Kredit foto: Instagram Marsha

Penyanyi Marsha Milan akui tugasannya sebagai peserta di program realiti AF Megastar bukanlah sesuatu yang mudah.

Terdapat beberapa aspek persediaan yang perlu diambil kira sebelum persembahan berlangsung di konsert mingguan.

"Meskipun pihak Astro menyerahkan 80 peratus keputusan dari segi pemilihan lagu dan gaya persembahan serta susunan muzik, namun sesungguhnya ia bukan perkara yang mudah.

"Setiap minggu saya akan berbincang dengan 'team' saya, lagu apa yang sesuai untuk saya serta persembahan bagaimana yang perlu saya lakukan termasuk juga dengan pemilihan busana.

"Saya akui, saya tidak mempunyai vokal yang unik seperti finalis lain. Jadi saya perlu memberikan persembahan yang penuh warna dan menarik di atas pentas," katanya yang dipetik daripada portal Astro Gempak.

Dedah Marsha lagi, kerana tertekan dengan tugasan berat di peringkat separuh akhir baru-baru ini, dia mengalami gangguan kesihatan.

Namun fasa sukar itu berjaya diatasi apabila namanya tersenarai antara finalis akhir.

hampir putus asa suami bantu marsha 2

Kredit foto: Instagram Marsha

"Bila terlalu bekerja keras hampir tujuh minggu ini, saya akui penat dan ia mengganggu kesihatan saya.

"Sejujurnya, saya hampir putus asa di konsert separuh akhir kerana tugasan minggu itu lebih berat iaitu saya perlu bawa dua lagu, tambahan pula saya mengalami sakit tekak.

"Namun saya bersyukur kerana dapat melaluinya dengan baik dan berjaya ke peringkat akhir," ujarnya.

Sementara itu, penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali itu berasa bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang menjadi pembakar semangat ketika jiwanya goyah.

"Alhamdulillah, sokongan saya lebih berat di dalam AF Megastar ini.

"Suami adalah orang yang membakar semangat saya. Jika saya rasa 'down', dia yang akan menjadi pakar psikiatri saya.

"Malah, setiap minggu dia akan luangkan masa untuk menonton serta memberi semangat kepada saya di Konsert AF Megastar," dedahnya.

Selain Marsha, Konsert Akhir AF Megastar bakal dijayakan Syamel, Idayu, Bob dan Shahir sebagai finalis.

Bersiaran Ahad ini, jam 9 malam secara langsung di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)