Oleh pada 27 Jul 2021 kategori

Kredit: Instagram @awalashaari & @kupu_kupu

 

Seperti yang sudah diketahui, Nabila Huda bakal menggantikan tempat Awal Ashaari dan Janna Nick selaku pengacara program hiburan nombor satu terbitan TV3, Melodi.

 

"25 Julai 2021, merupakan hari terakhir saya bersama program Melodi. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, kami bersiaran secara maya dan petang 23 Julai 2021 merupakan rakaman saya yang terakhir bersama Janna di rumah kami masing-masing," tulis Awal di Instagramnya baru-baru ini.

 

Pihak stesyen berkenaan difahamkan mengambil keputusan untuk menggantikan pengacara sedia ada dengan in-house talent yang bernaung di bawah pengurusan Media Prima, bermula Ogos 2021.

 

Justeru, Awal dan Janna diberikan tempoh dua minggu untuk menghabiskan dua episod terakhir mereka sebelum hos baru diperkenalkan minggu ini.

 

"Terkejut. Sebelum ini, jika ada pertukaran, kita akan boleh jangka. Ada bayangan, kiasan, informasi dalaman dan selalunya cukup masa yang diberi untuk transisi yang besar dalam kerjaya kami.

 

"Dua minggu? Tentunya satu keputusan yang sukar diterima di saat anak seni rata-rata berdepan dengan kekangan tidak boleh bekerja dan industri seni tidak dibenarkan beroperasi. Khidmat yang saya curahkan sepanjang 8 tahun seolah-olah terhenti begitu sahaja,"  luahnya. 

 

Namun begitu, percayakan rezeki serta Qada' dan Qadar, beliau redha dan tidak mengambil hati walau sedikit pun atas apa yang terjadi.

 

Tidak berniat untuk menongkat langit, beliau melihat tempoh penglibatannya dalam program terbabit sudah cukup untuk mematangkan mana-mana pengacara dan beroleh kepuasan dalam program kelolaan mereka.

 

"Ralat, itulah ungkapan yang paling tepat buat masa ini. Ralat tidak sempat kembali ke set Melodi untuk episod akhir. Ralat tidak dapat lakukan sesi penyerahan yang sewajarnya kepada bakal pengganti saya," rintihnya.

 

Malah, beliau berasa keliru kerana tidak sempat untuk merancang hala tuju kerjayanya selepas ini.

 

"Selepas rakaman semalam, saya terdiam. Lama saya fikir, seperti ini pengakhiran saya dalam program ini? Bukanlah minta untuk diraikan, cuma saya tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal buat semua yang berjasa, bekerjasama dan menyokong sepanjang saya bersama Melodi," jelasnya.

 

 

Menurutnya lagi, beliau berpeluang bekerja dengan seramai 6 orang pengacara bersama secara silih berganti iaitu Dira Abu Zahar, Zizan Razak, Sherry Alhadad, Zulin Aziz, AG dan Janna.

 

"Kepada Sufian, Azman Abdul Ghaffar, Jamil Hassan, Michelle Wee dan Adeed, terima kasih kerana mempercayai bakat saya dan segala ilmu yang diberikan selama ini.

 

"Juga buat keluarga kecil Melodi iaitu Nik, Izza, Ria, Phen, Ecah, Pogy, abang-abang soundman, jurukamera, lighting dan semua yang bertungkus-lumus untuk memastikan Melodi dapat bersiaran secara langsung setiap hari Ahad selama ini," ucapnya.

 

Awal juga berterima kasih kepada semua penonton dan meminta maaf jika mempunyai kesalahan sepanjang mengendalikan rancangan berkenaan.

 

"Kepada pihak pengurusan Media Prima, terima kasih tidak terhingga kerana menjadikan saya sebahagian dari legasi Melodi. Ia sememangnya salah satu pencapaian terbaik dalam kerjaya saya.

 

"Sejak kecil saya menonton Melodi. Kesemua idola saya pernah mengacarakan program ini. Apabila saya dapat mengacarakannya, ia satu pengiktirafan yang cukup besar buat saya," tambahnya.

 

Disamping itu, beliau mengucapkan tahniah kepada bakal penggantinya, Nabila Huda dan yakin aktres tersebut mampu untuk menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin.

 

"Akan ada artis yang bermasam muka dan sudah tidak tegur kita. Ada yang akan direct message (DM) kita di Instagram bertanya sebab bercerita tentang isunya.

 

"Ada yang akan terasa hati dengan cara penyampaian kita dan ada juga yang akan unfollow dan block kita. Akan ada juga peminat yang akan kutuk dan maki kita apabila artis kesayangan mereka diusik," dedahnya.

 

 

Sementara itu, pengacara terkenal, Cheryl Samad yang pernah berkhidmat dengan stesyen berkenaan memberikan gambaran seolah-olah beliau juga pernah melalui situasi yang serupa.

 

"Kejadian yang menimpa anda bagaikan sebuah 'deja vu' yang cukup besar buat saya. Anda jauh lebih baik dari sekadar mengacarakan rancangan televisyen," tulis bekas pengacara Muzik-Muzik itu.

cheryllkomen

 

Untuk rekod, rancangan yang begitu sinonim dengan slogan "tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi, berdiri di atas bakat sendiri" itu dikemudi oleh Awal dari tahun 2012 sehingga 2021.

 

Sumber: Instagram Awal Ashaari




Hakcipta iluminasi.com (2017)