Oleh pada 05 Dec 2022 kategori

Anda sedang dalam perjalanan menaiki kapal terbang.

Sedang dalam perjalanan itu, berlaku kegagalan enjin menyebabkan juruterbang perlu mendarat kecemasan di sebuah pulau kecil dan kosong yang hanya dipenuhi pasir.

Selepas beberapa hari menunggu, masih tidak ada bantuan tiba. Bekalan makanan yang ada dari pesawat sudah semakin berkurangan.

Demi memastikan nyawa terjaga, beberapa orang yang senasib ada mencadangkan agar kumpulan yang terselamat mula menjadikan daging penumpang sebagai penyambung nyawa, dengan undian menentukan siapa lauknya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bahagian mana agaknya paling berkhasiat, untuk memastikan nyawa anda terpelihara dan mampu selamat pulang hendaknya?

Kajian tentang khasiat badan manusia

tengkorak manusia

Sejak dahulu, amalan makan daging manusia merupakan satu perbuatan yang menarik minat masyarakat untuk mengetahuinya.

Tetapi sekiranya kita benar-benar ada dalam situasi sedemikian rupa, lebih ramai yang akan muntah jika perlu melakukannya.

Walaupun kita mungkin jijik untuk , memang telah ada kajian berkenaan khasiat daging manusia dijalankan oleh penyelidik; yang bukan saja menentukan bahagian manakah paling 'sihat' untuk anda makan tetapi juga yang mana paling banyak akan memberikan anda tenaga.

Dalam semua kajian berkenaan amalan kanibalisme, sukar untuk menemui satu jawapan kepada satu persoalan; adakah masyarakat yang mengamalkan kanibalisme melakukannya kerana kepercayaan semata-mata atau mereka merasakan ada khasiat pemakanan lalu mengamalkannya?

Sekiranya masyarakat yang mengamalkan tabiat ini melakukannya kerana percaya khasiat yang terkandung dalam tubuh manusia - ada keperluan untuk kita memahami kenapa dalam era moden pun, puak-puak kanibalisme kekal meneruskan tabiat makan sebegini.

Itulah yang cuba dijawab seorang penyelidik dari University of Brighton, United Kingdom, mengenalpasti khasiat yang terkandung dalam tubuh kita mengikut bahagian atau organ yang ada.

Kerana dalam sejarah penyelidikan berkait masyarakat yang mengamal kanibalisme, wujud dua 'sekolah' bagaimana daging manusia diuruskan.

Ada komuniti benar-benar melapah dengan terperinci setiap cebisan daging yang ada untuk hidangan. Sementara satu lagi kumpulan, sekadar melakukan pemotongan di bahagian-bahagian tertentu secara rawak tanpa proses lapah berlaku sempurna.

Data-data lama yang perlu diguna semula

hidangan ayam belanda seberat bayi

Disebabkan perubahan syarat etika penyelidikan era sekarang, tidak ada lagi kaedah secara sah dapat digunapakai untuk kita dapat menjawab persoalan nilai sebenar khasiat nutrisi manusia.

Kumpulan penyelidik zaman sekarang perlu bergantung kepada data-data lama yang diperoleh, semasa dunia perubatan masih dibenarkan mengkaji kesemua aspek tubuh manusia (demi sains!) untuk mendapatkan data yang dikehendaki. Situasi sama tidak lagi boleh diamalkan sekarang.

Dengan menggunakan kajian terdahulu yang dibuat berdasarkan tubuh manusia yang telah didermakan untuk kajian, kajian berjaya merumuskan dua bahagian otot iaitu peha dan kulit sebagai bahagian paling tinggi nilai kalorinya, dengan 13,000 dan 10,000. Itu tak mengejutkan.

Sekiranya perlu dimasak sebagai sup, sup tulang rangka manusia mampu menawarkan sehingga 25,000 kalori. Tisu-tisu dalam tubuh kita pula menawarkan sekitar 49,950 kalori sekiranya diperlukan untuk hidangan.

Organ-organ dalaman seperti hati, buah pinggang, otak dan sebagainya hanya mempunyai nilai kalori yang rendah, tidak memadai untuk seseorang bertahan hanya dengan memakannya.

Sementara itu organ yang terlalu rendah khasiatnya merangkumi organ seperti pankreas, limpa dan sudah pastilah gigi manusia, yang hanya 'menawarkan' kira-kira 36 kalori jika dimakan.

Kita bukanlah hidangan yang berkhasiat

zombi makan manusia

Walaupun dapatan yang ditemui hasil kajian sebegini bunyinya melucukan atau menyeramkan anda, kita perlu tahu;

Jika kita benar-benar perlu duduk dalam situasi genting hingga wujud keperluan menjamah daging manusia lain, khasiat yang ada tidak mencukupi jika kita bandingkan dengan makanan yang kita makan.

Hasil dari penyelidikan penyelidik terdahulu, tubuh lelaki secara puratanya menghasilkan kira-kira 30 kg daging, namun hanya mempunyai nilai protein yang rendah serta sekitar 18,000 kalori keseluruhannya.

Seandainya seorang lelaki dijadikan hidangan bagi 60 orang penumpang terkandas, mereka yang menjamah tidak mempunyai kalori yang cukup hanya untuk memenuhkan diet minima mereka.

Ini kerana nilai khasiat tubuh manusia jauh lebih rendah berbanding khasiat yang terkandung dalam haiwan-haiwan lain yang biasanya disembelih untuk dijadikan makanan. Seekor lembu dagingnya mampu menawarkan kira-kira 367,200 kalori, rusa 163.680 kalori dan khinzir 324,000 kalori.

Kajian yang telah berjaya dijalankan turut mendapati tabiat kanibalisme masyarakat dahulu kala, lebih banyak didorong ritual dan kepercayaan masyarakat, berbanding keperluan memenuhi keperluan diet dalam komuniti.

Seandainya anda benar-benar terdampar di pulau dan hanya dengan memakan manusia lain, nasihat kami pastikan anda rebut bahagian peha kerana bahagian tersebut mengandungi sumber khasiat paling tinggi dan mampu mengenyangkan anda lebih lama.Tetapi sekiranya yang terdampar itu ramai jumlahnya, kemungkinan besar yang akan terselamat hanyalah sangat sedikit jumlahnya - kerana ramai perlu dikorbankan untuk dicukupkan bekalan makanan.

Rujukan




Hakcipta iluminasi.com (2017)