Oleh pada 23 Apr 2018 kategori

empat finalis mentor otai akhir diumumkan 1

Kredit foto: Instagram TV3

Aznie Ariffin, Kamarol Azril (AJ), Elvira Carrie Olga dan Alina Hassan berjaya menjejakkan kaki ke peringkat akhir program realiti, Mentor Otai, sebagaimana diumumkan dalam konsert separuh akhir yang berlangsung semalam.

Empat finalis ini sekaligus bakal berentap merebut takhta juara dengan ganjaran wang tunai berjumlah RM100,000.

Konsert separuh akhir yang disiarkan secara langsung dari Plaza Alam Sentral 2 itu menyaksikan Lokman Azimi, protege kepada penyanyi Zarul Husin diumumkan tersingkir daripada persaingan.

Dikemudi hos Haziq Hussni dan Elly Mazlein, keputusan Mentor Otai dinilai hasil gabungan markah 20 peratus daripada juri awam, 30 peratus undian penonton secara atas talian dan selebihnya iaitu 50 peratus daripada dua juri profesional, Mark Adam dan Edry Abdul Halim.

empat finalis mentor otai akhir diumumkan 2 808

Kredit foto: Instagram TV3

Kesemua peserta yang terpilih seawal konsert pertama, iaitu lapan protege, dibimbing oleh empat penyanyi terkemuka negara iaitu Tam Spider, Zarul, Misha Omar dan Sarah Raisuddin.

Terdahulu, nasib tidak menyebelahi perjuangan protege Sarah, Ayie yang tersingkir di pusingan kedua, diikuti protege Misha, Azran dan minggu lalu pula menjadi persembahan terakhir buat Irwan, protege kepada Tam.

Pentas separuh akhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Zabarjad mendendangkan lagu Karam, bersama peserta uji bakat pilihan, Allison yang tidak ketinggalan menghiburkan penonton menerusi lagu Goyang Dumang.


tags : , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)