadiri oleh 50 orang tetamu dari kalangan keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua belah pihak.

Watie memperdengarkan bacaan surah lazim di majlis tersebut yang turut diiringi oleh guru agama Hajah Noriah Jalil dan 10 orang daripada Kumpulan Marhanan Annur Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Cawangan Nakhoda (LKPI), Selayang, yang juga membacakan doa. Beberapa surah lazim yang diperdengarkan termasuklah empat Qul, Annas, al-Kawthar, al-Asr dan banyak lagi.

Watie difahamkan telah menerima tunjuk ajar daripada seorang ustazah selama seminggu sebelumnya.

         

watie hanifiah 05687

         

Majlis Berinai

Pada tarikh yang sama dengan Majlis Khatam al-Quran, malam itu di tempat yang sama, Watie diraikan dalam sebuah majlis malam berinai bertemakan 'Arabic Night'.

Wanita ini kelihatan cantik menggayakan sepersalinan pakaian berwarna merah jambu, ditemani oleh kedatangan keluarga dan sahabat terdekat.

Menurut Watie, majlis malam berinai itu terpaksa diadakan lebih awal, iaitu 10 hari sebelum pernikahan, kerana jadual Shuib yang padat menyukarkan mereka mencari masa yang sesuai.

Di pertengahan acara, Shuib muncul bersama anak-anak dan ibunya yang berpakaian sedondon dengan Watie, menambah meriahnya majlis tersebut.

          

Majlis Akad Nikah

Shuib akhirnya selamat disatukan dengan Watie dengan sekali lafaz pada 23 Jun 2023, jam 8.47 malam, dalam majlis akad nikah yang diadakan di Putra Glass Hall, Putra Height.

Pada acara itu, dia dinikahkan oleh abang kandung Watie, Qadhaffi Hanifiah di hadapan Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchung, Selangor iaitu Zubairi Ghazali.

Hadir juga sebagai saksi adalah Al-Mas'ud Kamat (bapa saudara Watie), Muammar Amirullah Frida (abang Watie) dan Aidit Alfian Mohd Dom (kawan Shuib).

Shuib memberi mas kahwin sebanyak RM8,288 namun wang hantaran tidak dinyatakan. Pada majlis yang menyaksikan pasangan pengantin mengenakan persalinan rekaan Fizi Woo ini, pihak lelaki memberikan lima dulang hantaran, sementara pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran sebagai balasan.     

Senarai jemputan turut merangkumi ahli keluarga seperti bapa pengantin lelaki, Muhamad Arshad, serta rakan-rakan artis, sahabat handai dan wakil media.

Majlis pernikahan ini turut dimeriahkan dengan pengacaraan yang dikemudi oleh hos, Nabil Ahmad dan Sharifah Shahirah.

Hadirin juga disajikan dengan persembahan istimewa daripada dua penyanyi terkenal negara, Anuar Zain dan Lah Ahmad.

        

isteri shuib 11587

          

Fakta Perkahwinan Shuib Dan Watie

1. Berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua pihak, Shuib dan Watie memutuskan untuk tidak mengadakan majlis resepsi atau persandingan untuk perkahwinan mereka.

2. Sebaliknya, tiga acara lain akan menggantikannya, iaitu majlis pernikahan (akad nikah), khatam al-Quran dan berinai, yang akan diadakan dalam suasana yang sederhana.

3. Mengambil kira bahawa Watie masih anak dara dan ini merupakan perkahwinan pertamanya, untuk mencipta kenangan indah bagi dirinya, majlis akad nikah tetap menyertakan sebuah pelamin yang akan menjadi latar mereka bersama keluarga untuk bergambar.

4. Tidak semua perbelanjaan ditaja sepenuhnya, kerana terdapat kos yang ditanggung oleh Shuib sendiri.

           

Program Walimatulurus Shuib Dan Watie

Momen indah saat kedua bakal mempelai ini bersatu dan kisah cinta mereka akan diabadikan dan ditayangkan dalam sebuah siri mini eksklusif terbaru bertajuk 'Walimatulurus Shuib & Watie', khusus disajikan untuk peminat. Program tiga episod itu akan hadir secara eksklusif mulai 24 Jun ini di Astro Ria.

Siri ini bermula dengan pertemuan pertama dua keluarga pengantin. Episod pertama menampilkan majlis pertunangan mereka yang berlangsung baru-baru ini pada bulan Mei, diikuti dengan episod kedua yang memaparkan klip-klip di balik layar persiapan untuk hari bahagia mereka dan wawancara eksklusif bersama Shuib, Watie, anggota keluarga mereka, sahabat karib dan rakan-rakan artis.

Episod ketiga pula memperlihatkan rakaman detik-detik indah dalam pembinaan mahligai perkahwinan mereka, termasuk suasana majlis Khatam Al-Quran dan malam berinai. Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran istimewa Ustazah Sharifah Qhasif, Ustaz Tarmizi dan ramai lagi.

Rancangan 'Walimatulurus Shuib & Watie' akan ditayangkan di televisyen mulai 24 Jun 2023, pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104). Astro juga akan menyajikan siaran langsung eksklusif majlis pernikahan mereka melalui platform Gempak pada jam 8.30 malam, 23 Jun 2023. Tidak hanya itu, acara ini juga dapat ditonton secara dalam talian melalui platform On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go.

           

shuib sepahtu 58739

Kredit foto: Instagram Shuib Sepahtu , Instagram Watie Hanifiah

        

Sebagai informasi, Shuib pernah berkahwin dengan penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 26 Februari 2011. Mereka dikurniakan empat orang anak hasil perkongsian hidup mereka, iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Sayangnya, Allahyarham Siti Sarah telah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 selepas mengalami jangkitan Covid-19.

       

Baca: Biodata Dan Latar Belakang Watie Hanifiah, Isteri Shuib Sepahtu

Baca: Bakal Beristerikan Watie Hanifiah, Ini 8 Fakta Biodata Shuib Sepahtu Yang Ramai Tak Tahu!

                 

Kredit video: [LANGSUNG] Sidang Media 'Walimatulurus Shuib & Watie' | 7 Jun 2023

               

Sumber:

1. Selepas Lima Bulan Baru Dia Balas” - Detik Perkenalan Shuib & Watie Bermula Dari DM Ucapan Takziah

2. 'Rekod' Shuib punca terpikat

3. Shuib, Watie selamat bertunang

4. Shuib, Watie nikah 23 Jun ini

5. Shuib tak buat majlis resepsi, nikah dapat tajaan lebih RM1 juta

6. [V] Perkahwinan Shuib dan Watie dapat tajaan RM1.7 juta, keluarga sepakat tiada majlis resepsi

7. "Dapat Tunjuk Ajar Ustazah Selama Seminggu" - Watie Hanifiah Selamat Adakan Majlis Khatam Al-Quran, Perdengarkan Bacaan Surah Lazim

8. Anggun! Watie Hanifiah Kelihatan Manis Di Majlis Khatam Al-Quran, Namun Ada Netizen Beri Komen Mengenai Solekan

9. Ikuti Kisah Perjalanan Hari Bahagia Shuib & Watie di Astro, 24 Jun Ini

10. 10 Hari Sebelum Nikah, Watie Seronok Dirai Malam Berinai! - "Majlis Ini Diadakan Awal Sebab..."

11. Dengan sekali lafaz, Shuib & Watie kini sah suami isteri

        




Hakcipta iluminasi.com (2017)