Kredit foto: BH Online

Penyanyi lelaki yang dikenali sebagai Ulat Bulu Man (UBM) menafikan tanggapan kononnya dia berimej adiwira semata-mata untuk meraih perhatian.

Ulat Bulu Man (UBM), 23, yang hanya mahu dipanggil Hank bagaimanapun berkata, imej yang ditampilkan itu adalah rentetan kejadian ragut yang dipernah disaksikannya di hadapan mata.

"Ketika berusia 17 tahun, saya melihat sendiri kes ragut membabitkan seorang wanita warga emas yang dilakukan oleh seorang lelaki.

"Mulanya saya bercadang untuk membantu tetapi terpaksa membatalkan hasrat itu kerana peragut adalah rakan sendiri yang memang dikenali sebagai ‘taiko.’

"Saya berfikir panjang kerana bimbang dia akan berdendam terhadap keluarga saya selepas itu. Kalaulah saya pakai kostum tertentu, mungkin saya boleh menyelamatkan wanita itu," katanya kepada portal Harian Metro.

Beliau baru sahaja tampil dengan single sulung, Puisi Buat Perompak ciptaan penyanyi dan komposer Oja.

Menurut Ulat Bulu Man, lagu itu dibuat khusus buat peragut dan perompak sebagai amaran kerana telah mengganggu ketenteraman komuniti awam.

Difahamkan, lagu yang pada awalnya bertajuk Puisi Buat Peragut itu ditukar judulnya untuk memberi makna yang lebih am.

cetus perhatian ulat bulu man penyanyi baru berkostum adiwira 3

Kredit foto: Instagram Ulat Bulu Man

"Asalnya judul single genre rock ini ialah Puisi Buat Peragut, tetapi saya dan Oja merasakan ia kurang sesuai dan menukarnya kepada Puisi Buat Perompak kerana pengertiannya lebih meluas," katanya.

Dalam masa sama, Ulat Bulu Man menggunakan peluang menghasilkan single itu demi menjayakan kempen RagutBusters yang dianjurkannya.

"Lagu ini jadi bukti tanggungjawab sosial saya sebagai anggota masyarakat untuk menyampaikan mesej kepada umum dengan cara sendiri. Kini saya mengetengahkan kempen RagutBusters sebagai kempen anti ragut yang lahir dari hati nurani saya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penampilannya pada hari ini sedikit sebanyak berpunca daripada pengaruh menyaksikan pelbagai rancangan adiwira, termasuk angan-angannya untuk menjadi makhluk itu semenjak kecil.

Malah, jika anda masih ingat dengan kisah netizen yang berpakaian Spiderman untuk membayar zakat, beliaulah individu berkenaan yang juga aktif menggayakan kostum adiwira dalam pelbagai acara yang dijayakan sebelum ini.

cetus perhatian ulat bulu man penyanyi baru berkostum adiwira 1

Kredit foto: Instagram Ulat Bulu Man

"Minat ini terbawa-bawa sehingga saya meningkat dewasa. Malah sebelum ini saya dapat tumpuan di laman sosial apabila berpakaian Spiderman ketika membayar zakat, membantu mangsa banjir dan melakukan banyak perkara lagi.

"Saya juga pernah menyanyi di pelbagai karnival dengan menggayakan pelbagai kostum adiwira dan ia menjadi nilai tambah kerana dapat menarik perhatian peminat," katanya yang juga merupakan pemilik sebuah pusat karaoke di negeri Pantai Timur.




Hakcipta iluminasi.com (2017)