trump dan netanyahu kawan rapat

Kerajaan Malaysia telah pun mengeluarkan kenyataan mengkritik keras tindakan keras Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel dan usaha mereka untuk menjadi negara pertama meletakkan pejabat kedutaan di situ.

Kerajaan Amerika Syarikat sudah pun menandatangani perjanjian untuk menangguhkan perpindahan dari Tel Aviv ke Jerusalem, bagi memberikan masa menghadapi bantahan orang ramai yang diyakini akan berlaku. Mengapa pertukaran ini merupakan satu isu besar?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengapa pertukaran ini akan menimbulkan kontroversi besar?

trump muka puas hati

Pada asasnya, pertukaran pejabat kedutaan Amerika Syarikat daripada Tel Aviv ke Jerusalem adalah satu proses yang ringkas, memandangkan US sudah pun mempunyai pejabat konsulat di sana. Bagaimanapun, US memutuskan untuk menjadikan Jerusalem sebagai lokasi kedutaan mereka dengan Tel Aviv akan diturunkan kepada pejabat konsulat.

Menukar lokasi pejabat kedutaan US ke Jerusalem mampu mengeruhkan hubungan diplomatik di antara US dengan negara-negara Arab serta mampu meledakkan protes di kalangan penduduk US sendiri, malahan daripada seluruh dunia.

Status Jerusalem sehingga sekarang dianggap sensitif bagi beberapa pihak, akibat konflik yang timbul di antara Palestin dengan Israel, dengan Palestin juga mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara mereka. Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu juga meletakkan Jerusalem di bawah status corpus seperatum atau 'badan yang berasingan' atas kepentingan Jerusalem sebagai tanah bagi penganut beberapa agama berkumpul.

Dengan memindahkan pejabat kedutaan mereka ke Jerusalem, secara tidak sengaja kerajaan US seolah-olah melanggar kesemua rundingan dan persetujuan yang telah dicapai sebelum ini kerana US kelihatan mengiktiraf kedudukan Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

Sejarah Ringkas Sempadan Jerusalem

green line pembahagi jerusalem

Selepas PBB meletakkan Jerusalem sebagai corpus seperatum pada tahun 1947, peperangan terus meletus selama dua tahun sebelum perjanjian damai dikecapi pada tahun 1949. Perjanjian dicapai bagi membahagikan Jerusalem kepada dua bahagian dengan Israel mengawal bahagian barat dan Jordan mengawal bahagian timur, dengan bandar Old City diletakkan di dalam bahagian timur.

Sempadan itu bertahan selama hampir 20 tahun sebelum kerajaan Israel merampas bahagian timur daripada tentera gabungan Mesir, Jordan dan Syria, dalam perang yang dikenali sebagai Peperangan Enam Hari atau Perang Arab-Israel ketiga. Kemenangan tentera Israel itu disambut dengan menjadikan tarikh tamatnya perang tersebut sebagai cuti umum negara Israel dan diberikan nama 'hari Jerusalem.'

Bagaimanapun, kerajaan Palestin dan rakyat mereka beserta banyak pihak antarabangsa, bersetuju untuk terus menjadikan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin andainya negara Palestin berjaya ditubuhkan.

Tidak Adakah Negara Yang Membuka Kedutaan di Jerusalem?

kedutaan amerika syarikat di tel aviv

Semenjak 1950 lagi, sebanyak 16 negara pernah membuka pejabat kedutaan mereka di Jerusalem. Antaranya Belanda, Ivory Coast, Kenya, Bolivia, Chile, Colombia, Ecuador, Uruguay, Venezuela dan beberapa buah negara lagi.

Pada Julai 1980, kerajaan Israel buat pertama kalinya secara terbuka mengisytiharkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel dan langkah ini mendapat kritikan keras daripada PBB, dengan tindakan Israel itu dianggap sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Berdasarkan kritikan PBB itu, beberapa negara yang sudah pun mempunyai pejabat kedutaan mereka di Jerusalem mula keluar berpindah dengan Costa Rica dan Republik El Savador menjadi antara negara terakhir berpindah ke Tel Aviv pada tahun 2006.

Sehingga kini, 86 negara mengikuti saranan PBB dengan meletakkan kedutaan mereka di Tel Aviv dan tidak ada negara mempunyai kedutaan di Jerusalem. Kerajaan US belum pernah meletakkan kedutaan mereka di Jerusalem dengan sebuah kawasan di Tel Aviv bernama Herzliya Pituach dipilih sebagai lokasi kedutaan mereka.

Bagaimana Israel Memancing Amerika Syarikat

tanah lot untuk kedutaan di jerusalem

Pada tahun 1995, kongres US meluluskan arahan untuk kerajaan US memindahkan kedutaan mereka daripada Tel Aviv ke Jerusalem, bagi mengiktiraf kedudukan Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

Namun kesemua Presiden Amerika Syarikat, daripada Clinton, Bush dan Obama memilih sikap untuk menolak perpindahan itu atas dasar keselamatan negara dan menggunakan tempoh menunggu 6 bulan yang dibenarkan kongres Amerika Syarikat, untuk mengelakkan mereka menjadi Presiden Amerika Syarikat yang memindahkan kedutaan ke Jerusalem.

Israel bagaimanapun tetap berusaha meminta kerajaan US supaya meletakkan kedutaan mereka di Jerusalem. Pada tahun 1999, Israel memberikan sebidang tanah pada kadar sewa USD1 setahun selama 99 tahun kepada US untuk dijadikan lokasi pejabat kedutaan mereka di Jerusalem. Tanah itu sehingga kini dibiarkan kosong tanpa sebarang pembangunan dilakukan.

Sehinggalah pada 6 Disember 2017, Donald Trump mengumumkan kerajaan US di bawah pimpinannya akan mula mengambil langkah bagi memindahkan pejabat kedutaan mereka ke Jerusalem, mengotakan janji beliau semasa beliau baharu saja dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat pada awal 2017.

Reaksi masyarakat dunia terhadap tindakan Trump

ketua hamas ismail haniyat

Ketua pejuang Hamas, Ismail Haniya menganggap pengiktirafan Jerusalem itu sebagai satu petanda kerajaan Amerika Syarikat mengisytiharkan perang terhadap negara Palestine. Beliau menganggap Trump telah melanggar usaha-usaha perjanjian damai selama ini dan menghina kedudukan Palestin. Ismail Haniya menggesa agar masyarakat Islam bangkit melakukan intifada menentang campur tangan US terbaru ini.

Presiden Palestine, Mahmoud Abbas mengkritik tindakan Trump dan menganggap Amerika Syarikat kini hilang kelayakan sebagai orang tengah dalam rundingan damai di antara Palestin dan Israel.

Raja Jordan, Raja Abdulla pula menganggap tindakan Trump ini akan menyebabkan pergolakan berlaku di wilayah tersebut. Beliau berpendapat satu-satunya jalan penyelesaian adalah dengan mewujudkan dua negara dengan Jerusalem dilihat sebagai kunci kepada usaha pendamaian.

Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan pula mengkritik keras tindakan US dengan mengatakan Trump telah melanggar sempadan yang selama ini dipegang oleh seorang Muslim serta akan memutuskan hubungan diplomatik di antara Turki dengan Israel jika perkara itu berlaku kelak.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuji pentadbiran Trump atas langkah berani itu dengan menyatakan terima kasih tidak terhingga bagi pihak masyarakat Jewish serta berbangga kerana Trump dapat mengenalpasti kebenaran sebenar yang telah termaktub selama ini.

Netanyahu mengakui hanya dengan menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara Israel, barulah proses keamanan dapat diteruskan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)