Oleh pada 02 Jul 2021 kategori

Nama Johann Friedrich Struensee mungkin tidak begitu terkenal tetapi dia merupakan salah satu tokoh yang paling menarik dalam sejarah negara Denmark dan benua Eropah pada kurun ke-18.

Dia merupakan tokoh yang mempunyai dua identiti bertentangan. Struensee merupakan seorang doktor Jerman yang cerdas dan mempercayai ideologi Enlightenment (gerakan intelektual di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18).

Di sebalik itu, dia juga merupakan seorang diktator dan pakar manipulasi yang telah merosakkan institusi pemerintahan beraja di Denmark. Berikut adalah kisahnya.

Raja dengan masalah mental

Pada abad ke-18, Denmark merupakan sebuah negara mundur berbanding negara-negara Eropah lain yang ketika itu sedang memasuki Age of Enlightment di mana ilmu memainkan peranan penting.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Raja Christian VII

Denmark masih menggunakan sistem pemerintahan feudal lama di mana petani ditindas dan kebebasan rakyat disekat. Keadaan lebih buruk pada 1760-an ketika Raja Christian VII memerintah Denmark.

Christian VII mempunyai masalah mental dan dianggap tidak layak memerintah. Dia dikatakan didera secara mental dan fizikal ketika kecil oleh penjaganya, Count Reventlow, sehingga memberi kesan setelah dewasa.

Para menteri Denmark telah mengatur perkahwinan Raja Christian VII dengan adik bongsu Raja George III dari United Kingdom iaitu Caroline Mathilde. Mereka mengharapkan perkahwinan itu mampu menstabilkan kesihatan mental raja itu. 

Namun, ia tidak bertahan lama dan Christian VII kembali menghadiri pesta mabuk dan mengunjungi rumah pelacuran di sekitar bandar Copenhagen. Dia juga sering membuat kekacauan dan melakukan kerosakan awam.

Selepas kelahiran putera sulungnya, Frederick, pada 1768, keadaan menjadi bertambah buruk. Ratu sering diperlakukan dengan kejam dan amat dibenci oleh Christian VII.

Muncul sebagai doktor peribadi raja

Ketika inilah, watak Johann Struensee muncul. Pada tahun 1760-an, dia merupakan seorang doktor awam di Altona, Hamburg. Dia juga melakukan kerja sampingan sebagai doktor peribadi bagi menampung gaya hidupnya yang mewah.

johann struensee

Johann Struensee

Semasa menjadi doktor peribadi kepada orang kaya dan ternama, Struensee berkenalan dengan Enevold Brandt dan Count Rantzau. Mereka merupakan golongan bangsawan Denmark yang tinggal di Astona setelah dikenakan hukuman buang negara.

Brandt dan Rantzau melihat doktor muda yang cerdas dan berkongsi ideologi yang sama itu sebagai peluang  mendapatkan kembali kepercayaan istana Denmark.

Apabila pihak istana mencari doktor untuk menemani Raja Christian VII dalam lawatannya ke seluruh Eropah, Brandt dan Rantzau berusaha mencalonkan Struensee yang akhirnya diterima menjadi doktor peribadi Raja Christian VII pada April 1768. 

Berjaya beri perubahan positif Raja Christian VII

Semasa lawatan selama lapan bulan, Struensee mendapat kepercayaan dan menjadi rapat dengan raja itu. Para menteri Denmark gembira dengan pengaruh Struensee apabila raja itu semakin jarang membuat perkara memalukan dan lawatan itu dianggap berjaya.

istana raja crhistian vii

Istana Raja Christian VII di Copenhagen

Malah, Christian VII dilihat sebagai tetamu yang menawan dan ceria serta menjadi tumpuan ramai. Johann Struensee adalah rahsia di sebalik kejayaan itu.

Sepanjang lawatan, Struensee sentiasa berada di sisi raja. Dia akan memastikan Christian VII dalam keadaan terbaik apabila berada di khalayak ramai. Sejarawan berpendapat bahawa Struensee memberikan kokain dan ubat-ubatan kuat lain untuk mengekang perilaku buruk raja itu.

Selesai lawatan, mereka kembali ke Copenhagen dan Struensee diberi gelaran sebagai Anggota Dewan Negara tidak lama selepas itu. Struensee mula mengimpikan untuk memimpin Denmark menuju ke arah Age of Enlightenment. 

Struensee telah membuatkan Raja Christian VII melayan isterinya dengan baik semula. Doktor itu juga berjaya mengubati putera raja yang sakit akibat wabak cacar yang melanda negara itu.

ratu caroline matilda

Ratu Caroline Matilda

Ketika pengaruh Struensee semakin kuat, dia mulai menjalinkan hubungan sulit dengan ratu. Kini, raja dan ratu Denmark berada di dalam genggamannya.

Tidak lama selepas itu, canselor Bernstoff yang merupakan penasihat paling berpengalaman telah dipecat dan Majlis Negara dibubarkan. Struensee melantik dirinya sendiri sebagai penasihat peribadi diraja.

Dia kemudian diberikan kuasa untuk mengeluarkan arahan tanpa pengesahan raja. Raja Christian VII kini diketepikan dan tidak dibenarkan campur tangan dalam urusan negara.

Antara Disember 1770 hingga Januari 1772, Struensee telah mengeluarkan sekurang-kurangnya 1069 arahan kabinet bersamaan dengan tiga arahan dalam sehari.

Memperkenalkan undang-undang baru

Dalam membawa Denmark menuju Age of Enlightenment, tidak dinafikan bahawa doktor itu membawa perubahan baik. Dia berjaya memecahkan tradisi pemerintahan kuku besi diraja, gereja dan golongan bangsawan.

Antara perubahan yang dibawanya adalah:

  • Memansuhkan siksaan dan hukuman mati
  • Mengharamkan buruh paksa
  • Memberi kebebasan akhbar
  • Mengharamkan pemerdagangan hamba
  • Memerangi rasuah
  • Menghapuskan peraturan rasmi istana dan keistimewaan kerabat diraja
  • Menubuhkan universiti

Walaupun perubahan yang dilakukannya mendapat pujian negara-negara Eropah lain tetapi cara pemerintahannya tidak disenangi ramai. Dia tidak peduli jika menyinggung perasaan sesiapa sahaja walaupun individu itu penting untuk menyokongnya.

Dia juga sering melanggar adat dan tradisi Denmark. Malah, sesiapa yang mahu berurusan dengannya mestilah menggunakan bahasa Jerman. Mana-mana penjawat awam yang tidak taat akan diberhentikan tanpa pencen atau pampasan.

Kejatuhan Struensee

Kebencian terhadap Struensee semakin membuak-buak apabila Ratu Caroline melahirkan anak perempuan yang dipercayai hasil hubungan sulit dengan doktor itu pada Julai 1771.

johann struensee ditangkap

Johann Struensee ditangkap di biliknya

Pada pagi 16 Januari 1772, berlaku satu rampasan kuasa yang diketuai oleh Count Rantzau (yang dipinggirkan Struensee) dan ibu tiri kepada Raja Christian VII, Balu Ratu Juliana Maria.

Johann Struensee, Enevold Brandt dan Ratu Caroline ditangkap atas tuduhan cuba membunuh raja. Pada 28 April 1772, Struensee dan Brandt dihukum pancung di hadapan 30,000 hadirin. Ratu Caroline pula dibuang daerah.

Apabila Balu Ratu Juliana Maria berkuasa, Raja Christian VII tetap dipinggirkan. Pemerintahan Juliana Maria juga tidak popular di kalangan rakyat Denmark.

Pada 1784, putera sulung Raja Christian VII iaitu Frederick VI telah menggulingkan kumpulan Juliana Maria dan mengembalikan kekuasaan bapanya. Dia kemudian menjadi pengganti setelah kemangkatan bapanya pada 1808.

a royal affair

Kisah Johann Straunsee difilemkan pada 2012

Raja Frederick VI yang mendapat didikan awal daripada Struensee berjaya menghapuskan sistem feudal lama. Dia memerintah sehingga kemangkatannya pada tahun 1839 dan merupakan raja terakhir Denmark dan Norway (ketika itu Norway di bawah jajahan Denmark).




Hakcipta iluminasi.com (2017)