Kredit foto: Instagram Rozita Che Wan & Instagram Fazura

Aktres Rozita Che Wan menasihati Fazura agar lebih reda apabila memiliki pasangan yang mempunyai jarak usia yang jauh sebagai suami.

Rozita atau Che Ta berkata, pandangan yang berbeza menjadi cabaran terbesar dalam kehidupan berumah tangga, sebagaimana yang dilaluinya bersama suami, Zain Saidin.

"Setiap pasangan berbeza dan jarak saya dengan suami agak jauh berbanding Fattah dan Fazura, mereka baru tujuh tahun beza.

"Apa yang boleh saya nasihat ialah kena banyak reda dan saling bertolak ansur kerana cara pandangan kita dan dia (lelaki) berbeza. Kadang-kadang kita jangka dia akan buat perkara ini, tapi dia buat lain," katanya menurut laporan portal Mstar Online, sewaktu ditemui di Expo Negaraku di Dataran Merdeka pada Isnin.

Che Ta diminta mengulas hubungan Fazura dan Fattah Amin yang melangsungkan pernikahan dalam majlis tertutup di sebuah hotel lima bintang, semalam.

Fattah berumur 27 tahun sementara Fazura pula berusia 34 tahun.

Che Ta, 44, menjelaskan, biarpun faktor usia dianggap cabaran, isu itu berjaya ditanganinya dengan baik melalui proses pembelajaran sepanjang bersama Zain.

"Pilih lelaki lebih muda kita perlu belajar dan tidak boleh jangka apa yang mereka fikir sama.

"Soal anak contohnya, Zain mahu anak ramai tapi pada fikiran saya pula yang penting ialah kualiti bukan kuantiti," ujarnya.

Rozita dan Zain, 32, mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013 dan sehingga kini dikurniakan seorang cahaya mata, Aaisyah Dhia Rana yang berusia dua tahun.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)