Oleh pada 03 Mar 2018 kategori

gajah sesat berkeliaran cari makanan di kantin smk telupid sabah default

Kredit foto: Facebook Info Roadblock JPJ/POLIS

Pengawal keselamatan gempar apabila seekor gajah spesis Pygmy Borneo menyelinap masuk ke dalam kantin asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, Sabah pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V. Shivananthan, insiden kedatangan haiwan itu diketahui pengawal keselamatan sekitar jam 1.45 pagi.

Beliau telah mengerahkan pasukan polis ke tempat insiden dan mengesahkan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. 

"Saya telah menghubungi pengetua sekolah tersebut dan beliau memaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 1.45 pagi.

"Gajah itu kemudian keluar dengan sendirinya dari sekolah terbabit," ujarnya semasa dihubungi Astro AWANI, kelmarin.

Jelasnya, kesemua pelajar dan staf sekolah itu tidak berada di dewan makan tersebut sewaktu kejadian berlaku.

Kejadian itu adalah serius disebabkan membabitkan keselamatan pelajar sekolah.

Berdasarkan maklumat awal, sekolah tersebut difahamkan telah beberapa kali diceroboh. 

gajah sesat berkeliaran cari makanan di kantin smk telupid sabah 3

Kredit foto: Facebook Info Roadblock JPJ/POLIS

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS), Datuk Maimunah Suhaibul memberitahu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) telah diperintahkan bagi melawat tempat insiden.

"Saya telah mengarahkan PPD untuk melakukan lawatan di sekolah tersebut. Terdapat kerosakan yang perlu dibaiki.

"Pihak sekolah dan PPD akan menyenaraikan kerosakan yang berlaku," ujarnya lagi.

Tambahnya, pihak sekolah juga memohon pertolongan pihak berkuasa dan Jabatan Hidupan Liar bagi mengawasi keselamatan para pelajar dan staf sekolah.

Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar negeri belum memberi apa-apa kenyataan rasmi tentang kejadian terbabit.

Terdahulu, video gajah sesat itu berlegar-legar di dalam kawasan kantin SMK Telupid, yang telah dirakam oleh staf sekolah tersebut, menjadi tular menerusi laman sosial sejak pagi kelmarin.

Sumber berita: Kosmo Online & Astro Awani




Hakcipta iluminasi.com (2017)