Kita biasa mendengar iklan mengenai probiotik di kaca televisyen dan saluran radio. Probiotik diwar-warkan sebagai bakteria hidup atau bakteria baik yang penting untuk kesihatan usus. Ianya biasa diambil melalui pil, yogurt mahupun minuman.

Sesetengah orang mendakwa mendapat manfaat daripada pengambilan probiotik ini antaranya menyelesaikan masalah berkaitan usus dan juga alergik. Malah, pasaran untuk produk probiotik juga tersangatlah besar, iaitu sekitar $40 bilion setahun bagi tahun 2017 sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Malaysia pula, produk berkaitan probiotik dipelopori oleh minuman jenama Vitagen dan Yakult. Ianya sangat mudah didapati dihampir kesemua kedai runcit dan pasar raya. Harganya juga tidaklah terlalu mahal dan rasanya sangat digemari kanak-kanak.

Persoalannya, adakah pengambilan probiotik ini benar-benar memberi manfaat kepada manusia? Walaupun terdapat dakwaan bahawa pengambilan probiotik memberi manfaat kepada kumpulan individu tertentu, bukti saintifik mengenai manfaat probiotik kepada manusia masih lagi dalam kajian para saintis.

Beberapa kajian positif berkaitan probiotik?

probiotik lactobacilli

Benar, beberapa kajian sebelum ini pernah dilakukan terhadap probiotik dan ianya menunjukkan kesan yang positif. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sebab atau limitasi pada kajian yang dilakukan menyebabkan ianya tidak boleh diterima pakai sebagai bukti saintifik ianya akan memberi manfaat yang sama kepada manusia.

1. Pada tahun 2013, kajian yang dilakukan oleh California Institute of Technology menemui bahawa probiotik mampu mengurangkan tingkah-laku autisme (autism-like behaviors). Walau bagaimanapun, kajian tersebut dilakukan ke atas tikus makmal dan bukan manusia. Oleh itu, hasil daripada kajian tersebut tidak dapat membuktikan probiotik akan mempunyai kesan yang sama kepada manusia.

2. Pada tahun 2008, satu laporan yang dimuatkan dalam American Journal of Clinical Dermatology berjaya menunjukkan probiotik berupaya untuk mengubati penyakit atopic dermatitis atau dikenali juga sebagai eczema. Eczema adalah kondisi dimana kulit berwarna kemerah-merahan dan gatal.

Walau bagaimanpun, kajian tersebut hanya dibuat 3 orang wanita mengandung dan bayi mereka sahaja. Jumlah sampel yang sedikit ini tidak dapat memberi gambaran bahawa kesannya akan sama sekiranya dicuba pada orang yang lebih ramai. Malah, penulis laporan tersebut juga telah menulis konklusi bahawa disebabkan limitasi pada kajian tersebut, maka penggunaan probiotik bagi mengatasi masalah atau penyakit yang dinyatakan perlulah dilakukan secara berhati-hati.

3. Terdapat laporan kajian yang dikeluarkan pada tahun 2014 yang menunjukkan bahawa probiotik positif untuk merawat beberapa penyakit berkaitan usus seperti irritable bowel syndrome (IBS) atau diarrhea ( cirit-birit).

kajian saintifik

Menurut portal Scientific American, walaupun pelbagai kajian yang telah dilakukan menunjukkan probiotik positif untuk merawat pelbagai penyakit, tiada kajian yang menunjukkan pengambilan probiotik mampu memberi manfaat kepada orang yang sihat dan tidak mempunyai penyakit-penyakit tersebut.

Siapa sebenarnya mendapat manfaat daripada probiotik?

risiko sepsis pada bayi

Walaupun manfaat kepada probiotik kepada golongan yang sihat tidak dapat dibuktikan lagi melalui kajian saintifik, pakar bersetuju bahawa probiotik memberi manfaat kepada 3 golongan berikut:

1. Bayi pramatang - Kajian pada tahun 2017 pada 4500 bayi baru lahir di India mendapati bayi yang mengambil probiotik Lactobacillus plantarum mempunyai risiko lebih rendah untuk mendapat penyakit sepsis, sejenis penyakit yang boleh menyebabkan kerosakan pada organ dan membunuh 600,000 bayi setiap tahun. Daripada kajian tersebut, terdapat pengurangan kadar bayi yang mempunyai sepsis iaitu daripada 40% kepada hanya 5.4%.

2. Golongan yang mempunyai penyakit irritable bowel syndrome (IBS) - Organisasi International Foundation for Functional Gastrointestinal Disorders (IFFGD) menyatakan bahawa probiotik mampu memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai IBS atau cirit-birit. Pernyataan ini disokong oleh beberapa kajian yang telah dilakukan.

3. Pesakit yang mengambil antibiotik - Antibiotik biasanya diambil untuk merawat beberapa jenis penyakit. Pengambilan antibiotik akan membunuh bakteria di usus, sama ada bakteria baik mahupun bakteria jahat. Selain itu, menurut statistik antibiotik juga boleh menyebabkan diarrhea (cirit-birit) kepada 1 per 3 golongan manusia. Beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa pengambilan probiotik efektif untuk menghalang cirit-birit disebabkan penambilan antibiotik (antibiotic-associated diarrhea - AAD)

Kesukaran kajian untuk mengetahui keberkesanan probiotik

bakteria di usus

Mengapakah begitu sukar bagi ahli perubatan menentukan bahawa pengambilan probiotik boleh memberi manfaat kepada masalah atau penyakit tertentu? Kerana terdapat kira-kira 300 hingga 500 spesis bakteria yang terdapat dalam usus manusia dimana jumlah keseluruhan bakteria dalam usus manusia mungkin mencecah trilion.

Selain itu, setiap usus manusia adalah unik dan berbeza. Oleh itu, adalah sukar untuk membuat rumusan bahawa probiotik mampu merawat penyakit tertentu kerana setiap jenis probiotik mungkin hanya memberi kesan kepada bakteria tertentu sahaja.

Oleh sebab itulah, para doktor dan organisasi perubatan mengatakan bahawa probiotik bukanlah pengganti kepada ubat-ubatan. Sekiranya tidak pasti, dapatkan nasihat doktor. Lagipun pengambilan minuman probiotik secara kerap mungkin tidak bagus memandangkan kandungan gula yang tinggi dalam minuman yang dijual di pasaran.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)