Kredit foto: Instagram Rozita Che Wan

Aktres Rozita Che Wan mendedahkan dirinya juga pernah menjadi mangsa penipuan seorang Datuk yang juga merupakan ahli perniagaan.

Kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, dia kerugian puluhan ribu ringgit kerana diperdaya melibatkan produk minyak wangi keluaran syarikat tersebut, sejak tahun lepas.

Ahli perniagaan itu sebelum ini dikatakan menipu pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal juga melibatkan penghasilan produk minyak wangi.

"Saya ingat, saya boleh mempercayai dirinya. Tetapi rupa-rupanya dia berniat jahat apabila menipu saya hingga mengalami kerugian sebanyak RM50,000.

"Bayangkan, banyak duit yang diperolehnya dengan hasil penipuan. Malah, dia boleh tukar kereta mewah, tambah isteri dan macam-macam lagi dengan hidup menipu orang.

"Saya akhirnya memutuskan untuk menghalalkan saja. Insya-Allah, saya reda. Biarlah hidupnya tidak senang kerana menyusahkan orang dan semoga dia juga akan berubah," katanya memetik laporan portal Berita Harian Online.

Rozita membuat kenyataan tersebut di majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta umrah Imtiyaz Travel & Tours yang berlangsung semalam.

Sementara itu, Che Ta berkata, dia tidak membangkitkan isu itu sebelum ini kerana tiada perjanjian hitam putih dalam kerjasama mereka.

Kes itu tidak dapat dibawa kepada pihak polis berikutan tiada dokumen lengkap yang mengesahkan urusan tersebut.

"Begitupun, walaupun tiada kontrak mahupun perjanjian secara hitam putih, bukti pembayaran tetap ada.

"Saya malas hendak menghebahkan perkara ini, apatah lagi membuat laporan polis kerana silap saya juga apabila tidak mempunyai dokumen yang sepatutnya.

"Merayu dan meminta pun tak diendahkannya. Tak apalah, doa orang yang teraniaya selalunya dimakbulkan," luahnya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta dan suami, Zain Saidin bersama anak, Aaisyah Dhia Rana dalam perancangan untuk ke Kota Makkah bersama agensi kembara itu pada Januari 2018.

Rombongan mereka bakal disertai 20 ahli keluarga dan saudara terdekat, selain membuka penyertaan kepada orang ramai yang berminat.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)