Oleh pada 25 Apr 2018 kategori

Artikel ini bertujuan sebagai perkongsian ilmu sahaja dan bukannya untuk menggalakkan anda berkelakuan sedemikian. Sekiranya anda rasa sesuai dengan diri anda, mungkin anda boleh cuba. Penulis sendiri lebih selesa mandi setiap hari kerana penulis mudah peluh. Teruskan membaca untuk mengetahui mengapa sains tidak menggalakkan mandian yang kerap. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Badan Manusia Mempunyai Mekanisma Mencuci Diri

badan manusia mempunyai mekanisma mencuci diri

Adakah anda ke gym setiap hari hari atau bekerja di kilang bahan kimia? Jika jawapannya ya, anda perlu mandi setiap hari. Anda sebaliknya, anda mungkin tidak sekotor yang anda bayangkan. Menurut seorang pembantu professor perubatan bahagian dermatologi di University of California San Diego School of Medicine, kulit manusia mempunyai cara dan mekanisma tersendiri bagi membersihkan permukaannya. 

2. Badan Manusia Memerlukan Bakteria

badan manusia memerlukan bakteria

Menurut Genetic Science Centre daripada University of Utah, mandian secara berlebihan boleh merosakkan mikrobiome manusia, iaitu sebuah koleksi bakteria, virus dan mikrob lain yang hidup dalam dan atas badan kita. Koleksi mikroorganisma ini penting untuk kesihatan manusia dan universiti berkenaan ada menyebut bahawa gangguan terhadap ekosistem mikrobial boleh menyebabkan kita terkena penyakit. Akibatnya, sistem imunisasi, penghadaman dan jantung boleh merana. 

Kajian yang dilakukan terhadap masyarakat di Kampung Yanomami, Amazon mendedahkan bahawa mereka mempunyai komuniti mikrob yang tinggi dalam kulit mereka. Kesimpulan kajian berkenaan menunjukkan bahawa westernisation atau pemodenan melalui penggunaan shampu dan sabun memberi kesan negatif kepada kepelbagaian mikrobiome yang ada pada manusia. Namun, kajian ini gagal memaklumkan berapa kerap sepatutnya manusia mandi. 

3. Rambut Anda Menjadi Kering dan Kusam

rambut anda menjadi kering dan kusam

Basuhan rambut setiap hari akan mengeluarkan minyak semulajadi yang ada pada bahagian berkenaan, membuatkan rambut manusia kelihatan kusam, kering dan bergulung. Menurut Andrea L. Hayden, Director of the International Association of Trichologists, rambut manusia harus dibasuh paling kerap 2 kali seminggu, terutamanya jika anda mempunyai rambut yang halus, lemah atau rosak. Pada hari rambut tidak dibasuh, gunakan pelembap rambut bagi penjagaannya. 

4. Kulit Anda Juga Menjadi Kering

kulit kering kerap mandi

Mandian air panas yang lama dan kerap boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan mengupas. Air suam dan panas berupaya mengeluarkan minyak semulajadi daripada kulit manusia. Minyak ini berfungsi melindungi kulit dan memastikan ianya sentiasa lembap dan sihat. Menurut WebMD, iaitu sebuah laman sesawang yang boleh dipercayai dengan maklumat berkaitan kesihatan manusia, mandian harus dilakukan kurang daripada 10 minit sekiranya dilakukan setiap hari, dan elakkan menggunakan air suam atau panas. 

5. Mandi Setiap Hari Merosakkan Kuku

kuku rosak kerap mandi

Mandian yang menggunakan air panas terutamanya boleh memberi impak negatif kepada kuku. Seperti kulit dan rambut, air panas akan menjadi kering dan mengupas apabila terdedah kepada air panas yang berpanjangan. Dan seperti kulit juga, air panas boleh menyebabkan kuku kehilangan kelembapan dan minyak yang melindunginya.

Lelaki Ini Kongsi Pengalaman Untuk Tidak Lagi Mandi Setiap Hari

Seorang lelaki bernama James Hamblin yang merupakan editor kanan The Atlantic menceritakan pengalamannya yang berhenti mandi, yang dikongsikan melalui artikel yang diterbitkan pada Jun 2016. 

Pada mulanya saya berasa sedikit berminyak dan berbau, namun tidak lama kemudian, ekosistem badan saya berjaya mencapai keseimbangan, dan badan saya tidak lagi berbau busuk. Saya tidak berbau seperti air bunga ros atau Axe Body Spray, tapi sekurang-kurangnya badan saya tidak busuk. Saya berbau seperti seorang manusia. 

Kesimpulan

malaysia panas mesti mandi

Untuk mandi atau tidak ianya adalah suatu pilihan peribadi. Mungkin di luar negara, cuaca yang sejuk membolehkan seseorang itu untuk tidak mandi dalam suatu tempoh yang lama dan badan langsung tidak melekit. Bayangkan sekiranya idea untuk tidak mandi setiap hari ini diguna pakai di negara-negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia, apakah yang akan terjadi?

Sanggupkah anda duduk di sebelah rakan sekerja yang berbau busuk? Sanggupkah anda menegur majikan anda yang berbau masam apabila keluar bersama pelanggan? Bayangkan bau di dalam LRT dan MRT yang padat dengan penumpang yang kebanyakkannya tidak mandi selama seminggu dua, adakah anda mampu bertahan?

Apapun kelebihannya, tepuk dada, tanya diri anda. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. independent.co.uk
  2. theatlantic.com
  3. elitedaily.com
  4. dailymail.co.uk
  5. bustle.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)