Oleh pada 05 Dec 2017 kategori

Kredit foto: Youtube Go KRU

Aqasha, menafikan dakwaan dia tidak mempromosikan drama Misi Laksa Dan Laksam di laman sosial miliknya.

Aqasha menjelaskan, dia ada membantu promosi drama itu sewaktu bersiaran di Tonton beberapa bulan sebelum tayangan di TV3.

“Berapa kali nak promosi pun saya tak tahu. Saya juga tidak fikir promosi di laman sosial saya banyak membantu jumlah tontonan.

“Melainkan jika jumlah pengikut saya di laman sosial diambil kira. Kalau saya bercakap lebih, bimbang nanti dikatakan melampaui batas penerbit pula.

“Dalam kontrak saya dibayar untuk lakonan dan perkara ini saya lakukan dengan baik berdasarkan tuntutan watak dan naskhah,” katanya dalam laporan Harian Metro.

Sebelum ini, portal itu melaporkan penerbit drama, Fadzil Teh berasa kecewa dengan sikap pelakon Misi Laksa Dan Laksam yang enggan 'turun padang' mempromosikan drama berkenaan di media sosial.

Dalam kenyataan dikeluarkan di laman Facebook itu, Fadzil terkilan kerana menganggap pelakon tidak mahu menyokong produk mereka sendiri.

"Kita tak mahu ambil dah artis yang tak mahu sokong produk sendiri. Minta promosi pun tak mahu. Duit nak mahal," tulis Fadzil.

Dalam pada itu, Aqasha berkata, dia tidak kisah sekiranya tugas mempromosikan drama di laman sosial dimasukkan sekali dalam kontrak.

“Kalau perkara ini ingin dilaksanakan, penerbit perlu masukkan dalam kontrak. Jangan salahkan artis kalau tidak mempromosikan drama lakonan mereka.

“Hakikatnya, pelakon memberikan sepenuh komitmen berdasarkan tugas mereka ketika di lokasi,” katanya.

Misi Laksa Dan Laksam antara lain dibintangi Rita Rudaini, Raysha Rizrose, Wan Umar Harith dan Farzana Latiff.

Sumber berita: Harian Metro 




Hakcipta iluminasi.com (2017)