Membaca adalah satu proses yang rumit. Otak kita mesti melakukan beberapa fungsi secara serentak ketika membaca. Ketika anda sedang membaca artikel ini, otak anda terlebih dahulu perlu mengesan, mengenali dan menghubungkannya dengan fonetik bunyi yang dihasilkan pelbagai huruf itu.
Proses itu berlaku bemula dari satu perkataa, kemudian satu ayat sehinggalah kepada perenggan-perenggan seterusnya. Ia merupakan satu proses yang panjang tetapi otak kita mampu melakukannya dengan kepantasan tinggi supaya kita dapat membaca dengan baik.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun perkara ini tidaklah begitu mudah bagi penghidap Disleksia. Disleksia adalah satu bentuk ketidakupayaan pembelajaran walaupun para penghidapnya tidak cacat dari segi interlektual.
Fahami apa itu Disleksia
Perkataan Disleksia diambil dari bahasa Yunani iaitu "Dys" yang bermaksud susah dan "Lexia" yang bermaksud tulisan. Penghidap Disleksia mengalami masalah membaca, mengira dan mengenal pasti huruf.
Selain membaca, masalah ini juga akan menjurus kepada penulisan. Walau bagaimanapun, ia tidak mencerminkan kekurangan akal fikiran mereka. Hanya kebolehan asas mereka sahaja yang terjejas tetapi tidak kebolehan mereka untuk memahami.
Selain mempunyai masalah mengenal pasti huruf, penghidap juga sukar untuk menghubungkan huruf dengan bunyi fonologi (ilmu bahasa (linguistik) yg berkaitan dgn penyebutan kata dan lambang yg menunjukkan sebutannya). Akan tetapi, penghidap Disleksia biasanya lebih kreatif berbanding orang biasa.
Walaupun selepas penyelidikan yang luas, punca berlakunya Disleksia masih belum dapat dipastikan. Terdapat bukti Disleksia diwariskan melalui genetik tetapi faktor lain seperti persekitaran, kaedah pembelajaran dan lain-lain juga boleh memainkan peranan.
Terdapat beberapa jenis gangguan dalam otak mereka yang mengawal pengenalpastian huruf dan menghubungkannya dengan bunyi tetapi mekanisme yang tepat masih belum diketahui.
Tanda dan gejala Disleksia
Walaupun Disleksia ini biasanya ada sejak seseorang penghidap itu masih kecil tetapi ia sukar dikesan pada usia seawal itu. Gejala-gejala Disleksia akan menjadi berbeza-beza apabila penghidap itu semakin dewasa. Berikut adalah beberapa tanda dan gejala Disleksia mengikut peringkat umur :
Pra sekolah
- Lewat kebolehan bercakap.
- Sebutan perkataan yang tidak betul.
- Sukar untuk memahami kata-kata berirama.
- Menyebut 'masak nasi' sebagai 'nasak masi'.
Namun, anda harus ingat bahawa setiap kanak-kanak adalah berbeza. Mereka tidak seharusnya mempunyai kebolehan bercakap dengan betul pada masa yang sama. Selain Disleksia, masalah lain juga boleh menyebabkan terjadinya keadaan sebegini.
Masalah di peringkat persekolahan
Apabila penghidap Disleksia semakin membesar, gejalanya juga akan berubah. Ini kerana ketika membesar mereka dijangkakan dapat melakukan lebih banyak fungsi seperti menulis dan membaca. Antara perubahan gejala adalah seperti :
- Sering mencampur aduk ejaan sesuatu perkataan.
- Keliru tentang huruf dan nombor yang seakan-akan sama seperti 'b' dan 'd' atau '6' dan '9'.
- Mengadu mengalami masalah ketika membaca seperti huruf menjadi samar atau bergerak-gerak.
- Sukar belajar sesuatu dalam turutan seperti bulan dan tahun.
- Sukar membaca dengan kuat.
- Menyatakan sesuatu secara lisan tetapi sukar melakukannya secara bertulis.
- Menulis dengan perlahan dan tulisan sukar dibaca.
- Sukar memahami perkataan yang panjang seperti 'mempertanggungjawabkan'. Perkataan seperti ini perlu dipecahkan kepada pecahan yang lebih kecil.
Masalah sewaktu dewasa
- Sukar menulis sesuatu yang mereka ingin luahkan. Lebih memilih untuk menyatakannya secara lisan.
- Mengelak tugasan yang melibatkan bacaan dan penulisan.
- Kesukaran belajar dan mengulang kaji.
- Banyak kesalahan dalam tulisan dan bacaan.
- Sukar mencatat nota
- Biasanya sangat kreatif dan bijak
Mengenal pasti dan merawat Disleksia
Contoh tulisan penghidap Disleksia
Sama seperti gangguan lain, Disleksia juga tidak dapat ditentukan dengan ujian-ujian khusus. Disgnosisnya dilakukan dengan memantau dan mengenal pasti gejala dan menyingkirkan kemungkinan lain. Sebagai contoh, sekiranya seorang kanak-kanak itu sukar membaca, masalah penglihatan yang akan disiasat terlebih dahulu.
Gangguan Disleksia ini paling mudah didiagnosis semasa tahun persekolahan melalui usaha gabungan oleh guru dan ibu bapa. Sekiranya seseorang kanak-kanak itu disyaki mengalami Disleksia, sebaiknya bawa berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan yang betul.
Pusat pembelajaran penghidap Disleksia
Walaupun Disleksia tidak mempunyai penawar tetapi pelbagai kaedah boleh digunakan untuk membantu dan memudahkan penghidapnya. Biasanya kaedah pembelajaran yang khusus dan berbeza digunakan seperti membaca kepada mereka dalam nada yang kuat atau memberikan peluang kepada penghidap untuk mengambil peperiksaan secara lisan.
Kemajuan teknologi juga telah membawa kepada pembangunan perisian (software) dan program yang akan membuatkan penulisan dan membaca lebih mudah kepada penghidap Disleksia.
Seseorang yang menghidap Disleksia itu tidak bermaksud mereka kurang dari segi intelektual. Malah, beberapa orang terkenal seperti Leonardo da Vinci, Thomas Edison, Henry Ford, Alexander Graham Bell , Pablo Picasso dan George Washington juga adalah penghidap Disleksia.
Ini jelas bahawa Disleksia bukanlah faktor yang menghadkan dan menghalang kejayaan seseorang. Ia hanya satu cabaran yang mesti diatasi.
Rujukan: