Oleh pada 19 Apr 2018 kategori

Pernahkah anda terbayang bagaimana perasaannya terapung di udara? Bagi yang pernah mengalaminya, sudah pasti ianya suatu pengalaman yang amat mengasyikkan. Bagaimana objek di bumi boleh terapung ke udara? Graviti adalah faktor yang menentukannya.

Bayangkan suatu hari nanti apabila kita bangun dari tidur, kita terapung ke syiling kerana graviti tidak lagi wujud. Apakah sebenarnya yang akan terjadi? Apakah kesannya kepada manusia dan bumi secara keseluruhannya?

Apa Itu Graviti?

apa sebenarnya graviti

Graviti adalah sebuah daya tarikan yang wujud antara mana-mana 2 jisim. Daya tarikan menarik kedua-dua jisim ke arah satu sama lain. Segala objek yang mempunyai jisim akan mempunyai tarikan graviti. Semakin berat sesebuah jisim, semakan kuat tarikan gravitinya.

Daya tarikan graviti bumi adalah sebab mengapa segala yang objek di planet ini berada di atas tanah, dan punca mengapa sesebuah objek boleh terjatuh daripada atas ke bawah. 

Kesan Jangka Masa Pendek Terdedahnya Kepada Graviti Lemah 

kesan graviti lemah kepada angkasawan

Walaupun saintis sebenarnya tidak dapat meramalkan secara tepat apa yang akan berlaku kepada kita sekiranya bumi kehilangan graviti, mereka boleh memberitahu kita tentang kesan jangka pendek terdedahnya kepada kekurangan graviti. Kesan ini dapat dilihat melalui angkasawan yang berada di angkasa lepas. 

Pada mulanya angkasawan akan kehilangan rasa orientasi, yakni kesukaran untuk membezakan antara kedudukan atas dan bawah. Keadaan ini boleh mengakibatkan mereka berasa tidak sihat untuk seketika.

Antara kesan lain terhadap para angkasawan adalah perasaan seperti kaki, tangan dan kepala tidak melekat pada badan dan seolah-olah tercabut. Bayangkan perasaan sedemikian, agak tidak selesa sebenarnya. 

Perubahan tekanan boleh memberi kesan kepada penglihatan juga, mungkin disebabkan tekanan terhadap bola mata, otak dan cecari tunjang. Sesetengah angkasawan melaporkan kesan ini berlarutan walaupun mereka suda pulang ke bumi. 

angkasawan bersenam di iss

Disebabkan kurangnya tekanan berat pada badan mereka, otot dan tulang mula menjadi lemah. Jadi bagi mengelakkan perkara ini berlaku, para angkasawan harus meluangkan masa untuk bersenam.

Siapa sangka berada di angkasa boleh menyebabkan manusia menjadi lebih tinggi? Ya benar ini adalah fakta. Tanpa tekanan graviti pada badan, manusia boleh meninggi sehingga lebih kurang satu inci atau lebih. Namun, sekembalinya ke bumi, para angkasawan akan kembali kepada ketinggian sebelumnya. 

Apa Akan Terjadi Kepada Anda Jika Graviti Hilang?

apa terjadi jika tiada graviti

Tanpa graviti, tiada lagi daya tarikan yang menarik anda untuk sentiasa berada di permukaan bumi. Ketiadaan graviti akan menyebabkan anda terapung di udara. Sekiranya bumi terus berputar mengelilingi matahari, anda tidak lagi akan bergerak bersama bumi, sebaliknya anda akan terbang dalam garisan lurus, ke atas. Malah, anda akan merasakan bahawa bumi bergerak semakin jauh daripada anda. Berkemungkinan anda akan terus mengapung ke angkasa akibat tiada daya tarikan bumi.

Seperti anda, segala objek di bumi akan terapung di udara dan bergerak dalam garisan lurus. Segala benda di dalam bangunan seperti perabot dan lain-lain akan tersekat pada permukaan syiling.

Apa Akan Terjadi Kepada Bangunan Jika Graviti Hilang?

bangunan terapung tanpa graviti

Tanpa daya tarikan graviti, bumi akan merasai tekanan yang kuat yang akhirnya menyebabkan asas bangunan itu sendiri mula pecah dan hancur menyebabkan keseluruhan bangunan tersebut terapung ke udara dan seterusnya bergerak dalam garisan lurus ke luar angkasa.

Apa Akan Terjadi Kepada Udara Jika Graviti Hilang?

Bukan objek pejal sahaja yang akan terapung ke angkasa, malah udara dan atmosfera bumi turut akan mengalami nasib yang sama. Antara kandungan udara adalah oksigen, gas yang manusia gunakan untuk bernafas. Tanpa oksigen, kita semua akan mati serta merta, kecuali kita mempunyai sebuah tangki oksigen bersama.

Apa Akan Terjadi Kepada Tasik, Sungai dan Laut Jika Graviti Hilang?

kesan graviti kepada tasik sungai laut akan

Selain jisim pejal dan gas, cecair juga akan terkesan dengan kehilangan graviti. Cecair bumi seperti air tasik, sungai dan laut akan mula terapung ke udara. Pada mulanya, air akan mengapung dalam satu gumpalan besar, dan apabila atmosfera bumi mula hilang, haba daripada sinaran matahari akan menembusi permukaan planet kita dan membuatkan air yang terapung mula mendidih, berubah menjadi wap air yang kemudiannya hilang ke angkasa.

Apa Akan Terjadi Kepada Seluruh Bumi Jika Graviti Hilang?

apa akan terjadi kepada bumi tanpa graviti

Akhirnya, tanpa tarikan graviti kesemua bahagian lapisan bumi tidak lagi melekat antara satu sama lain, dan berpecah berterbangan ke angkasa. Manusia pada ketika itu sudah tiada lagi. 

Kesimpulan

Segala ciptaan Tuhan pasti bersebab. Wujudnya graviti pada kadar tertentu di bumi juga pasti bersebab. Sekiranya graviti terlalu kuat, akan ada kesannya, begitu juga sekiranya sebaliknya. Sekiranya tiada langsung graviti, kesannya juga parah. Maka, kita harus bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan, termasuklah kewujudan graviti itu sendiri. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. bbc.com
  2. curious.astro.cornell.edu
  3. science.howstuffworks.com
  4. quora.com
  5. scienceabc.com
  6. sciencewows.ie

tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)