Kredit foto: Instagram Farid Kamil

Aktor dan pengarah, Datuk Farid Kamil akan didakwa kerana kesalahan memberikan bukti palsu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, pelakon itu bakal didakwa pada Jumaat ini (9 Mac) di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

"Dia (Farid) dijangka didakwa mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

"Kami telah memulakan siasatan berhubung laporan polis kedua yang dibuatnya dan menamakan tiga invididu dalam laporan tersebut.

"Kenyataan mereka bercanggah dengan apa yang dia dakwa," katanya menurut portal Mstar Online.

Beliau membuat kenyataan tersebut di Ibu Pejabat Polis Selangor, hari ini.

Terdahulu, Farid didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam, di Balai Polis Trafik Kota Damansara, 16 Januari lalu.

Begitupun, beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis THC iaitu dalam kumpulan ganja yang dibacakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada 25 Januari lalu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)