Oleh pada 24 Nov 2017 kategori

Isu-isu di antara hubungan majikan dengan pekerja yang kerap kita dengari selalunya berkait rapat dengan isu gaji.

Namun ada beberapa ketika muncul pula isu yang lebih sensitif seperti isu halangan solat Jumaat atau halangan pemakaian tudung bagi wanita Muslimah, sedikit sebanyak mampu membuatkan masyarakat kita berpecah belah.

Adakah isu ini sebenarnya mempunyai masalah yang lebih mendalam berbanding apa yang kita lihat ketika ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Besar kemungkinan ya, berdasarkan satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid, yang diterbitkan pada tahun 2013 dan telah mendapat reaksi banyak pihak.

Kajian kontroversi yang dijalankan

temuduga dengan tiga orang panel

Melalui kajian yang dijalankan menggunakan ujikaji lapangan, resume-resume pelajar yang baru bergraduasi dihantarkan kepada syarikat-syarikat yang memaparkan iklan jawatan kosong, dengan jumlah panggilan semula dijadikan ukuran bermula tahun 2011.

Dr. Lee dan Dr. Muhammed mengambil contoh-contoh resume dalam bidang kejuruteraan, perakaunan serta kewangan lalu mencipta resume yang menepati kehendak syarat-syarat asas majikan seperti kelayakan dan kelulusan seiring dengan spesifikasi kerja.

Resume-resume yang direka pula digarap agar kelihatan seiring di antara kelayakan satu sama lain, cuma perbezaan yang diwujudkan adalah pada elemen bangsa pemohon dan kebolehan berbahasa.

Sebanyak 3012 resume telah dihantar pada 753 iklan jawatan kosong pelbagai syarikat yang memerlukan posisi di lokasi yang majoritinya Kuala Lumpur.

Tempoh dua bulan dari tarikh penghantaran resume, diambil sebagai tempoh menunggu maklum balas dari pihak syarikat.

Untuk mengenalpasti latar belakang syarikat bagi mengelakkan keraguan, Dr.Lee dan Dr. Muhammed juga mendapatkan maklumat kesemua 753 syarikat terlibat bagi mengenalpasti syarikat yang dijadikan ujikaji, tergolong dalam kategori yang ditetapkan.

Syarikat diasingkan mengikut pemegang saham dan pengarah daripada bangsa Cina, Melayu ataupun bangsa asing. Harus dimaklumkan, mereka hanya berjaya mendapatkan 689 maklumat syarikat dalam ujian.

Pemohon Melayu menghadapi diskriminasi?

barisan pekerja berbangsa melayu

Hasil ujian mereka mendapati, secara keseluruhan resume pemohon berbangsa Cina mempunyai kadar panggilan semula 22.1% berbanding pemohon bangsa Melayu yang hanya mendapat 4.2%.

Ini bermaksud, bagi setiap seorang pemohon bangsa Melayu yang diberikan panggilan balas, terdapat 5.3 orang pemohon Cina yang turut sama berjaya dipanggil.

Dalam turutan kebarangkalian paling ramai mendapat panggilan balas berdasarkan turutan adalah seperti berikut;

1. Pemohon Cina untuk kerja kejuruteraan (24.8%)

2. Pemohon Cina untuk jawatan kewangan (19.1%)

3. Pemohon Melayu untuk jawatan kewangan (5.7%)

4. Pemohon Melayu untuk jawatan kejuruteraan (2.9%)

Beberapa dapatan lain dalam kajian ini menunjukkan mana-mana pemohon Melayu yang menyatakan kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin mempunyai tahap panggilan lebih baik berbanding yang tidak mampu.

Bagaimanapun, dapatan sama tidak pula menampakkan sebarang perbezaan apabila pemohon Cina menyatakan kebolehan mereka bertutur dalam bahasa lain.

Kelulusan daripada Universiti Tunku Abdul Rahman atau UTAR mencatatkan panggilan balas paling tinggi di kalangan pemohon berbangsa Cina, dengan 25.4% dicatatkan berbanding 20.4% pemohon berbangsa Cina daripada universiti lain.

Adakah syarikat Melayu pun diskriminasi pemohon Melayu?

temudga pemohon melayu

Apa yang membimbangkan, kadar peratusan syarikat yang dikawal majoriti Cina (23.9%) dan warga asing (20.2%) memberikan panggilan balas kepada pemohon Cina.

Bagi pemohon Melayu, nilai tersebut hanyalah 3.8% dan 1.9%.

Yang lebih menyedihkan, syarikat milik bangsa Melayu juga 1.6 kali lebih tinggi peluangnya untuk memanggil pemohon Cina berbanding pemohon berbangsa Melayu.

Walaupun begitu, berdasarkan maklumat yang telah mereka perolehi - tidak dapat disimpulkan adakah memang 'bangsa' menjadi penyebab berlakunya diskriminasi, kerana terdapat beberapa faktor lain seperti kebolehan berbahasa, syarat fasih bahasa dan juga profil syarikat itu sendiri yang membezakan keputusan kajian.

Atas faktor-faktor tersebut, hasil dapatan kajian ini perlulah dinilai secara lebih terbuka kerana komplikasi wujud daripada faktor-faktor tersebut, dilihat mampu mempengaruhi peluang pemohon ditemuduga.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan Dr. Lee dan Dr. Muhammed, jelas pemohon berbangsa Melayu mempunyai kebarangkalian lebih tinggi dianggap tidak sesuai dengan sesuatu pekerjaan.

Secara terbuka, hal ini menunjukkan wujudnya beberapa keraguan di kalangan ahli masyarakat sendiri tentang kualiti pendidikan serta lebih malang kualiti graduan berbangsa Melayu. Apakah yang dapat dilakukan bagi meningkatkan kualiti pemohon Melayu supaya mereka menjadi lebih kompetetif dalam sektor pekerjaan swasta?

Itu cabaran yang bakal kita semua, daripada peringkat akar umbi hinggalah ke atas terpaksa hadapi tak kiralah apa bangsa kita - kerana kita semua rakyat Malaysia.

Rujukan

Kertas kajian repository UKM




Hakcipta iluminasi.com (2017)