Oleh pada 26 Jun 2022 kategori

Sehingga artikel ini ditulis (2022) masih banyak berlaku perdebatan mengenai perkataan sebenar peribahasa "Harapkan pagar, pagar makan padi". Sekitar tahun 2011, muncul satu pandangan baru di akhbar dan media digital menyatakan bahawa perkataan sebenar dalam peribahasa tersebut adalah "harapkan pěgar, pegar makan padi". 

Perbincangan ini telah berlarutan sekian lamanya walaupun dinafikan pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). DBP memberikan pandangan bahawa DBP mengekalkan ungkapan "Harapkan pagar, pagar makan padi". Namun masih ramai yang menganggap ungkapan itu tidak logik dan tidak boleh diterima akal. "Mana mungkin pagar makan padi?".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami akan cuba merungkai satu per satu permasalahan berkaitan peribahasa melayu klasik ini, dengan harapan artikel ini mampu menjadi penutup dan penamat salah faham dikalangan orang ramai.

1. Kenali Burung Pegar atau Ayam Pegar

Burung pegar (nama saintifiknya Lophura Rufa) adalah spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 76 (2010). Sesiapa yang didapati memelihara, memiliki, menangkap atau membunuh burung pegar akan didenda hingga RM50 000.00 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 64 Akta yang sama.

ayam burung burong pegar makan padi

Sumber gambar (Crested Fireback) : Ebird

Burung pegar adalah spesis burung yang boleh ditemui di Thailand, Malaysia, Sumatera dan Borneo. Ia hanya boleh hidup di hutan tropika dan kini semakin berkurang bilangannya angkara kemusnahan hutan. Percubaan untuk dibiakkan kebanyakannya menemui kegagalan (rujukan).

Fakta mengenai pegar :

  • Haiwan yang terancam dan tergolong dalam keluarga Phasianidae. 
  • Lophura rufa adalah nama untuk spesis burung pegar di Malaysia. Manakala Lophura ignita adalah nama bagi spesis pegar di Borneo
  • Haiwan kategori omnivor. Makan tumbuhan, serangga dan haiwan kecil.
  • Ancaman utamanya adalah kemusnahan hutan
  • Sering dijumpai di hutan bertanah rendah dan lembab.
  • Hidup dalam kelompok kecil di mana ada 1 burung pegar jantan sebagai ketua.
  • Susah untuk dibiakkan. Memerlukan sekurang-kurangnya 2 ke 3 tahun lebih untuk matang dan boleh membiak. 
  • Tidak boleh terbang seperti ayam. Tapi selayaknya digelar burung seperti burung merak. 
  • Penulis cenderung mengatakan bahawa pegar adalah burung, bukan ayam.  

Ada sumber mengatakan bahawa orang zaman dahulu memang menggunakan burung pegar untuk menjaga tanaman padi namun tiada bukti untuk menyokong pendapat ini. Tambahan pula jelapang padi agak tak bersesuaian dengan habitat asal burung ini. Burung pegar adalah haiwan yang sangat 'defensive' dan akan menyerang sesiapa sahaja sekiranya rasa terancam. 

2. Dari mana datangnya istilah "Pegar" makan padi ini?

Berdasarkan carian di internet, banyak blog dan artikel sekitar 2011 menukilkan bahawa perkataan pegar itu berasal dari Dr. Burhanuddin Helmy. Dan dipopularkan lagi oleh naib juara Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa 2011.

asal usul teori harapkan pegar makan padi

Post dari facebook page bernama Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang sudah pasti bukan dikendalikan oleh Allahyarham. Dr. Burhanuddin Bin Muhammad Nur Al-Hilmi meninggal dunia pada 25 Oktober 1969

harapkan pegar pegar makan padi 2011 224

Disebarluas oleh Rashid Rahman Hasan naib johan Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa 2011

Kedua-dua hantaran Facebook ini menjadi rujukan banyak blog di waktu itu dan menjadi dalil utama kononnya ejaan yang betul dalam bahasa jawi adalah "pa ga ro" selaras dengan sebutan "pegar". Di sinilah berlaku kesilapan besar yang menyebabkan ramai orang serta merta menganggap selama ini kita telah tersalah baca maksud peribahasa dari tulisan jawi.

Hampir setahun teori ini diulang-ulang sebut oleh pengguna media sosial, teori ini bagaikan sudah diterima oleh majoriti masyarakat sehinggakan seorang Profesor Madya telah menyiarkan satu dialog dalam kolum khas di akhbar Berita Harian bertarikh 11 November 2012.

harapkan pegar dalam surat khabar akhbar

Kolum akhbar bertajuk "Harapkan pegar, pegar makan padi" oleh Profesor Madya Dr Nor Hisham Osman

Begitulah serba sedikit kisah bagaimana teori "pegar" ini boleh tersebar ke seluruh Malaysia sehingga berlaku perdebatan sehingga hari ini.

3. DBP menafikan dakwaan perkataan "pegar"

Sejak tahun 2012 sudah berkali-kali pihak DBP memberikan jawapan bahawa perkataan "pegar" dalam peribahasa itu adalah tidak berasas. 

Perkara ini berterusan sehingga tahun 2018. Namun masyarakat masih mempersoalkan tentang perkataan sebenar adalah pagar atau pegar. Berikut adalah jawapan dari pihak DBP pada tahun 2012 :

Pendapat baharu tentang peribahasa “Harapkan pegar, pegar makan padi” (Harapkan pagar, pagar makan padi) yang banyak dibincangkan di ruang maya ini belum dapat dipastikan kesahihannya kerana sehingga kini belum ada dapatan/kajian yang dapat mengesahkan kebenarannya.
Tidak ada maklumat terperinci tentang peribahasa dalam pangkalan data kami.

Peribahasa ialah khazanah yang terakam sejak dahulu lagi, walaupun dicetak berulang kali tetapi bentuk asalnya tetap dikekalkan. Begitu juga dengan peribahasa “Melepaskan batuk di tangga”.
Walaupun pendapat yang mengatakan bahawa yang benarnya ialah “Melepaskan batok di tangga” semakin digemari, buku peribahasa masih mengekalkan bentuk yang sedia ada.

Maksud peribahasa "harapkan pagar, pagar makan padi ialah orang yang kita percayai berkhianat kepada kita, manakala "Melepaskan batuk di tangga" bermaksud membuat sesuatu kerja tetapi tidak sampai selesai.

Soalan tetap diajukan kepada DBP setiap tahun walaupun jawapan telah diberi. 

4. Ejaan jawinya "pa alif ga ro" ڤاكر atau "pa ga ro" ڤݢر?

Berdasarkan manuskrip dan buku hikayat Melayu terdahulu, terbukti ejaan yang betul dalam peribahasa yang dibincangkan ini ialah "PA ALIF GA RO" (ڤاكر)

Dalam disiplin ilmu Jawi, sesuatu bacaan huruf, perkataan, kalimah dan persuratan Jawi itu perlu disandarkan dengan hujah, yang berasaskan rujukan silang, lisan yang sahih dan taakulan yang tepat.

Sekiranya ejaannya tanpa alif sekalipun adalah mustahil sebutannya menjadi "pegar". Sama seperti ejaan ڤهڠ, tulisan jawi ini disebut "Pahang", bukannya "Pehang".

Berikut adalah bukti-bukti bahawa ejaan jawi yang betul adalah "Harapkan PAGAR, PAGAR makan padi" :

kitab tikaman bahasa harapkan pegar pagar makan padi

Kitab tikaman bahasa (1953) Oleh Muhammad Adnan

kiab kiliran budi harapkan pegar pagar makan padi

Kitab Kiliran Budi (1906) Oleh Shellabear, W. G. 1862-1947 (William Girdlestone)

kitab hikayat hang tua british pagar pegar

Maleische Geschriften (Hikayat Hang Tuah) cetakan 1906 tertulis pepatah tersebut yang mana ejaan ‘pagar’ dieja dengan huruf alif. 

manuskrip hikayat hang tuah 1828 1835

manuskrip hikayat hang tuah 1828 1835 2

Manuskrip Melayu Jawi Hikayat Hang Tuah 1828-1835, dari British Library

jawapan prof naguib al attas berkaitan pagar pegar

Pandangan Prof Al-Attas

Terbukti di dalam kitab dan manuskrip lama semuanya menggunakan ejaan jawi "pa alif ga ro" bukannya "pa ga ro". Ini adalah antara bukti yang sangat kuat untuk menidakkan teori istilah pegar dalam peribahasa "Harapkan pegar, pegar makan padi".

5. Bukti memagar sawah dalam Undang-undang Kedah (1650)

Undang-Undang Kedah 1650 yang banyak membincangkan hukum syariah yang terdiri daripada 16 fasal berkaitan kesalahan dan hukuman terhadap pesalah atau pelanggar hukum syarak seperti mencuri, berzina, minum arak, berjudi dan selainnya.

Selain itu, undang-undang pertanian dan peternakan juga banyak diutarakan iaitu sebanyak lima fasal. Antaranya seperti perintah membina pagar disawah dan hukuman terhadap kerbau dan tuan kerbau jika kerbaunya menceroboh masuk ke sawah orang lain yang sudah berpagar ataupun jika kerbau melakukan kerosakan.

undang undang kedah pagar sawah

Kredit gambar : Naim Al-Kalantani

Pemagaran bendang adalah penting bagi masyarakat Kedah suatu masa dahulu. Ianya digalakkan bagi golongan petani di Kedah. Ini adalah untuk menjaga bendang daripada dimasuki kerbau lembu serta binatang buas yang akan merosakkan semaian padi.

Perincian saiz pagar juga ada disentuh dalam undang-undang ini. Maklumat fasal undang-undang berkaitan pagar dan sawah adalah seperti di bawah :

“Apakala hampir periam bendang segala tanah yang biasa berpagar hendaklah masing-masing pergi tetak kayu pagar atas secukupnya dan segala yang berkerbau mahulah masing-masing bawak kerbaunya ke padang besar melainkan kerbau lembu atas hendak kerja bendang juga ditinggalkan dengan ditambat jangan masuk membinasakan semai orang yang di dalam pagar pada tempat yang berpagar. Jika kerbau siapa-siapa membelah pagar atau melompat pagar membinasakan semai orang kenalah berganti sampai atau berbayar harga akan tuan semai”


[ Undang-Undang Kedah Versi Ku Din Ku Meh  (UUKVKDKM 1311H/1893M) ]

Maka terbuktilah bahawa peribahasa Melayu "harapkan pagar, pagar makan padi" amat bertepatan dengan kiasan serta maksudnya bagi masyarakat Melayu zaman dahulu.

Rujukan

British Library on Hikayat Hang Tuah

Undang-Undang Kedah 1650M

Legasi Pemikir

Pagar Pegar berdasarkan ilmu Jawi

Lestari Bestari 2012




Hakcipta iluminasi.com (2017)