Nama Pablo Escobar suatu ketika dahulu sangat terkenal sebagai seorang raja dadah dunia. Malah kerana kekayaan dan kekuasaannya pada ketika itu, pasukan polis Columbia terpaksa bekerjasama dengan pasukan polis Amerika Syarikat bagi menumpaskan aktiviti perniagaan dadahnya itu.

Pablo Escobar juga terkenal sebagai seorang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dia sanggup membunuh sesiapa sahaja termasuklah anggota polis sekiranya aktiviti pengedaran dadahnya cuba dihalang dan diganggu. Walaupun tidak diketahui jumlah kekayaan sebenarnya, ramai pihak berpendapat dia pernah menjadi manusia terkaya di dunia hasil perniagaan kokainnya itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

escobar bersama anaknya

Kira-kira 180 kilometer di bahagian utara selatan Medellin, terdapat sebuah bandar kecil bernama Puerto Triunfo. Suatu ketika dahulu sekitar tahun 1978, Pablo Escobar pernah memiliki sebidang tanah yang luas disini. Di atas tanahnya inilah telah dibina sebuah kediaman mewah untuk dirinya.

Umpama sebuah bandar peribadi

hacienda napoles

Kawasan kediamannya ini diberi nama "Hacienda Napoles". Hacienda Napoles meliputi kawasan tanah seluas 20 kilometer persegi. Bukan sahaja rumah, malah tanah miliknya ini turut menempatkan sebuah zoo, beberapa buah tasik buatan, litar lumba Go-kart, lapangan terbang peribadi dan pelbagai lagi binaan lain.

Dengan segala kemudahan ini, Hacienda Napoles boleh dianggap seperti sebuah bandar peribadi milik Pablo Escobar. Malah, dari tanah ini jugalah Pablo Escobar menjalankan segala kegiatan jenayahnya termasuklah menghasilkan dadah dan merancang pelbagai kegiatan pembunuhan yang telah menggegarkan Columbia suatu ketika dahulu.

Kecintaan terhadap binatang dan kenderaan mewah

replika dinosaur 385

Kerana minatnya yang mendalam terhadap haiwan, Pablo Escobar juga telah membina sebuah zoo dalam kawasannya ini. Zoo ini telah menempatkan pelbagai haiwan seperti zirafah, burung unta, gajah, badak air, kuda, antelop dan sebagainya.

Ianya turut menempatkan pelbagai burung eksotik yang dibelinya dari pelbagai tempat. Dengan kekayaannya yang dimilikinya, segala perbelanjaan bagi menjaga dan membeli haiwan-haiwan ini langsung tidak menjadi masalah baginya.

Di dalam kawasan ini, terdapat juga 6 binaan konkrit berbentuk dinosaur yang dibina pada skala saiz sebenar. Selain itu, di pintu gerbang utama Pablo Escobar dengan bangganya turut menayangkan sebuah kapal terbang peribadinya yang digunakan untuk menerbang dan mengedarkan dadahnya buat pertama kalinya dulu.

Pablo Escobar juga merupakan seorang pengumpul kenderaan mewah. Dia memiliki sebuah garaj besar yang menyimpan begitu banyak koleksi kereta dan motosikal mewah dan unik.

Kematian Pablo Escobar pada tahun 1993

bekas rumah pablo escobar

Penguasaan Pablo Escobar sebagai Raja Kokain dunia secara rasminya berakhir apabila dia ditembak mati oleh pasukan polis Colombia pada tahun 1993. Selepas kematiannya, ahli keluarganya telah cuba menuntut hak pemilikan ke atas tanah Hacienda Napoles namun kerajaan Columbia telah bertindak menyita dan merampas tanah ini.

Kerana kos yang terlalu tinggi untuk memelihara kesemua binatang yang terdapat disini, kesemua binatang yang ada disini telah diserahkan kepada beberapa buah zoo. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ekor bison, zebra, kambing, burung unta dan sedozen badak air yang masih hidup bebas di kawasan ini.

Populasi badak air yang hidup disini dikatakan telah berkembang biak dan jumlahnya dikatakan telah mencapai antara 50 hingga 60 ekor. Pada awalnya, hanya 4 ekor badak air yang dibawa masuk ke sini daripada Zoo San Diego pada tahun 1981. Kebanyakannya kini hidup dalam tasik disini tetapi sebahagiannya telah keluar dari kawasan ini dan menghuni kawasan sungai yang berdekatan.

Diubah fungsi sebagai taman tema

taman tema hacienda napoles 490

Pada tahun 2008, kerajaan Columbia telah menyerahkan tanah ini kepada sebuah syarikat pengurusah hartanah yang kemudiannya mengambil keputusan untuk menjadikan kawasan ini sebagai sebuah taman tema. Ianya diberi nama Parque Tematico Hacienda Napoles dalam bahasa tempatan yang bermaksud Taman Tema Hacienda Napoles.

Sementara itu, terdapat sebuah muzium di tengah-tengah kawasan ini yang didedikasikan kepada Pablo Escobar. Sebahagian besar koleksi kereta mewah dan antiknya turut dipaparkan. Walau bagaimanapun, sesetengah daripada koleksi kereta tersebut telah dirosakkan oleh musuh dan pesaingnya ketika kawasan ini diserang suatu ketika dahulu.

Rumah yang menjadi kediaman Pablo Escobar yang rosak teruk juga dikekalkan. Rumah ini dahulunya telah dirosakkan oleh orang ramai yang datang ke rumahnya kononnya untuk mencari harta-harta yang mungkin disorokkan oleh Pablo Escobar. Dianggarkan kira-kira 50,000 orang pengunjung datang ke taman tema ini bagi melihat sendiri kesan peninggalan Pablo Escobar.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. The Independent
  3. Atlas Obscura



Hakcipta iluminasi.com (2017)