Pernahkah terlintas di fikiran anda apa yang berlaku sekiranya seorang wanita melahirkan anak ketika berada di dalam penerbangan antarabangsa? Sebagai contoh, pesawat dari Malaysia ke United Kingdom akan melalui beberapa sempadan negara lain sebelum sampai ke destinasi.

Jika bayi itu dilahirkan ketika pesawat memasuki sempadan India, adakah bayi itu menjadi warganegara India, warganegara Malaysia (mengikut ibu bapanya) atau warganegara UK di mana pesawat mendarat dan segala urusan domukentasi kelahiran dilakukan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kewarganegaraan bayi lahir dalam pesawat

Walaupun kebanyakan penerbangan meletakkan syarat bahawa wanita dalam tempoh kehamilan 28 minggu dan ke atas tidak dibenarkan menaiki pesawat, namun dalam beberapa kes tertentu ia dibolehkan.

Ada juga syarikat penerbangan yang membenarkan ibu mengandung menaiki pesawat sehingga selewat-lewatnya sebelum 36 minggu kehamilan.

Terdapat beberapa kes di mana bayi dilahirkan dalam penerbangan antarabangsa sejak penerbangan komersial mula diperkenalkan. Walaupun dilahirkan dalam keadaan yang unik, apa yang menjadi perdebatan ialah kewarganegaraan bayi itu.

Persoalan kewarganegaraan ini sebenarnya agak rumit dan bergantung kepada banyak faktor. Ini kerana, tiada peraturan universal bagaimana untuk menentukan kewarganegaraan seorang bayi yang lahir di dalam penerbangan antarabangsa.

bayi lahir dalam flight

Sebahagian negara mengikuti undang-undang jus sanguinis (right of blood), yang bermaksud kewarganegaraan bayi itu ditentukan oleh kewarganegaraan salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya.

Beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan Canada pula menggunakan undang-undang jus soli (right of the soil), di mana kewarganegaraan bergantung kepada tempat dia dilahirkan tanpa mengira asal-usul ibu dan bapanya.

Menurut Jabatan Luar Negeri Amerika Syarikat, seorang bayi yang dilahirkan di ruang udara negara itu boleh menjadi warganegara Amerika Syarikat.

Layak memiliki dua kewarganegaraan

Walau bagaimanapun, bayi itu juga boleh memiliki dua kewarganegaraan jika ibu dan bapanya berasal dari negara yang membolehkan seseorang itu memiliki dua kewarganegaraan.

Ada sebahagian negara di seperti Australia, Mesir, Bangladesh dan UK membenarkan rakyatnya memiliki dua kewarganegaraan (dual citizenship). Sekiranya ibu bapa bayi itu berasal dari negara seperti ini, maka bayi yang dilahirkan di Amerika itu boleh mempunyai dua kewarganegaraan.

dua warganegara 79

Namun, sebahagian lagi negara seperti Malaysia, Singapura, Jepun dan Arab Saudi pula tidak membenarkan rakyatnya memiliki dua kewarganegaraan.

Ini bermakna, ibu bapa bayi tersebut perlu memilih sama ada anak mereka menjadi warganegara Amerika atau negara asal mereka sendiri.

Peraturan Jus Sanguinis

Walaupun peraturan jus soli yang digunakan Amerika Syarikat dan Canada kelihatan lebih mudah, namun peraturan yang umum digunakan oleh kebanyakan negara adalah jus sanguinis (right of blood).

Ini bermakna kebanyakan bayi yang dilahirkan dalam di ruang laut atau udara antarabangsa berkemungkinan akan diberikan kewarganegaraan yang sama dengan ibu dan bapanya.

Namun, beberapa senario unik juga telah diambil kira. Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pernah membincangkan isu kewarganegaraan bayi yang dilahirkan dalam penerbangan antarabangsa oleh ibu yang tidak mempunyai kewarganegaraan rasmi (pelarian atau negara dibubarkan).

bayi di udara

Menurut perjanjian Reduction of Statelessness yang dikeluarkan oleh PBB, kewarganegaraan bayi yang dilahirkan itu bergantung kepada di mana pesawat itu didaftarkan.

Sebagai contoh, jika ibu bayi itu menaiki pesawat British Airways dari Amsterdam ke Russia, maka bayi itu akan didaftarkan sebagai warganegara British berdasarkan di mana pesawat itu didaftarkan. 

Kelahiran dalam penerbangan antarabangsa

Walaupun amat jarang berlaku, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Dari masa ke semasa, ada sahaja kejadian bayi dilahirkan di ruang udara atau lautan antarabangsa.

Beberapa tahun lalu, ada seorang wanita Belanda melahirkan seorang bayi perempuan ketika pesawat berada di ruang udara Lautan Atlantik menuju ke Amerika Syarikat. Bayi mendapat dua kewarganegaraan iaitu Belanda dan Amerika.

baby born in flight

Malah, bayi yang dilahirkan di dalam pesawat juga ada kalanya mendapat layanan istimewa. Seorang bayi yang dilahirkan di dalam pesawat Spirit Airlines pada 2017 akan diberikan satu tiket percuma pada setiap hari jadinya oleh syarikat penerbangan itu.

Dalam satu kejadian lain, seorang wanita melahirkan anak lima minggu lebih awal dalam penerbangan Cebu Pasific Airlines dari Dubai ke Manila pada tahun 2016. Sebagai penghargaan, syarikat penerbangan itu memberikan 1,000,000 batu penerbangan percuma kepada bayi itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)