Oleh pada 31 Jan 2017 kategori

Sekali sekala saya akan makan di kedai makanan segera. Lagi-lagi kalau ada di Kuala Lumpur sementara nak tunggu ETS balik ke Ipoh di KL Sentral atau tunggu penerbangan di KLIA memang kena singgah sebab mudah dan cepat.

Kadangkala ketika bersama tunang saya, bila dah tiada idea hendak makan dimana, maka 'fast food' lah jawapnya. Kalau pulang ke Lumut lepak bersama rakan-rakan atau adik saya pun, mesti di McDonalds depan rumah kami.

BESARKAN TEKS     A-  A+

"Meja sambung 4 5 buah. Makan ramai-ramai lepas habis makan, kotak, pinggan, cawan, talam semua berterabur macam baru lepas kena langgar Garuda. Macam tongkang pecah. Macam kandang babilah senang cerita." Inilah situasi kebiasaan yang selalu terlihat, lumrah agaknya.

Dulu saya macam ni jugak. Lepas makan tinggal. Dulu. Masa zaman sebelum belayar. Bila belayar kita tengok tempat orang,tengok budaya dan tabiat mereka, saya berubah.

Pernah sekali tu, saya makan di Mc Donalds Buersplein, Rotterdam circa 2009/2010. Ketika  itu saya perasan, orang sana lepas makan mereka akan kemas meja, angkat talam dan letakkan ditempatnya kembali.

Bila ziarah sekitar Buersplein, Coolsingel, Karel Doormanstraat dan Lijnbaan pun, senarionya sama. Kedai sebegini. Lepas makan, orang sana lap meja dengan tisu, angkat talam dan susun balik kerusi. Pelanggan yang lakukan semuanya, bukan pekerja. Maknanya mereka datang cantik pergi pun cantik. Mereka ambil peduli kesusahan pekerja untuk mengemas atau membersihkan sisa makanan mereka sendiri.

rakyat malaysia tak reti kemas meja selepas makan

Saya fikir ini satu amalan yang baik untuk diikuti.

Maka balik Malaysia saya amalkan tabiat lepas makan,kemas meja,kumpul sampah buang di tong sampah dan talam diletakkan ditempatnya.

Ketika itu, saya berada di KL Sentral. Ramai pandang saya. Macam satu perkara yang janggal bagi mereka. Mau tak pelik sendiri angkat talam McDonalds selepas makan. Sangat jarang dibuat orang. Saya buat tak tahu je dengan pandangan orang lain. Di tempat lain pun sama. Di Midvalley orang pandang janggal. Di Times Square orang pandang janggal. IKEA pun sama. Bagaikan saya melakukan tingkah laku yang amat pelik. Pelik super tersangat pelik agaknya. Dan tabiat ni saya amalkan sampai sekarang. 

Kenapa saya buat macam tu?

Sebab pertama saya lihat kelakuan orang Belanda dengan tabiat sedemikian masa zaman 'foreign going' dulu sangat baik untuk diikuti. Benda elok kita ambil. Yang tak elok tu kita buang.

Keduanya dulu tahun 2011 ke 2012 pernah ada kes pekerja franchais makanan segera dimaki pelanggan tak tentu pasal siap viral videonya. Kecoh satu Malaysia. Bertempur segala rakyat jelata di media sosial waktu tu. Ramai yang kata patut pun pekerja tu kena maki. Gaji dia pelanggan yang bayar. Saya macam wow. Jadi duit kau bayar tu kira lesen untuk maki dan hina pekerjaan orang lain. Hebat permainannya. Ada siap kata cukai perkhidmatan tu kira untuk mereka kemas tempat makan yang pelanggan tinggalkan. Nampak sikap tu sikap apa. Sikap terkeji macam babi tu.

makan bersepah

Saya ambil keputusan, untuk pekerja-pekerja ini saya akan bantu mereka. Bukan dengan wang ringgit tapi dengan meneruskan tabiat kemas tempat kita makan tanda solidariti kepada petugas franchais makanan segera ni. Biarlah orang kata buang tabiat pun.

Ya memang keuntungan kedai kedai ni akan bayar gaji mereka tapi itu bukan lesen untuk kita maki mereka atau tinggalkan tempat kita makan macam sarang babi hutan. Di rumah pun kita makan angkat pinggan kemas meja sendiri kan. Kenapa tak lakukan perkara sama di luar?

Tak salah pun amalkan. Melambangkan kita ni masyarakat ada pekerti mulia. Tanda kita tak lokek dan ada kesedaran sivik. Ya! memang kerja mereka berbayar, tapi janganlah sampai tinggal segala bala macam babi lepas makan.

Ni penanda aras mentaliti mayarakat. Kita dambakan fasilitas kelas dunia, kelas pertama serba serbi tapi hakikatnya tabiat dan kelakuan kita 'low class'. No class at all. Jadi berubahlah!

Selepas makan tu, kemas meja. Paling best bila adik-adik, abang, kakak, aunty dan uncle yang kerja sana ucap terima kasih kat kita. Sekelumit pekerti kita tu dibalas juga dengan kebaikan.

Paling malas pun kurang-kurang susun atur bagi elok agar mudah pekerja boleh terus angkat tanpa perlu menyusun sampah-sampah kita terlebih dahulu.

Petikan asal : Patriot Fanpage




Hakcipta iluminasi.com (2017)