Oleh pada 03 Jun 2019 kategori

Anda pastinya pernah mendengar ungkapan popular ini:

"Masalah dengan dunia adalah bahawa orang pintar penuh dengan keraguan, sementara yang bodoh penuh dengan keyakinan."

Anda mungkin pernah menemui kes-kes dimana orang yang menganggap bahawa diri mereka sangat pintar atau lebih bijak daripada orang biasa, tetapi sebenarnya mereka tidaklah pandai. Atau mungkin anda telah menemui orang yang menganggap mereka tahu banyak mengenai sesuatu subjek atau topik, tetapi sebenarnya langsung tidak tahu apa-apa mengenai subjek/topik tersebut?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanakah perkara ini boleh terjadi? Mengapakah sesetengah manusia mempunyai persepsi yang salah dengan diri sendiri? Menariknya, ia adalah kecenderungan kongnitif (cognitive bias) yang dimiliki ramai manusia.

Apa itu "The Dunning–Kruger Effect"?

dunning kruger effect

Kesan Dunning-Kruger (The Dunning–Kruger Effect) adalah kecenderungan kognitif di mana seseorang itu secara salah menilai kebolehan kognitif mereka dengan menganggapnya lebih hebat daripada realiti yang sebenarnya. Kesan Dunning-Kruger menunjukkan bahawa seseorang yang mempunyai prestasi buruk tidak dapat mengenali kelemahan dalam prestasi mereka.

Fenomena aneh ini dikenal pasti sebagai kecenderungan kognitif oleh 2 orang Phli Psikologi Sosial, David Dunning dan Justin Kruger dalam satu kajian yang bertajuk “Unskilled and Unaware of It: How Difficulties in Recognizing One’s Own Incompetence Lead to Inflated Self-Assessments”. Penemuan ini dibuat berdasarkan kes jenayah popular seorang penjenayah bernama Mr. McArthur Wheeler.

Kes jenayah McArthur Wheeler

mcarthur wheeler

Kes McArthur Wheeler adalah kes jenayah yang agak luar biasa pada tahun 1995 yang melibatkan lelaki berusia 44 tahun merompak bank. Penjenayahnya, McArthur Wheeler, sebelum itu telah membaca tentang sifat-sifat unik jus lemon dan salah menafsirkannya ke tahap yang melampau atau agak pelik.

Dia menganggap bahawa disebabkan sifat kimia jus lemon agak sama dengan dakwat lutsinar (invisible ink), maka apabila jus lemon disapu pada wajahnya, wajahnya tidak akan kelihatan atau kabur daripada rakaman kamera keselamatan. Atas kepercayaan inilah, dia dengan yakinnya merompak 2 buah bank di Pittsburg tanpa menggunakan sebarang topeng atau penutup muka.

bodoh tapi perasan pandai

Sudah tentulah rakaman kamera litar tertutup dapat mengesan dan merakamkan wajahnya dengan jelas dan dia berjaya ditangkap pada hari yang sama. Dia terkejut kerana pihak polis berjaya mengesannya terlalu pantas kerana dia telah menyapu mukanya dengan jus lemon yang menurutnya akan menutup wajanya.

Pakar psikologi sosial dari Cornell University, Dunning dan Kruger mengkaji kes yang menarik ini dengan lebih mendalam dan menerbitkan satu kajian yang berjudul "Unskilled and Unaware of It" pada Disember 1999.

Mengapa orang yang tidak bijak menyangka bahawa mereka hebat

otak manusia 312

Dalam kajian tersebut, kedua orang pakar ini menyatakan bahawa orang yang mempunyai kecenderungan kognitif gemar berlebihan (overestimate) dalam menaksir kemahiran atau bakat mereka. Dalam erti kata lain, orang yang tidak bijak ini tidak tahu betapa tidak cekap atau tidak hebat sebenarnya mereka.

Sebagai contoh, manusia yang mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan secara umumnya menyedari bahawa mereka tidak melakukannya dengan baik namun hanya mereka sahaja yang tidak menyedari betapa buruknya keputusan mereka jika dibandingkan dengan purata keputusan orang lain.

Kedua orang pakar ini turut menyatakan bahawa sikap gemar berlebihan (overestimate) ini sebahagiannya adalah kerana orang yang kurang mahir ini mengalami masalah beban berganda (dual burden). Bukan sahaja golongan ini membuat kesimpulan dan pilihan yang tidak betul, tetapi ketidakcekapan atau kekurangan kemahiran mereka merosakkan keupayaan mereka untuk menyedari bahawa mereka tidak pandai.

Dalam bahasa mudahnya, sesetengah orang yang tidak bijak atau cekap ini terlalu lemah untuk menyedari betapa lemah dan tidak cekapnya dirinya mereka! 

Mengapa orang bijak menyangka mereka tidak hebat

stress 823

Terdapat satu lagi sisi yang menarik untuk kajian ini - orang yang lebih mahir dan hebat daripada orang kebanyakan kadang-kadang gagal menyedari betapa lebih baik dan hebatnya mereka.

Dalam kajian ini, ia mendapati semakin cekap atau bijak seseorang itu dalam subjek/bidang tertentu, semakin tinggi tahap kesedaran dan penghargaan terhadap jurang atau batasan dalam pengetahuan mereka. Oleh itu, mereka mungkin menjadi kurang yakin dengan kemahiran dan ilmu mereka.

Mungkin inilah yang biasanya dialami oleh orang bijak pandai apabila mereka seringkali mengatakan lebih banyak yang mereka pelajari, lebih banyak yang mereka sedar bahawa mereka tidak tahu. Ianya bukan semata-mata ungkapan untuk merendah diri, tetapi semakin banyak ilmu yang diperolehi, semakin mereka sedar bahawa banyak lagi cabang ilmu yang belum mereka terokai.

penjelasan kenapa orang bodoh merasa bijak

Tahap kesedaran tinggi orang bijak pandai ini juga seringkali mendorong mereka berasa rendah diri dan adakalanya mengurangkan tahap keyakinan mereka. Orang yang kurang bijak atau kurang mahir pula sebaliknya. Disebabkan mereka mempunyai kurang atau tiada langsung ilmu dengan sesuatu perkara, mereka tidak sedar betapa bodohnya atau tidak pandainya mereka dengan orang kebanyakan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Forbes
  3. Science Direct
  4. Journal of Economic Psychology
  5. Academia



Hakcipta iluminasi.com (2017)