'Initial public offering' atau IPO, sekiranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dipanggil 'saham terbitan awam.'

Sebelum melalui proses IPO, sesebuah syarikat bolehlah dikategorikan sebagai sebuah syarikat persendirian atau 'private', dengan hanya beberapa individu menjadi pemegang saham tertentu yang dipilih sendiri.

'Awam' dalam takrifan IPO pula bermaksud sesiapa saja tak kiralah dalam bentuk individu atau syarikat pelabur yang tidak terlibat dalam penubuhan dan perjalanan syarikat tersebut pada awalnya, namun mula menampakkan minat untuk membeli saham atau pegangan syarikat itu, setelah ditubuhkan sekian lama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pihak awam tidak boleh melabur dalam pegangan saham mana-mana syarikat selagi mana syarikat tersebut tidak membuka sahamnya, melainkan seseorang itu memberikan kebenaran khas kepada pelabur itu. Tanpa IPO, sesebuah syarikat tidak perlu membuka pegangan saham mereka dan apabila sesebuah syarikat melalui IPO, barulah pemilikan saham itu dibuka kepada awam.

Atas sebab itulah proses IPO juga digelarkan 'saham yang dibuka kepada orang ramai.'

Mengapa sesebuah syarikat itu perlu menjalani IPO?

apakah maksud ipo

Sesebuah syarikat itu boleh mengambil keputusan untuk membuka sahamnya kepada pemilikan awam bagi mendapatkan dana memperkembangkan perniagaannya.

Syarikat persendirian boleh melakukan pinjaman atau mendapatkan lebih ramai pelabur dalam membantu meningkatkan dana tanpa melalui IPO, namun IPO adalah cara paling cepat mengumpulkan dana bagi sesebuah syarikat.

Antara syarikat-syarikat persendirian yang berjaya mengumpulkan modal paling besar di dunia selepas dibuka kepada awam adalah kumpulan Alibaba yang mendapat suntikan RM99.5 billion. IPO Alibaba setakat ini adalah proses IPO paling berjaya di dunia. Satu contoh lain adalah syarikat Facebook selepas IPO yang berjaya mengumpulkan modal saham RM63.7 billion untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Apabila sesebuah syarikat dibuka kepada awam, pinjaman bank menjadi lebih mudah dan mampu ditawarkan pada kadar faedah lebih rendah, berikutan tahap kepercayaan pada pengurusan perniagaan tersebut meningkat.

Saham sesebuah syarikat awam akan mula diniagakan secara terbuka dalam pasaran saham, dengan pembeli dan pelabur dapat mengetahui status sebenar saham sesebuah syarikat dan jumlah transaksi yang akan diputuskan melalui keyakinan pelabur.

Apakah kelemahan IPO?

memahami apa itu ipo

Sebuah syarikat yang telah membuka sahamnya kepada awam hilang beberapa keistimewaan tertentu. Pemilik syarikat persendirian tidak perlu melaporkan kedudukan kewangan dan penyata akaun syarikat mereka. Kebanyakan syarikat kecil dan sederhana adalah syarikat persendirian dan kebiasaannya, syarikat-syarikat besar adalah syarikat yang telah di buka kepada awam.

Bagaimanapun, ada juga syarikat-syarikat besar yang dimiliki secara persendirian. Antaranya adalah Bosch, pengeluar peralatan berat terkenal dunia. Syarikat komputer gergasi Dell pernah menjadi syarikat awam, namun Michael Dell telah berjaya membeli balik pegangan saham dalam syarikatnya sendiri dan menukarkan Dell menjadi syarikat persendirian, pada tahun 2013.

Sebuah syarikat yang telah menjadi milik awam perlu melapor dan membentangkan segala urusan kewangan mereka bagi tatapan pemegang saham, iaitu orang awam. Apabila sudah melalui IPO, syarikat pemilikan awam ini sudah mempunyai terlalu ramai pemegang saham dan perlu mempunyai Lembaga Pengarah yang menyelia perjalanan syarikat. Laporan berkenaan kewangan yang telah diaudit dan maklumat akaun perlu dilaporkan pada setiap suku tahun tersebut.

Government Listed Companies (GLC)

senarai syarikat glc

Di negara kita pula, 'Government Listed Companies' atau GLC memainkan peranan besar dalam pembangunan Malaysia.

Boleh juga digelarkan 'State-Owned Companies' (SOC) atau 'State-Owned Enterprise' (SOE), Malaysia mempunyai jumlah GLC ke lima tertinggi di dunia. Badan-badan kerajaan diberikan tanggungjawab untuk melabur dan menyelia aktiviti GLC yang dipilih.

Antara GLC yang terkenal di negara kita adalah Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, IJM Berhad, DRB-HICOM Berhad, Bank Rakyat dan Media Prima Berhad. Rangkaian kedai buku MPH Bookstore dan Roti Gardenia juga adalah sebuah syarikat berstatus GLC.

Petronas pula adalah GLC terbesar di negara kita. Adakah Petronas akan dibuka jualannya kepada awam dalam menjana dana untuk mengurangkan hutang negara?

Perbandingan dengan ARAMCO Arab Saudi

aramco saudi akan melalui ipo

Kebanyakan syarikat minyak di Amerika Syarikat dan Kanada telah pun melalui proses IPO dan pegangan sahamnya kini dimiliki oleh awam. Bagaimanapun, bagi kebanyakan negara pengeluar minyak di dunia termasuklah di negara kita sendiri - majoriti syarikat minyak masih lagi dimiliki oleh kerajaan negara tersebut sepenuhnya.

Ekoran kejatuhan harga minyak teruk yang merencatkan ekonomi Arab Saudi, kerajaan Arab Saudi mula merancang untuk membuka syarikat minyak negara mereka, ARAMCO kepada awam bagi memperkembangkan dana yang dimiliki. Sudah lebih 2 tahun berita ini kedengaran dan kami pun sudah melaporkan tentang cadangan ini tahun lepas.

Bagaimanapun sehingga kini kerajaan Arab Saudi nampaknya masih menunggu masa terbaik dalam membuka saham ARAMCO kepada awam. Dengan cadangan pembukaan 5% saham ARAMCO pada nilai RM8 trillion, proses IPO ARAMCO akan menjadi IPO paling besar di dunia.

Di negara kita pula, desas-desus sama mula kedengaran selepas media mula menyatakan salah satu proses paling cepat bagi kerajaan kita mendapatkan dana bagi membayar hutang negara, adalah dengan membuka pegangan saham Petronas untuk dimiliki pihak awam. Petronas dianggarkan bernilai RM800 billion dan seandainya 25% saham Petronas dibuka kepada awam, kerajaan Malaysia mampu mengumpulkan dana sebanyak RM150-RM200 billion dengan pantas.

Walaupun begitu seandainya kerajaan Malaysia berbuat demikian, keseluruhan status kewangan dan akaun Petronas sekian lama perlu didedahkan kepada umum tanpa boleh dilindungi lagi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)