Kredit foto: Youtube Shahida Supian 

Seorang penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), Shahida Supian, 20, mencuri perhatian dunia menerusi video nyanyiannya dalam lagu Despacito (nyanyian asal Daddy Yankee & Luis Fonsi ft Justin Bieber).

Video nyanyian yang dimuat naik ke laman Youtube itu turut menyelitkan bahagian rap dalam bahasa Sepanyol, bagaimanapun mampu dinyanyikan Shahida dengan begitu baik sekali.

Kepetahan sebutan bahasa Sepanyol Shahida menerima komen positif daripada pelayar Youtube seluruh dunia.

Ramai antara mereka kagum apatah lagi Shahida tidak pernah mempelajari bahasa itu sebelum ini.

"Saya minta maaf kalau bahasa Sepanyol saya tidak sempurna sebab saya tidak bercakap atau belajar bahasa itu," ucap Shahida.

Sehingga kini, video tersebut telah menerima 274,000 tontonan dan 1,600 komen.

"Wah, saya adalah orang Latin and bahasa sepanyol awak boleh tahan. Saya boleh dengar dengan jelas," komen Deiris Guedez.

"Vokal awak hebat dan bahasa sepanyol awak sempurna sekali, hampir sama seperti sebutan wanita Latin. Tahniah!!" ucap Juan Montiel.

"Comel sangat. Saya suka. Saya daripada Brazil, saya suka nyanyian awak!" kata Fernanda Goularte.

"Suara awak, petikan gitar, malah sebutan awak dalam bahasa Sepanyol kesemuanya begitu hebat," tulis Naira Alhossary.

Antara lagu-lagu lain yang dirakamkan Shahida dalam video-video sebelumnya adalah Warkah Untukku, Sabar, Rebahku Tanpamu dan Tergantung Sepi. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)