Pada zaman sekarang, kedai dobi layan diri yang beroperasi 24 jam mudah didapati di mana-mana sahaja terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar. Kedai dobi layan diri ini sering menjadi pilihan mereka yang tidak memiliki mesin basuh sendiri atau tiada masa untuk mengeringkan baju kerana bekerja.
Anda sendiri mungkin pernah menggunakan perkhidmatan dobi layan diri ini sama ada membasuh atau mengeringkan pakaian. Namun, adakah anda perasan bahawa pakaian yang dikeringkan menggunakan mesin pengering lebih lembut daripada pakaian yang dijemur?
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun kedua-dua kaedah itu bertujuan untuk mengeringkan pakaian anda tetapi terdapat beberapa perbezaan yang ketara sebenarnya. Sebagai contoh, tuala yang dijemur lebih keras berbanding yang dikeringkan menggunakan mesin pengering. Jika konsep kedua-dua kaedah ini adalah untuk menyingkirkan air daripada bahan pakaian, mengapa hasil akhir kedua-dua kaedah ini berbeza?
Mesin pengering vs menjemur pakaian
Kebanyakan daripada pakaian kita diperbuat daripada kapas atau polimer organik yang lain. Kebanyakan serat pakaian itu diperbuat daripada sejenis bahan tumbuhan yang dipanggil selulosa. Selulosa adalah sangat kuat, tahan lasak dan mudah digunakan. Selulosa juga adalah bahan yang mesra air dan ia akan menyerap sebanyak mungkin air sehingga ia tepu.
Semua serat pakaian anda akan menjadi tepu dengan air apabila dimasukkan dalam mesin basuh. Sesetengah ikatan hidrogen yang mengekalkan selulosa ini bersama juga akan terganggu apabila basah.
Pada asasnya, selulosa menjadi kurang berhubung dengan baik kerana rantaian polimer lebih mudah tergelincir antara satu sama lain. Apabila air mula menyejat, ikatan hidrogen antara rantaian selulosa ini akan terbentuk semula serta menjadikannya kukuh dan kuat. Namun, cara bagaimana penyejatan berlaku adalah penting untuk tekstur akhir pakaian itu.
Dalam mesin pengering, pakaian akan sentiasa bergerak. Ini menjadikannya sukar untuk gentian selulosa terikat semula secara kukuh atau menyeluruh. Inilah mengapa pakaian yang dikeringkan menggunakan mesin pengering terasa agak lembut kerana serat kapasnya tidak terikat antara satu sama lain.
Sekiranya anda menjemur pakaian di bawah sinaran matahari, satu-satunya pergerakan yang mungkin berlaku adalah disebabkan tiupan angin. Keadaan statik ini membolehkan gentian selulosa untuk memperbaharui ikatan hidrogen dengan lebih berkesan.
Lebih banyak ikatan antara serat bermakna tekstur pakaian itu akan lebih kuat dan kukuh, secara fizikalnya lebih kasar. Penggunaan bahan pencuci berlebihan akan membuatkan kesan ini akan nampak lebih ketara lagi.
Kelebihan dan kekurangan
Sekarang anda faham kesan yang berbeza berlaku terhadap tekstur pakaian disebabkan oleh kedua-dua kaedah pengeringan ini. Namun, adalah penting untuk mempertimbangkan beberapa kelebihan dan kekurangan tentang kedua-dua kaedah ini.
Kaedah jemuran
Jika anda mempunyai masa dan boleh menunggu, kaedah menjemur adalah cara yang lebih mesra alam untuk mengeringkan pakaian anda. Ia akan mengurangkan kesan karbon dan penggunaan elektrik.
Selain itu, ia juga adalah cara yang baik untuk menjimatkan wang kerana anda tidak perlu berbelanja untuk membeli mesin pengering atau ke dobi. Kaedah jemuran juga akan memastikan pakaian anda akan berada dalam keadaan baik untuk tempoh yang lebih lama.
Namun, kaedah jemuran ini akan membuatkan pakaian anda lebih cenderung untuk berkedut. Ini bermakna anda perlu menggunakan seterika dan membayar kos elektrik untuknya.
Kaedah mesin pengering
Bagi mereka yang lebih mementingkan kepantasan dan kemudahan, mesin pengering adalah cara yang paling sesuai. Penggunaan mesin pengering juga membuatkan pakaian anda lebih lembut dan selesa apabila terus dipakai.
Namun, kaedah ini akan mengurangkan jangka hayat pakaian anda kerana penggunaan mesin pengering akan meningkatkan geseran yang menyebabkan pakaian anda haus, mudah terkoyak dan luntur warna.
Cara menghindari pakaian daripada menjadi keras
Bagi mereka yang memilih kaedah menjemur untuk mengeringkan pakaian tetapi tidak mahu pakaian menjadi keras dan tidak selesa, terdapat beberapa cara untuk mengatasi masalah tersebut.
- Kurangkan bahan pencuci- Seperti yang diterangkan di atas, penggunaan terlalu banyak bahan pencuci akan membuatkan masalah pakaian anda mengeras akan lebih teruk. Kurangkan jumlah bahan pencuci sebanyak 20% dan anda akan perasan perubahan pada pakaian setelah ia dikeringkan.
- Cuka - Jika pakaian anda agak kotor dan anda tidak mahu mengurangkan jumlah bahan pencuci yang digunakan, anda sebaliknya boleh menggunakan cuka kerana ia dapat mengurangkan bahan pencuci. Jika anda tambah sedikit cuka pada kitaran terakhir basuhan, hanya sedikit bahan pencuci yang akan kekal pada pakaian anda.
- Menggunakan kelebihan cuaca - Seperti yang diterangkan di atas, pergerakan pakaian dalam mesin pengering membuatkan gentian selulosa sukar terikat dan menjadikakan pakaian lebih lembut. Jika anda ingin memilih kaedah menjemur tetapi tidak mahu pakaian menjadi keras, pilihlah waktu di mana cuaca lebih berangin supaya pakaian anda tidak kekal statik dan mengeras.
Rujukan:
2. The Spruce