Ramai antara kita mempunyai masalah rabun penglihatan, sama ada rabun dekat atau jauh yang memerlukan pemakaian cermin mata preskripsi bagi membetulkan penglihatan kita.
Semua yang rabun kebiasaannya akan menjalani pemeriksaan yang dilakukan oleh optometris bertauliah, yang akan menentukan jenis serta tahap rabun kita serta 'power' cermin mata yang kita gunakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Pernahkah anda terfikir apa sebenarnya power rabun yang kerap kita sebutkan itu?
Bagaimana membaca tahap kerabunan anda?
Selepas anda diperiksa, kebiasaannya anda akan diberitahu tentang 'power' rabun anda.
Anda akan diberikan sehelai kertas bertulis beberapa nombor, tetapi untuk kebanyakan orang kita hanya akan peduli dengan dua perkara saja - 'power' yakni tahap kerabunan kita dan 'silau' yakni tahap sensitiviti kita terhadap cahaya.
Lihat rajah di atas. OD dan OS itu sebenarnya mudah saja. OD bermakna 'oculus dexter' yang bermakna mata kanan sementara OS pula bermaksud 'oculus sinister' yang berlawanan, iaitu mata kiri. Jadi OD dan OS mewakili label mata kanan dan kiri.
'Sphere' atau singkatannya 'SPH' menunjukkan nilai tahap kerabunan anda. Jika angkanya positif, anda rabun jauh. Jika nilai SPH anda negatif, anda rabun dekat. Angka SPH ditulis dengan menggunakan unit 'diopter' di mana nilainya ditulis dengan angka +X.XX atau -X.XX.
Dalam bahasa saintifiknya, rabun jauh digelarkan hiperopia, rabun dekat pula myopia. Nilai SPH inilah yang selalu kita gelarkan 'power' mata kita.
Sementara CYL atau 'cylinder' pula mengukur tahap astigmatisme kita. Astigmatisme adalah kondisi di mana kornea seseorang mempunyai ketidak sempurnaan pada bentuknya, menyebabkan perubahan pada cara cahaya masuk atau dibiaskan kepada retina.
Apabila seseorang mempunyai astigma, cahaya tidak lagi boleh difokuskan pada kornea dengan betul menyebabkan kita nampak banyak bayang-bayang terhasil, khasnya apabila melibatkan cahaya atau pantulan cahaya.
Angka CYL bermula dengan +0.00 atau tiada abnormaliti dan meningkat mengikut tahap kecembungan kornea mata seseorang; kebiasaannya dirujuk kita sebagai tahap silau.
Paksi lensa bagi membetulkan fokus lensa
Nilai 'axis' pada preskripsi power mata anda menentukan sudut atau arah di mana lensa berbentuk 'silinder' yang mempunyai masalah astigmatisme akan berorientasi.
'Axis' atau paksi diukur dengan menggunakan kiraan darjah bermula daripada tegak di tengah-tengah mata mewakili 90 darjah dan boleh condong ke kiri dan kenan mengikut lokasi di mana berlakunya astigmatisme pada mata.
Bagi individu yang sudah berumur hampir atau lebih 40 tahun ke atas, ramai antara mereka akan mula mengalami kondisi yang diistilahkan sebagai 'presbyopia.'
Presbyopia adalah kehilangan keupayaan mata untuk fokus kepada objek-objek berdekatan dengan mata, seperti tulisan pada buku, telefon, teks pada surat dan sebagainya.
Seseorang yang mula mengalami presbyopia masih boleh melihat dalam jarak dekat tetapi sukar untuk fokus pada objek yang terlalu dekat dengan matanya.
Berbeza dengan myopia atau rabun dekat, presbyopia akan berlaku kepada orang ramai akibat faktor usia - walaupun dia sudah mengalami myopia terlebih dahulu atau dia tidak pernah mengalami masalah rabun sebelum itu.
Ini kerana presbyopia terjadi akibat lensa semulajadi dalam mata kita semakin menebal dan kehilangan kekenyalannya, menyebabkan mata semakin sukar memfokuskan penglihatan pada jarak dekat.
Melawan presbyopia
Bagi membantu seseorang penghidap presbyopia - optometris akan mengukur nilai tambahan yang akan ditulis di bawah kolum 'add' atau 'additional,' bagi membolehkan penciptaan lensa yang bersifat bi-fokal,tri-fokal atau multi-fokal dilakukan.
Kebiasaannya jenis bi-fokal dan multi-fokal lebih popular serta mudah didapati. Dua jenis lensa ini mempunyai dua tahap rabun, untuk rabun dekat dan jauh.
Apa yang membezakannya adalah cara lensa tersebut dihasilkan, sama ada wujud pembahagian yang jelas pada cermin atau mempunyai sifat progresif di mana cermin itu nampak sekata saja keseluruhannya.
Walau apa pun yang anda lakukan dan sebaik mana pun anda menjaga mata anda, kemungkinan untuk anda mengalami presbyopia adalah agak tinggi.
Sekiranya anda sudah berumur 35 tahun ke atas serta mengalami kesukaran atau rasa tidak selesa semasa membaca buku, kami sarankan agar anda berkunjung ke pusat optometris berdekatan anda.
Manalah tahu anda memerlukan kaca mata khas, hanya untuk membaca.