dunia gusti professsional

Tahun 90-an merupakan kemuncak tayangan dunia gusti profesional di Malaysia. Nama-nama penggusti lagenda seperti The Undertaker, Kane, Stone Cold, The Rock dan ramai lagi pastinya menjadi kegilaan peminat gusti pada ketika itu.

Kini, walaupun tayangan perlawanan gusti profesional tidak semeriah dahulu, ia tetap mempunyai peminat yang tersendiri di Malaysia. Bagi peminat gusti tahun 90-an, anda pasti pernah mendengar mengenai kehebatan penggusti yang dianggap lagenda, iaitu Chris Benoit.

Siapakah Chris Benoit?

chris benoit 956

Chris Benoit boleh dikatakan seorang penggusti lagenda dari World Wrestling Entertainment (WWE), sebaris dengan penggusti-penggusti hebat sezaman dengannya seperti Eddie Guerrero, Chris Jericho, Chavo Guerrero dan Edge.

Dalam kalangan peminatnya, dia dikenali sebagai seorang penggusti yang mesra dengan peminat dan mempunyai etika yang baik sebagai seorang penggusti. Chris Benoit juga sangat disenangi oleh pihak WWE kerana sifatnya yang suka datang awal, balik lambat dan gemar bertegur sapa dengan para pekerja di WWE.

Pencapaiannya dalam sukan ini juga bukan calang-calang. Chris Benoit pernah muncul Juara Dunia, Juara Ameria Syarikat, Royal Rumble dan Wrestlemania. Selain WWE, dia juga pernah membuat kemunculan dalam ECW dan WCW.

Kematian Chris Benoit yang mengejutkan

eddie guerrero

Pada 22 Jun 2007, kira-kira 330 petang salah seorang rakannya Chavo Guerrero telah menerima khidmat pesanan suara dari Chris Benoit yang mengatakan dia telah tertinggal penerbangan yang sepatutnya diambil pada malam tersebut. Chavo telah menghubungi Chris Benoit dan menurutnya, suara Chris Benoit pada ketika itu seperti sedang kepenatan.

Pada masa yang sama, Chris Benoit memberitahu kepadanya bahawa isteri dan anak-anaknya mengalami keracunan makanan. Chris mengatakan dia mungkin terpaksa ke hospital. Chris berjanji untuk mengambil penerbangan ke Houstan keesokan harinya untuk menghadiri perlawanan menentang CM Punk yang telah dijadualkan keesokan harinya.

Malangnya, dia dikatakan tidak hadir tanpa sebarang pesanan kepada pihak pengurusan. Hal ini telah menyebabkan mereka curiga dengan apa sebenarnya yang berlaku dan pihak WWE telah mengarahkan pihak polis mengadakan rondaan di rumah Chris. Ketika inilah, mereka menemui mayat Chris Benoit sekeluarga.

Pada 24 Jun 2007, berita kematian Chris Benoit bersama isteri dan anak-anaknya di rumah mereka telah menggemparkan dunia gusti. Keesokan harinya, pada 25 Jun 2007, pihak WWE menggantikan program WWE Monday Night Raw dengan sebuah tayangan yang didedikasikan  Chris Benoit.

Pendedahan mengejutkan dari pihak penyiasat

memori chris benoit

Pada mulanya, ramai yang menyangka bahawa Chris Benoit dan keluarganya di bunuh. Namun, setelah kajian yang dibuat di tempat kajian, mereka membuat satu kesimpulan yang sungguh mengejutkan.

Chris Benoit dan keluarganya bukanlah dibunuh oleh orang lain sebaliknya Chris Benoit sendirilah yang membunuh isteri dan anaknya sebelum membunuh diri. Hasil laporan yang sangat mengejutkan ini menyebabkan Vince McMahon telah membuat ucapan dalam ECW yang berbunyi seperti berikut (setelah dialih bahasa ke Bahasa Melayu):

Para hadirin sekali,
Malam semalam dalam RAW, pihak WWE telah membuat satu persembahan khas yang didekasikan bagi mengenang karier Chris Benoit. Walau bagaimanapun, 26 jam kemudian, pihak penyiasat telah mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku. Oleh itu, selain ucapan saya ini, nama Mr. Benoit tidak akan disebutkan lagi mulai malam ini.


Sebaliknya, persembahan dan malam ini didedikasikan buat semua pihak yang terkesan dengan tragedi yang sangat mengejutkan ini. Malam ini merupakan permulaan yang lebih baik bagi proses pemulihan daripada tragedi ini. Pada malam ini, setiap penggusti WWE akan melakukan apa yang sebenarnya perlu dilakukan oleh mereka, iaitu menghiburkan anda semua.

Vince benar-benar mengotakan apa yang diucapkannya. Dalam tempoh 24 jam berikutnya, nama Chris Benoit telah dibuang daripada laman web rasmi WWE. Malah, jualan cenderahati yang mempunyai nama Chris Benoit juga dihentikan serta merta. Kesemua gambar dan video Chris Benoit juga dikeluarkan daripada laman rasmi WWE.

Selain itu, pihak pengacara tidak langsung menyebut namanya dan jasa serta kejayaannya dalam dunia gusti. Dalam sekelip mata, pihak pengurusan WWE mahu memadam terus nama Chris Benoit atas kesalahan jenayahnya itu.

Tindakan yang penuh misteri

autopsi otak chris benoit 264

Hasil ujian autopsi otak Chris Benoit yang menunjukkan adanya bukti CTE

Terkenal sebagai seorang yang sangat penyayang dengan keluarganya, sudah tentulah tindakan kejam Chris Benoit mengejutkan ramai pihak terutamanya peminatnya. Terdapat beberapa teori atau pendapat mengapa Chris Benoit sanggup melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan ini.

Dalam satu temuramah, kakak iparnya memberitahu bahawa Chris Benoit mungkin mengalami masalah depresi selepas kematian rakan baiknya, Eddie Guerrero beberapa tahun sebelum kejadian itu. Sejak itu, dia dikatakan mengalami kemurungan dan bertindak lebih agresif terhadap isteri dan anaknya.

Salah satu pendapat yang kuat adalah kerana kecederaan otak yang dialaminya telah menyebabkannya bertindak membunuh ahli keluarganya sendiri. Dia dikenali umum bukanlah seorang yang agresif terhadap ahli keluarganya dan tidak mempunyai rekod perubatan yang mencurigakan.

Walau bagaimanapun, post-mortem yang dibuat pada otaknya telah mengejutkan doktor. Doktor telah menemui kesan-kesan kecederaan otak, Chronic traumatic encephalopathy (CTE - penyakit pada otak disebabkan kecederaan pada kepala yang berulang) dan steroid.

Kritikan terhadap tindakan WWE memadam namanya

chris benoit hd wallpaper

Tindakan pihak WWE memadamkan terus legasi Chris Benoit ternyata tidak disenangi sesetengah peminatnya. Ada peminat yang menggesa pihak WWE memasukkan semula namanya dalam laman rasmi WWE dan pada masa yang sama mengutuk tindakan kejamnya itu.

Bagi golongan ini, tidak salah sekiranya pihak WWE menyenaraikan nama Chris Benoit kerana kejayaan dan jasanya dalam memajukan industri ini. Namun, pada masa yang sama, pihak WWE boleh menjadikan kes ini sebagai kempen kesedaran bahaya pengambilan dadah.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. eWrestling News
  3. Historic Mysteries


Hakcipta iluminasi.com (2017)