Oleh pada 03 Jan 2020 kategori

hukum tindik telinga

Menindik adalah sejenis perhiasan yang biasanya dikaitkan dengan golongan wanita. Namun, ia juga menjadi trend bagi golongan lelaki yang kini ramai melakukannya.

Tempat yang paling biasa ditindik sudah tentunya di cuping telinga akan tetapi, hidung juga menjadi tempat melakukan perkara ini terutamanya dalam kalangan wanita yang mana mahu kelihatan "seksi".

Persoalannya, adakah perbuatan ini dibenarkan oleh Islam walaupun bagi wanita?

Berkenaan dengan perihal menindik telinga, Nabi S.A.W pernah bersabda tentang hal pemakaian yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

نَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم صَلَّى يَوْمَ الْعِيدِ رَكْعَتَيْنِ، لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلاَلٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ، فَجَعَلَتِ الْمَرْأَةُ تُلْقِي قُرْطَهَا‏

Maksudnya: "Sesungguhnya (Rasulullah) S.A.W. selepas melakukan solat sunat Aidiladha dua rakaat, Baginda tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepasnya, kemudian Baginda pergi menemui golongan wanita bersama Bilal, lalu Baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah, sehingga terdapat daripada mereka yang memberi anting-anting mereka,". (Rujuk: Sahih al-Bukhari: 5883) 

hukum tindik hidung bagi perempuan

Di dalam syarahannya, Imam Ibnu Hajar Al-Asqolani menyatakan wajh istidlal (menetapkan dalail dari nash (Al-Qur’an dan As-Sunnah atau dari ‘ijma dan selain dari keduanya ) bagi hadis yang disebutkan di atas bahawa adalah diharuskan untuk memakai perhiasan telinga atau anting-anting bagi wanita. (Rujuk: Fathul Al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari: 10/408)

Ulama Al-Syafieyah mempunyai pendapat berbeza dalam hal menindik telinga di mana setengah daripadanya mengharuskan dan yang lain melarangnya.

Perbezaan ini adalah berkaitan dengan bayi lelaki yang diharamkan telinganya ditindik kerana ia menyerupai perempuan.

Bagi Imam Ghazali, beliau berpendapat bahawa hukumnya adalah "tidak diharuskan kerana menyebabkan kesakitan, tetapi dibolehkan untuk tujuan perubatan, berbekam dan khitan. Perbuatan menindik dikategorikan sebagai berhias dan ia bukanlah sesuatu yang penting". (Rujuk: Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 39/349).

Dalam hasyiahnya, Al-Imam Ahmad Al-Malibari mengarang mengenai gurunya yang menyatakan bahawa bayi perempuan diharuskan untuk ditindikkan telinganya, dan tidak bagi bayi lelaki.

perbuatan menindik telinga bayi perempuan

Hal ini disebabkan oleh amalan bagi bayi perempuan untuk memakai perhiasan pada dirinya sama ada pada zaman sekarang atau zaman dahulu. (Rujuk: Fathul Al-Muin bi Syarhi Qurratil Al-Ain: 1/592)

Seperti yang dikarang di dalam Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, jumhur Fuqaha mengharuskan perbuatan ini bagi wanita:

جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ عَلَى أَنَّ تَثْقِيبَ أُذُنِ الصَّغِيرَةِ لِتَعْلِيقِ الْقُرْطِ جَائِزٌ، فَقَدْ كَانَ النَّاسُ يَفْعَلُونَهُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَيْرِ إِنْكَارٍ، فَعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

Maksudnya: Jumhur ulama berpendapat harus hukum menindik bayi perempuan dengan tujuan perhiasan. Ini kerana kebanyakan para wanita di zaman Nabi S.A.W menindik telinga mereka dan Baginda S.A.W tidak melarangnya. Ini seperti yang digambarkan di dalam hadis Ibnu Abbas R.A (Rujuk: Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 11/272). 

Menindik tempat lain selain hidung

hukum tindik hidung bagi perempuan 2

Seperti yang dinyatakan dalam tafsir Al-Razi, perbuatan berhias pada asalanya diharuskan, :"Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (melarangnya)”. (Rujuk: Fathul Al-Bayan Fi Maqasid Al-Quran: 3/311)

Dan walaupun hukum asal berhias adalah diharuskan, sebagai umat Islam kita tidak dibenarkan untuk berlebih-lebihan atau melampaui batas.

Ini kerana Allah S.W.T tidak menyukai perbuatan ini, seperti dalam firman-Nya dalam Al-Quran:

وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: "Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas ,". (Surah Al-A'raaf: 31) 

Perkara ini juga dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sabda baginda yang menegah kita daripada berlebihan dan melakukan sesuatu perkara dengan tidak bermanfaat.

Seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin Al-Ash, Rasulullah S.A.W bersabda: 

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَتَصَدَّقُوا وَالْبَسُوا مَا لَمْ يُخَالِطْهُ إِسْرَافٌ أَوْ مَخِيلَةٌ

Maksudnya: "Makan dan minumlah, bersedekah dan berpakaianlah tanpa ada unsur berlebihan atau sia-sia ,". (Rujuk: Sunan Ibnu Majah: 3605) 

Kesimpulan

bolehkah wanita tindik hidung

Merujukan kepada dalil-dalil dan perbahasan mengenai hukum perbuatan menindik telinga di atas adalah diharuskan bagi golongan wanita. 

Akan tetapi, hanya suami dan golongan mahramnya sahaja yang boleh melihat perhiasan ini kerana telinga adalah sebahagian daripada aurat wanita. 

Dan berbalik kepada persoalan awal tadi mengenai menindik di bahagian lain selain daripada telinga adalah tidak diharuskan kerana ia seperti menyerupai golongan kafir dan fasiq.

Seperti dalam hadis daripada Ibn Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang melarang umatnya daripada meniru atau menyerupai orang kafir: 

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud: 4031)

Malah, tindakan menindik di bahagian lain selain telinga walaupun bagi wanita dianggap sebagai sesuatu yang melampaui batas dalam berhias, dan perbuatan ini dilarang dalam syariat Islam seperti dalam dalil-dalil di atas.

Wallahualam.

Rujukan:

1. Islam QA

2. Mufti WP

3. IlmGate



Hakcipta iluminasi.com (2017)