China merupakan salah sebuah negara yang mempunyai pencemaran udara paling tinggi di dunia. Mengikut laporan, pada tahun 2015, 1.8 juta orang di China telah mati akibat pencemaran udara yang sangat teruk ini.

Oleh sebab itu, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah drastik dan memperkenalkan polisi-polisi baru bagi mengurangkan pencemaran udara di China. Antara langkah yang telah diambil adalah mengurangkan penghasilan tenaga eletrik melalui arang baru dan membina ladang tenaga solar terbesar dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain itu, sekiranya anda ke China, anda akan dapati bahawa terdapat banyak basikal yang boleh disewa terutamanya di kawasan bandar. Malah, amat sukar untuk menemui motosikal yang menggunakan minyak petrol di sana kerana kebanyakan motosikal di sana menggunakan kuasa tenaga elektrik.

Pembinaan Penapis Udara Terbesar Di Dunia

menara penapis udara

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa China sedang berusaha mengurangkan pencemaran udaranya melalui pembinaan Menara Penapis Udara. China baru sahaja menyiapkan pembinaan sebuah menara penapis udara tertinggi di dunia yang terletak di bandar Xian di daerah Shaanxi.

Menara ini mempunyai ketinggian 100 meter dan dibina di bandar Xian, sebuah bandar di bahagian utara China yang mempunyai pencemaran udara yang sangat teruk. Kawasan ini merupakan bandar perindustrian dan sangat tercemar kerana kebanyakan kilang-kilang di kawasan ini masih menggunakan arang batu untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Cao Junji, iaitu saintis yang mengetuai pembinaan menara ini memberitahu bahawa menara ini sangat mesra alam sekitar dimana ianya menggunakan haba daripada matahari untuk mewujudkan aliran udara yang menaik yang akan melalui beberapa penapis udara di dalamnya. Udara yang telah ditapis ini kemudian akan keluar semula sebagai udara yang lebih bersih daripada sebelumnya.

Menurutnya juga, kajian yang telah dilakukan menunjukkan sejak menara ini berfungsi, udara dalam lingkungan 10km daripada menara ini didapati lebih bersih dan kurang tercemar daripada sebelumnya. Data yang diambil daripada beberapa kawasan menunjukkan penurunan kepekatan habuk sebanyak 15% sejak menara ini berfungsi.

Menara ini juga mempunyai kemampuan yang menakjubkan. Ianya mempu menapis kira-kira 10 juta meter isipadu udara setiap hari. Ianya mampu menapis habuk yang bersaiz halus (PM2.5) dan gas nitrogen oksida, nitrogen dioksida dan sulfur dioksida yang merupakan komponen utama yang menghasilkan jerebu.

Percubaan pertama Menara Penapis Udara di Beijing

penapis udara di beijing

Pembinaan menara penapis udara di bandar Xian itu bukanlah percubaan pertama China untuk membina sebuah sistem penapis udara berskala besar. Beberapa tahun sebelum ini, sebuah menara dengan fungsi penapis udara telah dibina di sebuah taman di bandar Beijing.

Menara yang hanya mempunyai ketinggian 7 meter itu mampu menapis udara dengan kapasiti 30,000 meter isipadu udara setiap jam. Walau bagaimanapun, pembinaannya tidak mencapai matlamat utamanya untuk membersihkan udara di sekelilingnya kerana menara tersebut dikuasakan oleh tenaga elektrik yang dijana oleh kilang arang batu di China.

Rancangan untuk masa hadapan

menara penapis udara tertinggi di dunia

Buat masa ini, menara penapis udara ini masih dalam fasa percubaan. Lebih banyak kajian sedang dilakukan untuk meningkatkan keberkesanannya. Walau bagaimanapun, hasil-hasil kajian yang sudah diperolehi sehingga kini sangat memberangsangkan dan menunjukkan keputusan yang positif.

Pada masa hadapan, pasukan saintis ini bercadang untuk membina menara penapis udara setinggi 500 meter dengan diameter 200 meter di beberapa bandar utama di China. Paten bagi rekabentuk menara tersebut juga telah difailkan pada tahun 2014. Kebergantungan menara ini kepada tenaga solar semata-mata juga bermakna bahawa pembinaan menara penapis udara ini merupakan satu langkah bijak oleh China dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran udara di negara tersebut.

Kredit:

  1. SCMP
  2. Clean Technica
  3. NewsWeek



Hakcipta iluminasi.com (2017)