faye kusairi hamil

Kredit foto: Instagram Faye Kusairi

Aktres Faye Kusairi telah disahkan hamil tiga bulan.

Faye menjalani pemeriksaan doktor selepas mengalami sakit perut dan muntah-muntah sejak awal bulan lalu.

"Alhamdulillah, selepas melakukan pemeriksaan di klinik, doktor mengesahkan saya hamil hampir tiga bulan.

"Sebenarnya saya sedar sejak awal bulan lalu apabila kitaran haid lambat dan mengalami simptom-simptom kehamilan, sehinggalah suami bawa ke klinik," katanya menerusi laporan portal Mstar Online.

Faye membuat kenyataan tersebut di Malam Gala Filem Tombiruo Penunggu Rimba yang berlangsung di MBO The Starling, Selangor pada Selasa.

Aktres berusia 30 tahun itu mendirikan rumah tangga dengan sutradara Azmi Hatta pada 9 April lalu di Ampang, Selangor.

Dalam pada itu, Faye berkata, setakat ini dia tidak mempunyai alahan yang teruk.

"Tiada alahan yang teruk, cuma alami muntah-muntah sahaja.

"Kalau saya duduk rumah mulalah rasa tak sedap badan, tapi bila sibuk bekerja okay pula!

"Mujurlah suami sentiasa ada di sisi menemani saya. Tentang makanan pula, saya tak ada mengidam apa-apa, cuma sekarang ni suka makan buah-buahan," jelasnya.

Bagaimanapun Faye tidak mempunyai perancangan sama ada ingin kekal aktif atau berehat seketika daripada dunia hiburan.

Apatah lagi dia masih mampu memenuhi jadual kerjaya seninya.

Pun begitu, pelakon Isteri-Isteri Ayah itu tetap mempertimbangkan keputusan untuk berehat apabila hari kelahiran bayi semakin hampir.

"Sekarang ni semuanya masih terkawal lagi, kita tengok keadaan kesihatan dan keperluan pada masa akan datang," katanya.

Sumber berita: Mstar

tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)