Pada 16 Januari 1647, sebuah armada yang terdiri daripada tiga buah kapal milik Belanda iaitu Nieuwe Haerlem, Olifant dan Schiedam telah berlayar dari Batavia (yang kini berada di Jakarta) untuk perjalanan pulang ke Belanda.

Kapal-kapal itu kaya dengan kargo dan pelbagai barangan dari Timur. Dalam perjalanan, kapal-kapal tersebut telah berhadapan dengan ribut dan terpisah daripada satu sama lain. Kapal Nieuwe Haerlem telah sampai ke Table Bay, pada 25 Mac 1647, di mana ia terkandas di kawasan air laut yang cetek.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kapal tersebut mengandungi banyak barangan bernilai tinggi antaranya rempah-ratus, kain, porselin dari China dan sebagainya, kapten kapal ini telah melantik seorang krew yang paling dipercayai bernama Leendert Janszen untuk menjaga keselamatan barangan dan krew lain seramai 60 orang sehinggalah kapal yang lebih besar tiba untuk menyelamatkan mereka. 

Krew-krew yang tersadai ini juga telah membina kem atau tempat penginapan sementara di sepanjang kawasan pantai. Untuk meneruskan hidup, mereka bergantung pada tangkapan ikan dan juga penguin. Selain itu, mereka juga mendapatkan barangan lain dengan melakukan perniagaan melalui sistem barter dengan orang asli tempatan yang berasal dari etnik KhoiKhoi.

Kesemua krew kapal ini tersadai di kawasan ini hampir setahun lamanya sebelum sebuah lagi kapal besar yang dalam perjalanan pulang ke Belanda telah menumpangkan mereka pulang.

Cadangan mewujudkan tempat persinggahan kapal 

lokasi kapal karam

Peta yang menunjukkan anggaran lokasi kapal Nieuwe Haerlem yang karam 

Apabila tiba kembali di Belanda, Leendert Janszen telah menulis sebuah laporan kepada Syarikat India Timur Belanda yang antara isinya  mengandungi cadangan untuk mewujudkan sebuah tempat istirehat atau stesyen bantuan di kawasan yang dikenali sebagai "Cape" bagi membolehkan kapal-kapal berehat sebelum meneruskan perjalanan ke India.

Dalam laporan ini, beliau menyatakan bahawa lokasi Cape yang strategik, tanah yang subur, kepelbagaian sumber laut dan makanan, sumber kayu-kayan yang banyak untuk pembinaan penempatan dan sikap penduduk orang Asli di kawasan ini menjadikannya ianya lokasi yang sesuai.

Cadangan tersebut telah diterima dan pada tahun 1652, Jan Anthoniszoon van Riebeec, seorang lagi krew yang telah bersama-sama dengan Leendert Janszen tinggal di situ sebelum itu telah memulakan pembinaan kawasan persinggahan disini. 

Pembukaan Cape Town

penguasaan afrika selatan

Pada 6 April 1652, 5 buah kapal telah berlayar ke kawasan ini untuk menghantar segala kelengkapan yang diperlukan. Maka, secara tidak rasminya wujudlah sebuah kawasan penempatan di sini yang kini dikenali sebagai Cape Town. Untuk makluman, Cape Town juga merupakan ibu negeri bagi negara Afrika Selatan pada masa kini.

Lama-kelamaan, Cape menjadi sebuah kawasan penempatan yang sebahagian besar populasi penduduknya tidak mempunyai kewarganegaraaan. Malah, ramai juga rakyat Belandan yang sudah bersara berpindah ke sini dan menjadi pekebun. Apabila penduduk semakin ramai, maka, semakin luas kawasan yang diterokai sehingga jauh dari kawasan pantai.

Kedatangan hamba dan konflik dengan penduduk Asli

etnik khoikhoi

Lukisan gambaran kehidupan orang asli KhoiKhoi

Apabila aktiviti penanaman ini semakin berkembang, maka orang-orang Belanda telah membawa masuk ramai hamba dari kawasan jajahan mereka antaranya Indonesia, Madagascar dan kawasan timur Afrika untuk mengusahakan tanaman-tanaman di sini.

Lebih menyedihkan, pihak penjajah ini mula lupa diri dengan "merampas" tanah-tanah milik orang Asli KhoiKhoi dengan melancarkan peperangan terhadap mereka. Selain konflik peperangan, golongan orang Asli ini juga ramai yang mati akibat penyakit yang dibawa oleh orang-orang Eropah

Akibat semakin ditindas, hanya segelintir sahaja orang KhoiKhoi ini yang berjuang mempertahankan kawasan mereka sementara majoriti daripada mereka telah bekerja pula orang pihak penjajah ini. Begitu kejamnya perangai penjajah ini bagai kacang lupakan kulit.

Kedatangan British dan kemerdekaan Afrika Selatan

penjajahan british cape town

Pada abad ke 19, pihak British telah melakukan serangan di kawasan ini sehingga memaksa orang-orang Belanda ini melarikan diri dan membina penempatan baru di kawasan lebih pedalaman. Penempatan baru ini dikenali sebagai Boer.

Penemuan emas dan berlian di kawasan Boer pada penghujung abad ke 19 menyebabkan pihak British mula menyerang kawasan ini. Beberapa siri pertempuran telah berlaku sehingga lahirlah Kesatuan Afrika Selatan pada tahun 1910, sebuah kerajaan pemerintahan sendiri yang berasal Kerajaan British dan menjadi keturunan awal orang Inggeris yang wujud pada hari ini di Afrika Selatan.

Hanyalah pada tahun 1961, Afrika Selatan telah diberikan kemerdekaan sebagai sebuah negara republik.

Pencarian kapal karam Nieuwe Haerlem

arkeologi cape town

Mengikut catatan sejarah, kapal Nieuwe Haerlem yang karam di kawasan Cape Town dipercayai masih wujud tetapi masih belum dapat ditemui. Dr. Bruno Werz, seorang ahli arkeologi marin dari Belenda telah mencari bukti kapal Nieuwe Haerlem yang karam ini sejak 3 dekad kebelakangan ini.

Daripada simpanan sejarah kerajaan Afrika Selatan, beliau menemui beberapa maklumat penting termasuklah sebuah jurnal milik Leendert Janszen mengenai catatan tentang kehidupan mereka yang sukar setelah kejadian kapal karam tersebut. Ianya turut mengandungi petunjuk tentang kemungkian lokasi kapal tersebut karam.

Pada tahun 2016, beliau dan seorang ahli geofizik bernama Billy Steenkamp telah melakukan carian di kawasan yang dipercayai tempat karamnya kapal tersebut. Hasil kerja-kerja penggalian yang dilakukan menemui beberapa barangan yang dipercayai milik kapal lain yang karam disitu.

Namun, mereka turut menemui rantai yang diperbuat daripada kuprum yang dipercayai milik orang Asli KhoiKhoi yang telah didagangkan dengan sitem barter dengan orang Belanda. Walaupun lebih sedozen kapal yang karam di kawasan tersebut, mereka percaya satu hari nanti kapal karam yang membawa kepada pembukaan Afrika Selatan itu akan ditemui jua.

Kredit:

  1. BBC Travel
  2. South African Journal of Science
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)