Pada Oktober 2015, kapal dan kapal selam Rusia beroperasi berhampiran dengan kabel data bawah laut, mencetuskan kebimbangan bahawa Rusia mungkin dengan sengaja boleh memotong atau memantau talian komunikasi dunia.
Kabel data dilindungi oleh undang-undang antarabangsa, tetapi apa yang berlaku di perairan antarabangsa adalah satu bidang kuasa yang rumit.
BESARKAN TEKS A- A+
Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan perairan antarabangsa dan siapa yang berkuasa ke atasnya?
(Kabel data bawah laut)
Dengan kata mudah, perairan antarabangsa adalah kawasan air yang berada di luar perairan wilayah sesebuah negara, yang merangkumi 12 batu nautika dari pantainya.
Terdapat juga Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) yang merangkumi 200 batu nautika dari pantai sesebuah negara, tetapi EEZ hanya mengguna pakai hak kedaulatan ke atas apa yang terdapat di bawah permukaan air, seperti minyak atau mineral.
Selepas 12 batu nautika, sesiapa sahaja boleh belayar melalui zon ekonomi eksklusif sesebuah negara, tetapi tidak dibenarkan menangkap ikan atau menggerudi minyak.
Malah, kebebasan untuk berlayar di perairan antarabangsa adalah salah satu daripada beberapa kebebasan yang dijamin oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut.
Semua negara dibenarkan untuk terbang, meletakkan kabel, membina pulau, menangkap ikan dan melakukan penyelidikan saintifik.
Tetapi sudah tentunya ini tidak bermakna bahawa anda boleh melakukan apa-apa sahaja di perairan antarabangsa.
Perkara pertama dan terpenting, apa sahaja yang sedang dilakukan di perairan antarabangsa berada di bawah bidang kuasa negara di mana sesebuah kapal itu didaftarkan.
Sebagai contoh, jika anda melakukan pembunuhan di perairan antarabangsa semasa berada di atas kapal Pakistan, maka anda akan diadili dan dihukum di bawah undang-undang Pakistan tanpa mengira kewarganegaraan anda sendiri.
Tetapi bagaimana jika negara berkenaan tidak dapat atau enggan mendakwa aktiviti jenayah, seperti aktiviti lanun Somalia?
(Aktiviti lanun Somalia)
Dalam hal seperti inilah di mana konsep "bidang kuasa sejagat" terpakai. Bidang kuasa sejagat membolehkan mana-mana negara untuk mendakwa jenayah tanpa mengambil kira kewarganegaraan pelaku atau di mana jenayah itu dilakukan.
Walaupun biasanya konsep ini digunakan untuk jenayah terhadap kemanusiaan seperti pembunuhan beramai-ramai, namun ia berguna di perairan antarabangsa kerana jika tidak, tiada siapa pun yang boleh menuntut bidang kuasa.
Usaha terbaru terhadap aktiviti lanun Somalia telah diketuai oleh Amerika Syarikat, tetapi juga melibatkan China, Rusia, Perancis, dan UK, serta EU dan NATO.
Malah, pengawalan perairan antarabangsa ini menandakan kali pertama Majlis Keselamatan PBB telah bekerja di pihak yang sama sejak Perang Dunia II.
Tetapi apa yang dianggap sebagai perairan antarabangsa biasanya tidak jelas.
Kawasan nautika sekitar Artik dan Antartika juga dipertikaikan, kerana beberapa negara telah mendakwa kedaulatan ke atas tanah itu sendiri.
Tetapi kemungkinan konflik yang paling tegang adalah di Laut China Selatan.
China membuat tuntutan ke atas beberapa pulau di Laut China Selatan dan secara proksi juga merangkumi perairan sekitarnya.
Tetapi negeri jiran seperti Taiwan, Vietnam dan Filipina mengatakan bahawa tuntutan China bertindih di wilayah mereka.
Sementara itu, negara-negara antarabangsa seperti Amerika Syarikat menyokong bahawa sebahagian besar Laut China Selatan merupakan perairan antarabangsa.
Malah, Amerika Syarikat telah menghantar kapal-kapal ke perairan yang mana China menuntut sebagai wilayahnya. Pertikaian ini dianggap salah satu yang paling tidak menentu di rantau Asia.
Perairan antarabangsa sangat penting untuk perdagangan dan perhubungan, dan pada umumnya dilindungi daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Walaupun ia mungkin kelihatan seperti anda boleh berlayar keluar sejauh 12 batu nautika dari pantai dan melakukan apa sahaja yang anda mahu, ia biasanya tidak berlaku sedemikian.
Menurut sejarah, banyak negara telah mendakwa menguasai semua lautan dunia, tetapi pada hari ini perairan adalah bebas untuk semua.
Rujukan:
3. World Atlas