Sekitar penghujung tahun 1990an dan awal tahun 2000an, Nokia adalah sebuah jenama telefon bimbit yang sangat gah dalam kalangan pengguna. Sebut sahaja Nokia 3310, 3650, 7610 (Daun), N97 dan N-Gage, pasti ramai yang berasa nostalgia. Nokia hari ini hanya tinggal sejarah, yang akan terus dikenang dalam hari kebanyakan daripada kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam masa kurang daripada satu dekad, Nokia jenama keluaran Finland muncul sebagai jaguh dalam revolusi telefon bimbit dunia. Syarikat ini berkembang dengan pantas untuk menjadi salah sebuah jenama paling dikenali dan berharga di dunia.
Ketika di kemuncak kejayaannya, Nokia memiliki perkongsian pasaran dunia yang sangat besar, melebihi 40 peratus.Perjalanannya untuk menjadi juara berlalu dengan mudah, begitu juga ketika kejatuhannya, apabila menjual perniagaan telefon bimbitnya kepada Microsoft pada tahun 2013.
Kejayaan Awal Nokia Yang Sangat Pantas
Dengan kepimpinan yang muda dan bertenaga, kejayaan awal Nokia adalah hasil daripada pilihan pihak pengurusan syarikat yang mempunyai visi yang jelas dan berani dalam memanfaatkan teknologi sedia ada Nokia, pada ketika digitalisasi rangkaian telekom sedang berkembang pesat di seluruh Eropah.
Namun begitu, ketika pertengahan tahun 1990an, Nokia telah mengalami masalah rantaian bekalan, yang hampir-hampir menyebabkan kejatuhannya. Sebagai tindak balas, sistem dan proses yang lebih disiplin telah diwajibkan, menjadikan Nokia sangat efisyen dalam meningkatkan pengeluaran dan jualan, melebihi pencabarnya.
Antara tahun 1996 hingga 2000, jumlah pekerja di Nokia Mobile Phones (NMP) meningkat sebanyak 150 peratus kepada 27353, dengan peningkatan pendapatan kasar sehingga 503 peratus. Perkembangan pantas ini hadir dengan kos yang tersendiri. Kos tersebut adalah dalam bentuk tekanan kepada pengurus di pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang mengalami kesukaran untuk melakukan inovasi dalam masa yang singkat.
Terlalu Selesa Dengan Kedudukan
Mengetuai pasaran telefon bimbit selama hampir lebih satu dekad, Nokia tidak mempunyai pelan yang kukuh untuk masa depan, seperti berpuas hati dengan produk sedia ada. Ketika Apple melancarkan iPhone pada Januari 2007, sebuah telefon 'sentuhan' pertama, Nokia masih berbangga dengan produk siri-E nya.
Pada saat tersebut, definisi telefon pintar telah mengalami sebuah perubahan yang sangat besar, yang sangat tidak dijangka oleh ramai pihak, termasuklah Nokia sendiri. Kejayaan awal iPhone tidak memberi apa-apa impak mendalam kepada Nokia, namun lama kelamaan, Nokia mula terkesan. Dengan kehadiran pesaing lain seperti Samsung, Nokia masih gagal menyesuaikan diri untuk memahami kehendak pengguna.
Kejatuhan Nokia berlaku tanpa mereka sendiri sedari, dan dengan sangat pantas. Menurut nombor-nombor yang dikeluarkan oleh syarikat penganalisis, Gartner, perkongsian pasaran telefon pintar oleh Nokia pada tahun 2007 adalah sangat dominan, iaitu pada kadar 49.4 peratus. Tahun berikutnya, ianya berkurangan kepada 43.7 peratus, dan terus menurun tahun demi tahun, kepada 41.1 peratus, dan 34.2 peratus. Sehingga awal tahun 2013, jumlah itu berada pada kadar 3 peratus sahaja.
Percubaan Bangun Semula Dari Kejatuhannya
Ramai yang berpendapat bahawa kejatuhan Nokia pada awalnya adalah disebabkan oleh Symbian, sistem operasi jenama tersebut. Mereka seolah-olah 'terlupa' tentang kepentingan perisian (software), dan memberikan fokus kepada hardware semata-mata. Tidak seperti Nokia, Apple memilih untuk menambahbaik kedua-duanya, dan hasilnya, mereka kekal dominan sehingga ke hari ini.
Nokia sangat bergantung kepada Symbian sehinggalah mereka diambil alih oleh Microsoft. Namun perpindahan sistem operasi kepada Windows dilihat agak terlambat, kerana Apple dan Samsung sudahpun mendominasikan sistem perisian pada ketika itu.
Ketika mana Samsung melakukan pembaharuan terhadap produk telefon pintarnya tahun demi tahun, telefon Nokia-Window yang dilancarkan pada tahun 2011 ketinggalan dari segi teknologi asas untuk meningkatkan jualannya. Siri Nokia Lumia dilancarkan dengan penuh gah, namun tidak berjaya menarik hati para pengguna.
Antara sebabnya termasuklah rekaannya, yang mungkin dilihat kurang menarik, jika dibandingkan dengan telefon keluaran Samsung mahupun Apple. Jika fizikal luaran tidak diambil kira, teknologi telefon Nokia masih terkebelakang, daripada pelbagai segi.
Apa Yang Kita Boleh Pelajari Daripada Kisah Nokia
Kejatuhan Nokia dalam dunia telefon pintar tidak boleh diterangkan hanya dengan satu jawapan yang mudah. Pengurusan syarikat yang lemah, struktur organisasi yang tidak berfungsi, birokrasi, persaingan dalaman, gagal melakukan inovasi mengikut trend, dan lain-lain adalah antara penyebab utama kejatuhan Nokia.
Melihat daripada perspektif luaran, kejatuhan Nokia adalah disebabkan oleh kegagalan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, kekurangan penggunaan teknologi baharu yang lebih canggih dan inovasi yang tidak fokus serta sia-sia. Pengajarannya, untuk terus relevan dalam pasaran, sesebuah syarikat perlu menyesuaikan diri dengan perubahan trend semasa.
Nokia Hari Ini & Kaitannya dengan HMD Global
HMD Global ditubuhkan di Espoo, Finland, tempat kelahiran Nokia - pada tahun 2016 dengan matlamat untuk menghidupkan semula jenama telefon ini. Bagi mencapai cita-citanya itu, HMD menggaji bekas pekerja Nokia di bawah bumbungnya.
Startup ini sebenarnya dimiliki oleh sebuah dana persendirian yang dikenali sebagai SMart Connect LP, yang berdaftar di Luxemburg, di bawah pimpinan bekas eksekutif Nokia iaitu Jean-Francoise Baril.
Dengan barisan pimpinan eksekutif yang mantap sejak 2 tahun lalu, HMD memberi tumpuan secara eksklusif kepada kebangkitan semula jenama ini. Sejak penyertaan HMD, Nokia berjaya mengambil tempat dalam pasaran telefon harga pertengahan. Syarikat ini turut mula mengeluarkan model baharu bagi bersaing dengan jenama lain di pasaran, contohnya seperti Nokia 8 Sirroco, namun produk ini masih belum berjaya menarik perhatian umum.
HMD juga memperkenalkan semula beberapa telefon Nokia dengan reka bentuk klasiknya, seperti model ikonik 3310, lengkap dengan permainan popularnya iaitu Snake. Setahun kemudian, HMD menghidupkan semula Nokia 8810, model yang lebih dikenali sebagai telefon pisang.
Walaupun syarikat ini mempunyai permulaan yang baik, perjalanannya masih sukar. Pada tahun 2017, Arto Nummela, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) nya yang asal telah meninggalkan HMD. HMD yakin mereka mampu menerajui jenama Nokia dengan pimpinan sedia ada.
Semoga HMD berjaya menaikkan semula jenama Nokia ini ke persada dunia.
Bonus video hydraulic press Nokia 3310
Rujukan & Bacaan Tambahan: