Kredit foto: kamiviral.org
Bintang veteran, Uji Rashid akui terkilan membaca komen negatif netizen susulan kisah bersama anaknya, Cico yang menjadi tular baru-baru ini.
Pelakon dan penyanyi era 1970-an itu berasa malu hingga ke tahap mahu melarikan diri dan enggan bersemuka dengan sesiapa.
“Aib itu memang ada dan siapa yang tak malu. Selepas macam-macam berita mengenai saya dan Cico tersebar, saya rasa tak nak keluar jumpa sesiapa pun.
“Rasa macam nak lari daripada semua orang. Waktu itu, kalau tuhan tunjuk keajaiban nak tarik saya pergi, saya akan pergi,” katanya menurut portal Mstar Online.
Uji bercakap dalam sesi temubual secara eksklusif bersama media yang diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di ibu kota pada Selasa.
Sementara itu, primadona ini mengaku berasa terluka dan marah dengan tuduhan kononnya Cico bisu dan pekak.
Kredit foto: sumberilhamku.com
“Saya yang menjaga dia. Orang cakap macam-maam pasal dia tentulah saya terasa dengan semua itu,,” luah Uji.
Begitupun, Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid sudahnya akur dengan dugaan yang diberikan Tuhan itu dengan anggapan ia sebagai menebus dosa-dosa beliau di masa silam.
“Saya terima sebagai satu ujian dan sedar kalau ini cara tuhan tarik dan menyuruh tebus salah serta dosa kita, Dia beri kita satu hikmah.
“Setiap hari, setiap masa saya minta doa pada Tuhan kalau ini anak yang saya kandungkan tolonglah pulihkannya,” ujarnya.
Namun, ternyata doa Uji dimakbulkan apabila Cico semakin menunjukkan perubahan selepas beberapa sesi terapi yang dijalaninya selama hampir dua tahun.
Menurut Uji, Cico terlantar sakit hingga tidak mampu bercakap dan bergerak, tanpa diketahui puncanya.
Kesabaran beliau berbalas apabila usaha mendapatkan rawatan terapi daripada beberapa doktor mula menampakkan kesan.
“Cuma percakapan dia masih belum lancar tapi dia boleh mengucap dan melaungkan azan selepas beberapa kali belajar,” katanya.
Menerusi laporan media yang lalu, Uji dan anaknya dikatakan telah dihalau daripada rumah kerana lewat melunaskan bayaran sewa.
19 Mac lalu menyaksikan Uji menerima harapan baru apabila mendapat kunci rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Subang.
Difahamkan sebelum ini, beliau sudah beberapa kali memohon bantuan kewangan dan perumahan tetapi kesemuanya tidak diluluskan.