Apabila bercerita tentang atlet yang menerima bayaran paling tinggi, anda mungkin terbayang nama-nama besar dalam dunia sukan seperti Christiano Ronaldo, Lionel Messi, Tiger Woods, Michael Jordan, Floyd Mayweather atau Conor McGregor.
Tidak dinafikan bahawa mereka adalah atlet dengan bayaran tertinggi dalam bidang sukan masing-masing. Tiger Woods merupakan atlet pertama yang mencapai angka USD 1 bilion (RM 4.19 bilion).
BESARKAN TEKS A- A+
Floyd Mayweather dan Christiano Ronaldo juga telah melepasi tahap USD 1 bilion dalam karier masing-masing. Sementara legenda bola keranjang, Michael Jordan, menerima hampir USD 2 bilion termasuk penajaan, kontrak dan pegangan saham.
Namun, pendapatan mereka masih dianggap kecil berbanding atlet yang menerima bayaran paling tinggi sepanjang zaman ini. Atlet yang dimaksudkan ialah Gaius Appuleius Diocles dan berikut adalah kisahnya.
Master of drama
Gaius Appuleius Diocles adalah seorang pelumba kenderaan atau kereta kuda (chariot racer) pada zaman Rom kuno. Sepanjang kariernya, Diocles telah memenangi ribuan perlumbaan.
Ketika bersara pada usia 42 tahun, jumlah pendapatan Diocles sepanjang kariernya dianggarkan sebanyak USD 15 bilion (RM 62.9 bilion) jika dibandingkan dengan nilai pada hari ini.
Dengan wang sebanyak itu, Diocles mampu memberi makan kepada seluruh bandar Rom untuk tempoh setahun setahun dan membiayai seluruh angkatan tentera Rom selama beberapa bulan.
Diocles bukanlah pelumba kereta kuda terbaik memandangkan dia hanya memenangi satu pertiga daripada perlumbaan sepanjang kariernya. Namun, dia adalah pelumba paling menarik dan digelar sebagai "Master of drama".
Gerakan paling popularnya adalah untuk berada paling belakang sekali dalam kebanyakan perlumbaan dan kemudian dia akan memecut ke tempat pertama semasa pusingan akhir. Ia membuatkan penonton menjadi sangat teruja.
Setiap perlumbaan yang disertai Diocles akan menjadi acara utama dalam perlumbaan kereta kuda di zaman Rom kuno.
Sejarah awal Gaius Diocles
Gaius Diocles dilahirkan dalam keluarga kelas menengah pada tahun 104 Masihi di Lamecum, bandar yang terletak di Lusitania (kini Portugal). Bapanya mengusahakan perniagaan kecil dalam bidang pengangkutan.
Lamecum mempunyai reputasi sebagai tempat pengeluar kuda lumba terbaik pada waktu itu. Sejak kecil lagi, Diocles telah diajar cara untuk menunggang kuda.
Diocles dipercayai mula berlumba pada usia 18 tahun di Lleida, Sepanyol. Kemenangan pertamanya di Sepanyol membuatkan dia dikenali dan terpanggil untuk berlumba di Rom. Di sana, dia mempamerkan bakatnya ketika beraksi di Circus Maximus.
Circus Maximus adalah stadium perlumbaan kereta kuda yang dapat menampung seramai 250,000 penonton pada satu-satu masa. Ia merupakan stadium perlumbaan terbaik yang pernah dibina Rom.
Terdapat empat pasukan dalam perlumbaan kereta kuda di Rom iaitu pasukan Putih, Merah, Biru dan Hijau. Setiap pasukan akan menghantar sehingga tiga kereta lumba bagi setiap perlumbaan. Ini bermakna, sebanyak 12 kereta lumba akan bertanding dalam satu-satu perlumbaan.
Tiga pelumba terawal yang berjaya sampai di garisan penamat akan mendapat hadiah berupa wang tunai. Selain hadiah perlumbaan, pelumba juga mendapat sumbangan daripada peminat fanatik kumpulan masing-masing.
Karier perlumbaan Diocles
Karier Diocles di Rom bermula pada tahun 122 Masihi. Diocles baru sahaja berumur 18 tahun apabila dia menyertai pasukan Putih. Pasukan ini kebanyakannya dibarisi oleh pelumba-pelumba daripada golongan masyarakat peringkat rendah.
Walau bagaimanapun, Diocles tidak memenangi sebarang perlumbaan dalam dua tahun pertamanya bersama pasukan Putih. Bakatnya mula terserlah apabila dia menyertai pasukan pasukan Hijau ketika berumur 24 tahun.
Pada usia 27 tahun, Diocles membuat keputusan mengejutkan apabila dia berpindah menyertai pasukan Merah. Ia adalah satu langkah berani memandangkan pasukan Hijau adalah pasukan paling popular di Rom.
Motivasi Diocles untuk menyertai pasukan Merah adalah untuk kekayaan dan kemahsyuran. Dalam pasukan Hijau yang popular, mereka memiliki ramai pelumba yang terhebat di Rom. Sekiranya Diocles kekal bersama pasukan Hijau, dia terpaksa bersaing dengan rakan sepasukannya yang lain.
Di dalam pasukan Merah pula, Diocles tidak menghadapi saingan hebat dan dia berjaya menjadi pelumba terbaik buat pasukannya. Hasilnya, dia mendapat lebih banyak wang. Diocles bersama pasukan Merah selama 15 tahun sehingga dia bersara.
Atlet dengan bayaran tertinggi sepanjang zaman
Sepanjang kariernya, Diocles menyertai sebanyak 4,257 perlumbaan di mana dia mendapat tempat pertama sebanyak 1,462 kali, tempat kedua sebanyak 861 kali dan tempat ketiga sebanyak 576 kali.
Ketika dia bersara pada usia 42 tahun, jumlah pendapatan sepanjang kerjayanya adalah sebanyak 35,863,120 sesterce (mata wang Rom kuno). Dianggarkan jumlah itu adalah bersamaan dengan kira-kira USD 15 bilion (RM 62.9 bilion) pada hari ini.
Salah satu sebab lain mengapa Diocles berjaya mengumpulkan kekayaan yang sangat banyak adalah kerana dia terselamat sepanjang kariernya. Perlumbaan kereta kuda di Rom amat berbahaya dan ramai pelumba berbakat mati pada usia muda.