Oleh pada 20 Mar 2021 kategori

Bagi pemilik kucing, adakah anda benar-benar memahami haiwan kesayangan anda itu. Apabila kucing anda mengiau atau 'purr' setiap kali melihat tuannya, adakah itu bermaksud ia gembira? Tidak semestinya. Ia juga boleh menandakan bahawa kucing anda sedang marah, resah atau tertekan.

tanda kucing marah

Sebenarnya, kucing adalah haiwan peliharaan yang lebih kompleks dan sukar difahami berbanding anjing. Anda perlu lebih memahami mereka terutamanya ketika sedang marah. Ini menandakan ada sesuatu yang tidak kena. Berikut adalah tanda-tanda kucing anda sedang marah.

1. Memerhatikan anda dari jauh

kucing perhatikan anda dari jauh

Sedikit sukar untuk mengetahui punca mengapa kucing anda menjarakkan diri. Menurut Michael Reub, pakar tingkah laku kucing dari Persatuan Perlindungan Kucing Amerika, itu boleh menjadi tanda kucing anda sedang marah, takut atau cemas terutamanya jika mereka biasanya manja dan suka bermain dengan anda.

Kucing yang marah akan menjaga jarak apabila terdapat perubahan mengelirukan seperti bunyi atau suara kuat dengan tiba-tiba, pergerakan mengejutkan atau bau asing pada badan anda. Anda perlu memberikannya masa dan dia akan kembali apabila tenang.

2. Mengeram atau membuat bunyi 'Grrr'

Bukan hanya anjing, malah kucing yang sedang marah juga membuat pelbagai suara bagi menunjukkan ketidakselesaan mereka termasuklah bunyi mengeram (GRRR!).

Jika kucing anda menyuarakan perasaannya, mulakan dengan memberi ruang dan perlahan-lahan melakukan perkara yang boleh mewujudkan hubungan positif seperti memberi makan, bermain menggunakan permainan atau membelainya.

3. Memberikan "pandangan tajam"

kucing merenung tajam 90

Menurut penulis buku The One Minute Cat Manager, Kac Young, kucing adalah haiwan yang pandai menunjukkan perasaan mereka melalui mata.

Jelas Kac lagi, kucing mudah gelisah dan tertekan apabila rutin hariannya terganggu seperti terlambat memberi makan atau menukar pasir. Jika mampu, cuba lakukan rutin yang sama agar kucing anda lebih mesra dan bersedia dengan situasi yang bakal dihadapinya.

4. Mengelak mainan kegemarannya

Walaupun mainan menyeronokkan, ia juga boleh menjadi penyebab kepada kemurungan kucing. Kucing mudah bosan dengan mainan yang sama jadi adalah penting untuk sentiasa menukar permainan mereka atau mencampurkannya dengan catnip (herba dari keluarga pudina yang mampu merangsang kucing).

Kac Young menjelaskan bahawa kucing memerlukan banyak rangsangan kerana mereka adalah pemburu semula jadi dan suka permainan 'kejar dan tangkap'. Membuatkan kucing anda aktif dan terangsang mampu mengelakkan haiwan itu menjadi murung.

5. Badan melengkung dan bulu mengembang

kucing marah

Salah satu tanda paling mudah untuk mengesan kucing anda sedang marah adalah apabila mereka melengkungkan badan serta bulu pada badan dan ekor mengembang. Mereka berkelakuan begini untuk kelihatan lebih besar dan menakutkan, biasanya ketika takut atau berhadapan dengan ancaman.

Jika berhadapan dengan situasi ini, elakkan membelai kucing anda. Anda mungkin akan dicakar atau digigit jika meneruskannya. Beri kucing anda masa dan ruang untuk kembali bertenang. Mereka akan pulih apabila ancaman atau ketakutan semakin reda.

6. Telinga rapat ke belakang 

Kucing yang sedang marah juga biasanya akan merapatkan telinganya seperti ia melekat di kepala. Elakkan membelai kucing anda sekiranya terdapat tanda seperti ini. 

Anda mungkin akan dicakar atau digigit jika terus membelai mereka dalam keadaan ini walaupun sebenarnya mereka tidak marah pada anda. Ini kerana kucing boleh menjadi marah atas pelbagai sebab tetapi tidak tahu untuk meluahkannya. Menyerang anda adalah salah satu cara melepaskan kemarahannya. 

7. Bersembunyi dan enggan keluar

kucing bersembunyi

Bersembunyi adalah tanda awal jika kucing anda berasa tidak selesa atau takut. Mereka biasanya bersembunyi di bawah sofa, ruangan sempit malah di atas almari. Bukti semakin jelas apabila mereka enggan keluar walaupun dipujuk.

Ia adalah tindak balas semula jadi haiwan itu untuk bersembunyi jika terdapat sebarang ancaman sama ada dari manusia atau persekitarannya. Kucing anda mungkin akan menjadi lebih agresif jika anda memaksanya keluar sebelum ia bersedia.

8. Membuang najis di tempat tidak sepatutnya

Anda bukanlah pembela kucing sejati jika tidak pernah menerima "hadiah" dari haiwan itu. Adalah perkara biasa jika kucing anda membuang najis di tempat tidak sepatutnya seperti tempat tidur atau pakaian bersih. 

Jika kebiasannya ia membuang najis di pasir yang disediakan tetapi tiba-tiba membuang di tempat tidak sepatutnya bermakna kucing anda sedang marah atau tertekan. Namun, kucing juga menggunakan air kencingnya sebagai "aroma" untuk menanda kawasan dan mengatasi kegelisahan.

Anda perlu mengatasi masalah ini sebelum ia menjadi kebiasaan dengan berjumpa dengan doktor haiwan atau bertanya kepada mereka yang pakar mengenai kucing.

9. Tidak mahu makan

kucing tidak mahu makan

Apabila kucing anda sedang marah atau tertekan, mereka akan kurang makan atau enggan sama sekali. Perkara ini sering berlaku apabila kucing anda berhadapan dengan situasi baru, perubahan rutin atau peristiwa besar yang berlaku di rumah.

Selain marah, tanda ini juga mungkin bermaksud kucing anda tidak sihat atau mengalami kesakitan. Jika ia berlarutan lebih daripada satu atau dua hari, bawalah si comel anda berjumpa doktor haiwan.

Rujukan:

1. Fahami isyarat kucing anda

2. Kenali tingkah laku kucing yang marah

3. Cara kucing marah berinteraksi dengan anda



Hakcipta iluminasi.com (2017)