kecewa nak terjun dari tempat tinggi

Apabila hubungan cinta yang dijalin selama bertahun-tahun putus ditengah jalan, ataupun cinta kita hanya bertepuk sebelah tangan, mestilah kita berasa kecewa dan patah hati. Bila emosi terganggu dan jiwa tertekan, mulalah syaitan berbisik-bisik untuk pikat balik hati si dia dengan menggunakan minyak senyonyong, ataupun Nauzubillah, santau bekas kekasih kita, bukan?

bomoh

Jangan minta tolong bomoh, dosa!

Jangan, semua itu tidak akan menyelesaikan masalah. Cara terbaik adalah melepaskan semuanya dan mulakan episod kehidupan yang baru. Cakap memang mudah, namun untuk move on itu bukanlah perkara yang senang. Cubalah amalkan tips dibawah, mungkin ianya dapat membantu anda!

Aromaterapi

Seperti namanya, aromaterapi merupakan gabungan dua perkataan, aroma yang membawa maksud bau, dan terapi yang bermaksud rawatan untuk kembali sembuh.

Mesti ada yang terfikir, apa yang bauan bunga boleh buat untuk menyembuhkan hati yang luka?

aromatheraphy

Bau merupakan salah satu deria yang memainkan peranan penting dalam mencorak kehidupan seharian kita. Bau nasi goreng kampung mampu buat perut kita yang tidak lapar berkeroncong, bau busuk jamban yang tidak flush boleh buat hajat untuk buang air kita terbantut, dan bau coffee di cafe boleh mengimbau balik kenangan kita menetap di Paris tahun lalu.

Meskipun bau bunga seperti lavender tidak mampu melupakan kenangan anda serta bekas pasangan daripada kotak memori anda, namun, mengikut kajian, bau mampu menenangkan perasaan dan emosi. Bukankah emosi yang berkecamuk dan perasaan negatif sinonim dengan orang yang sedang berduka?

Mengikut kajian juga, aromaterapi, khususnya bauan bunga juga mampu membantu anda untuk lebih fokus, mudah tidur, mengawal anak yang sering meragam dan sebagainya.

Antara contoh aromaterapi mudah dan murah adalah dengan menggunakan essential oil (minyak pati) lavender. Minyak pati lain seperti rose maroc dan melissa juga sesuai, namun lavender merupakan ‘ibu segala minyak’ yang mempunyai khasiat yang sangat banyak.

Meditasi

Kebanyakan kita yang beragama islam khususnya selalu berpendapat yang amalan meditasi ini seperti meniru amalan agama lain.

meditasi 4il14

Sebenarnya, meditasi yang dimaksudkan disini bukanlah pergi bertapa didalam gua selama 5 tahun atau menyendiri di kuil atas pergunungan Himalaya selama seminggu. Sebaliknya meditasi adalah aktiviti meluangkan sedikit masa untuk kosongkan minda dan berehat.

Sama seperti waktu kita bersolat, menerusi meditasi kita akan kosongkan minda, lepaskan segala kerisauan yang ada di dalam kepada dan bernafas mengikut arahan dan saranan pengajar anda.

Sekiranya anda kurang yakin untuk berjumpa profesional, anda boleh cuba untuk muat turun aplikasi seperti headspace ataupun hellomind di Appstore ataupun GooglePlay.

Jangan risau, meditasi yang penulis maksudkan disini adalah lebih kepada mengawal emosi, minda dan pernafasan. Seperti bau, minda merupakan sebab utama kita sukar untuk move on. Manakan tidaknya, semakin kita cuba untuk melupakan si dia, semakin bertubi-tubi pula memori dan kenangan di tepi pantai Cote-d’Azur yang bertandang.

Melalui meditasi, anda tidak akan lupakan semuanya. Mana mungkin boleh lupa! Namun, anda akan mempunyai kekuatan untuk mengawal apa yang bermain di dalam kepala anda dengan lebih mahir.

Apabila kenangan lepak bersama-sama sambil tengok movie bersama si dia datang mengetuk pintu hati anda, kali ini minda anda dengan mudah dan kuatnya mampu berkata: TIDAK.

Hipnosis

hipnosis the simpson

Kita juga selalu ragu-ragu setiap kali terdengar amalan ‘hipnosis’. Ada juga yang berpendapat yang menerusi hipnosis ini kita boleh mengawal perbuatan, perkataan, serta tingkah laku orang lain. Amalan yang boleh kawal orang lain itu namanya pukau, sejenis sihir yang sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Tetapi, hipnosis pula merupakan ‘keadaan’ yang membolehkan minda bawah sedar kita boleh diprogramkan.

Menurut pengalaman sesetengah orang yang pernah mencuba hipnosis semata-mata untuk rawat hati yang patah, mereka langsung tak lupakan bekas buah hati mereka. Sebaliknya, fikiran mereka secara beransur-ansur ‘terlupa’ akan luka dihati dan lebih fokus kepada matlamat hidup mereka.

Yang paling penting sekali, jangan lupa untuk berdoa. Sebab bukankah doa merupakan senjata seorang muslim? Mungkin ada hikmah dan pengajaran yang sangat besar disebalik episod duka anda hari ini. Jadi, jangan berduka! C’est le temps qui nous guidera.

Cuba kongsikan cara peribadi anda (yang positif dan unik) untuk move on. Berkongsi itukan amalan yang mulia!


tags : , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)