Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza & Instagram Aishah

Juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah mengakui hanya mendapat tahu jumlah hadiah yang ditawarkan kepada pemenang utama rancangan realiti itu sewaktu konsert separuh akhir minggu lepas.

Beliau berasa terkejut dengan ganjaran lumayan kepada pemenang, lantas bertekad ingin membuat yang terbaik pada peringkat akhir.

"Saya memang dah tahu tentang hadiah wang tunai RM100,000 tapi hadiah sampingan lain baru tahu semasa separuh akhir lalu.

"Melopong juga bila dengar apa yang mereka tawarkan. Yang paling menarik dan bermakna buat saya ialah hadiah sebidang lot tanah tu.

"Sudah lama saya mahukan tanah untuk buat rumah sebab sebelum ini ada la sikit hal dalam keluarga berkaitan tanah yang mana hak saya dinafikan," katanya memetik portal Mstar Online.

Aishah mengenepikan lima saingannya, iaitu Liza Hanim, Lan Solo, Hazami, Firman dan Tia Jinbara.

Konsert akhir GV4 berlangsung di Studio Pinewood, Johor Bahru pada Ahad.

Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 52, memanjatkan kesyukuran apabila kerjayanya kembali menyinar selepas menyertai GV4.

Malah kegemilangan kariernya kini lebih bermakna kerana generasi muda turut mengenalinya menerusi pertandingan ini.

"Dari minggu pertama saya muncul di pentas GV4, saya mula dapat pengikut baharu dalam kalangan generasi muda.

"Apabila saya ke masjid pun ada kanak-kanak yang menyapa saya, mereka kenal saya. Saya rasa terharu dan gembira dengan penerimaan ini," katanya.

Aishah yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu 1990 dan 1995, masing-masing menerusi lagu Janji Manismu dan Cinta Beralih Arah, turut menghargai para peminat lamanya yang terus setia memberikan sokongan.

Dalam pada itu, beliau juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kecaman 'haters' di media sosial.

Kata Aishah, dia tidak gentar berhadapan kritikan buruk masyarakat, malah mencabar mereka tampil bersemuka jika ingin mengatakan sesuatu.

Pengalaman lampaunya sebagai penghibur menjadi bekalan untuk menghadapi 'permainan' dalam industri hiburan.

"Saya tak marah dan tak terkesan pun. Mereka ini kalau kita cabar, mulalah takut. Lepas itu tutup akaun laman sosial.

"Kalau berani, datang berdepan dengan saya. Suarakan apa yang tak puas hati. Saya tidak kisah," ujarnya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)