tide fighter

Gambar mampu memberikan seribu makna tanpa perlu berkata-kata. Ia mengekspresikan sesuatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Bagi sesetengah orang, gambar boleh menjadi salah satu medium untuk menenangkan diri serta mengembalikan memori yang mungkin hampir hilang ditelan masa. Bak kata orang, sebuah gambar tidak akan pernah berubah walaupun keadaan atau orang di dalamnya sudah tidak sama seperti dulu.

Kali ini, iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 7 gambar menakjubkan yang menyertai "2017 National Geographic Travel Photographer of the Year".

1. Ramada Prayer

ramada prayers

Lokasi : Jakarta, Indonesia

Gambar unik seakan abstrak ini adalah hasil karya jurugambar India, Pradeep Raja. Di ambil ketika bulan Ramadhan, gambar menarik ini menunjukkan kaum muslimah dengan pelbagai warna tudung sedang menunaikan solat sunat Tarawih. Gambar ini diambil di lokasi masjid terbesar di Asia Tenggara iaitu Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia.

2. Free Rider

free rider

Lokasi : Bangladesh

Di Bangladesh, menaiki tren secara menumpang percuma adalah antara cara pengangkutan yang paling norma, walaupun ianya berbahaya dan salah di sisi undang-undang. Terdapat pelbagai insiden yang pernah berlaku sebelum ini di mana penumpang seperti ini terkena renjatan elektrik dan putus anggota badan, dan terjatuh ke atas landasan serta berlanggar dengan terowong. Walau apa cara sekalipun yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa Bangladesh, ia tidak dapat menghalang dua adik-beradik ini, Taj dan Akash daripada berlari dan melompat ke atas kereta api ini setiap hari dari satu stesen ke satu stesen bersama ibu mereka untuk mencari nafkah.

3. Bridging Generation

bridging generation

Lokasi : New Delhi, India

Gambar yang diambil oleh Jobit George dari India ini menunjukkan sepasang bapa dan anak sedang duduk di atas tembok dinding pada pagi Hari Raya Aidilfitri dengan pakaian tradisional. Terserlah keindahan perhubungan yang dibina dengan cara yang mudah dan penyayang oleh mereka. Gambar di ambil di sebuah masjid di New Delhi, India.

4. Tibetan’s soul smile

tibetan s soul smile

Lokasi : Tashi Lhunpo Monastery, Tibet

Kelihatan seorang sami buddha sedang senyum apabila gambar diambil. Jurugambar ini menceritakan bagaimana beliau sukar untuk mengambil gambar sami ini sehinggakan terpaksa mengejarnya kerana sami ini sentiasa menutupkan wajahnya. Kemudian jurugambar ini menjerit dalam bahasa Cina "Pai yi zhang ba!" yang bermaksud "Hanya satu gambar", kemudian sami itu menoleh sambil tertawa.

5. Holy Bath

holy bath

Lokasi : Sungai Yamuna, India

Gambar yang agak dramatik di mana kelihatan seorang warga emas sedang mandi di tepi Sungai Yamuna, India. Sungai ini merupakan sungai yang tercemar kerana terlalu berselut dan dipenuhi dengan najis. Walaubagaimanapun ia dianggap sebagai sungai yang suci oleh orang tempatan dan menjadi tempat orang tempatan "mandi suci. Ia merupakan sungai kedua tersuci selepas Sungai Gangga. Terdapat banyak burung camar di sini yang datang dari Siberia pada musim sejuk.

6. Old and Young

old and young

Lokasi : Wuyuan, China

Tergambar seorang kanak-kanak perempuan sedang melihat neneknya sedang menyediakan makan malam bagi isi rumah manakala datuknya sedang menyalakan kayu api sebagai dapur mereka. Gambar yang di ambil di sebuah perkampungan kecil di Wuyuan, China dan dianggarkan lebih kurang 250 juta orang dari perkampungan kecil terpaksa berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari rezeki lantas meninggalkan ibu bapa serta anak-anak mereka di kampung halaman.

7. Lady Havana

lady havana

Lokasi : Old Havana, Cuba

Lakaran memori ini disemadikan oleh jurugambar Lauren Breedlove dari Amerika Syarikat ketika lawatannya ke Cuba. Aura yang ada pada wanita "Lady Havana" ini yang dijelaskan oleh Lauren, "Matanya seolah-olah menggambarkan seribu cerita" ketika Lauren sedang bersiar-siar di jalan di Old Havana. Lauren kemudiannya mendekati wanita ini dan meminta untuk mengambil gambarnya dengan menawarkan sejumlah wang kecil yang dipinjam daripada rakannya. Wanita ini bersetuju lantas memberikan gaya seperti bos.

Bagi mereka yang mempunyai bakat fotografi, anda masih berpeluang untuk turut sama menyertai pertandingan ini yang masih menerima penyertaan sehingga 30 Jun 2017. Pertandingan ini mempunyai 3 kategori iaitu "nature, cities and people", dan menawarkan hadiah yang begitu lumayan iaitu pengembaraan 10 hari untuk dua orang menyertai pasukan ekspedisi National Geographic ke Galápagos, Archipelago. Juga terdapat anugerah bagi setiap kategori yang akan membawa pulang wang tunai. Untuk maklumat lanjut sila layari : Travel Photographer of The Year Contest 2017

Sumber :

1. National Geographic

2. Twisted Sifter


tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)