Pawagam teater adalah salah satu tempat di mana orang ramai dari seluruh dunia berkumpul untuk menyaksikan persembahan secara langsung. Suatu masa dahulu, pawagam teater merupakan hiburan utama sebelum teknologi menggantikannya dengan sinematografi.

Banyak pawagam teater yang dibina sejak dari tahun 1800-an masih lagi dikekalkan sehingga sekarang dan dijaga dengan baik. Namun, pawagam teater lama ini juga menyimpan pelbagai kisah selain dari bidang kesenian. Beberapa pawagam teater terkenal dunia dilaporkan mempunyai aktiviti paranormal yang boleh membuatkan anda seram. Berikut adalah beberapa pawagam teater yang dikatakan berhantu dari seluruh dunia. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

9. Teater St. James - New Zealand

Pawagam teater yang dikenali sebagai "The Majesty's Theatre" ini terletak di tengah-tengah bandar New Zealand. Teater ini direka oleh Henry Eli White dan ianya dibuka pada tahun 1912. Beberapa penambah baikkan telah dilakukan pada teater ini sehingga tahun 1990-an. Namun, apa yang menjadi bualan ialah aktiviti paranormal yang berlaku di sini.

Bukan hanya satu atau dua, tetapi banyak roh yang dikatakan berkeliaran di teater lama ini. Salah satu yang terkenal ialah roh Yuri, seorang pelakon Rusia yang meninggal dunia akibat terjatuh daripada pentas, di sini. Para pekerja mendakwa Yuri sering membuka lampu pentas apabila kesemua suis lampu telah ditutup.

Akan tetapi, menurut seorang pekerja pencahayaan pentas, Yuri bukanlah roh yang jahat. Ini kerana Yuri pernah menyelamatkan nyawanya sebanyak dua kali dengan menolaknya ke tepi sebelum lampu pentas jatuh dari atas. Antara roh lain yang sering dilihat para pekerja ialah roh Stan Andrew dan roh "Wanita Meratap".

Ada dakwaan mengatakan bahawa kehadiran roh yang banyak ini adalah kerana pawagam teater ini dibina di atas tapak perkuburan lama. Namun, tiada bukti rasmi yang menyokong dakwaan itu setakat ini.

8. Teater Adelphi - United Kingdom

pelakon willliam terriss

Pelakon William Terriss

Teater Adelphi adalah sebuah pawagam teater yang terletak di London West End dan ia dibuka sejak tahun 1806 lagi. Dianggap sebagai salah satu teater yang bersejarah di London, ia mempunyai kapasiti sebanyak 1,500 tempat duduk. 

Kerja pengubah suaian yang dilakukan pada tahun 2007 telah memberikan satu wajah baru kepada pawagam teater bersejarah ini. Namun, apa yang lebih menarik lagi ialah tempat ini juga dikatakan berleluasa dengan aktiviti paranormal.

Salah satu roh yang mengganggu teater ini ialah roh pelakon William Terriss yang dibunuh berdekatan pintu pentas oleh rakannya sendiri iaitu Richard Archer Prince. Terriss dikatakan meninggal dunia dalam dakapan pelakon wanita utama yang juga khabarnya merupakan teman wanitanya.

Sebelum meninggal dunia, Terriss bersumpah akan melawat kekasihnya setelah mati. Roh Terriss dikatakan sering mengetuk pintu persalinan pelakon wanita utama di teater itu sehingga hari ini. Pekerja teater juga sering melihat rohnya di sekitar pentas teater tersebut.

7. Teater Belasco - Amerika Syarikat

david belasco

David Belasco

Pada awalnya, teater yang dibuka pada tahun 1907 ini diberi nama Teater Stuyvesant. Setelah tiga tahun beroperasi, nama teater itu ditukar kepada Teater Belasco sempena nama pelakon, pengurus dan penerbit teater itu sendiri iaitu David Belasco.

Belasco dikatakan tinggal di bahagian atas teater itu dan meninggal dunia pada tahun 1931. Setelah itu, banyak kejadian penampakan lembaga seakan-akan Belasco dilaporkan oleh para pekerja dan juga pelakon. Namun ia bukanlah sesuatu yang menakutkan. Ini kerana para pelakon di teater itu berpendapat, ia akan menjadi hari yang bertuah sekiranya mereka terserempak dengan lembaga pemilik teater itu.

Selain itu, beberapa lagi kejadian aneh seperti bunyi tapak kaki, pintu dibuka dan ditutup dengan sendirinya, langsir bergerak tanpa disentuh dan elevator bergerak dengan sendiri tanpa ada sesiapa yang menggunakan. Lembaga yang digelar "Blue Lady" juga dilaporkan sering dilihat berkeliaran di pawagam itu.

6. Teater Orpheum - Amerika Syarikat

teater orpheum

Pawagam Teater Orpheum yang terletak di Memphis ini telah disenaraikan oleh Amerika Syarikat sebagai salah satu tapak bersejarah. Teater yang dibina atas tapak asal The Grand Opera House ini mula dibuka pada tahun 1928 dan mempunyai kapasiti sebanyak 2,300 tempat duduk.

Selain menjadi tempat bersejarah, teater ini juga terkenal kerana aktiviti paranormal. Salah satu penampakan yang popular di sini ialah roh seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang bernama Mary. Pada tahun 1921, Mary dikatakan telah meninggal dunia akibat dilanggar kereta di hadapan The Grand Opera House.

Roh Mary sering dilihat duduk di tempat kegemarannya iaitu tempat duduk C5 di salah satu balkoni teater tersebut. Mary dikatakan memakai gaun serba putih, seakan-akan pakaian pada zaman 1920-an. Selain dilihat di tempat duduk kegemarannya, Mary juga sering bergurau dengan para pekerja, menyembunyikan peralatan mereka di dalam tandas.

Selain daripada itu, beberapa kejadian aneh juga dilaporkan berlaku dan dikatakan terdapat 6 lagi roh lain yang sering berlegar di teater bersejarah di Amerika itu sehingga hari ini.

5. Teater Palace - Amerika Syarikat

teater palace new york

Teater Palace ini terletak di tengah-tengah kawasan popular di Times Square, New York. Teater yang dibuka pada tahun 1913 ini merupakan salah satu teater paling popular di Amerika Syarikat pada waktu itu. Teater lama ini mempunyai kapasiti sebanyak 1,743 tempat duduk.

Namun, apa yang lebih popular ialah teater ini dikatakan dihuni oleh lebih daripada 100 roh termasuk beberapa bekas pelakon terkenal yang pernah membuat persembahan di sini. Antara lembaga yang sering dilihat ialah roh Louis Borsalino, yang dilihat melakukan aksi berjalan atas tali, sama seperti sewaktu dia masih hidup.

Antara beberapa roh lain yang dilihat ialah seorang budak perempuan yang kelihatan sedih duduk di balkoni, seorang lelaki memakai sut berwarna kelabu yang sering melintas di hadapan pejabat dan juga roh seorang budak lelaki yang sering bermain dengan trak permainannya di tingkat bawah bangunan itu.

4. Teater Dock Street - Amerika Syarikat

dock street theatre

Walaupun teater ini diberi nama Teater Dock Street, tetapi ianya terletak di Church Street, Charlston. Teater yang merupakan bangunan kesenian pertama yang dibina sejak 1736 itu telah terbakar dan roboh sebelum ini, namun dibina dan diperbaharui semula di tapak yang sama pada tahun 1809, sebagai sebuah hotel yang diberi nama Planter's Hotel.

Hotel itu telah beroperasi sehingga tahun 1930, selepas itu pihak perbandaran telah membaik pulih semula bangunan bersejarah ini dan menukar semula identitinya sebagai sebuah teater. Bangunan yang mempunyai sejarah selama ratusan tahun ini juga dikatakan mempunyai banyak kejadian paranormal.

Salah satu lembaga yang terkenal di teater ini dipercayai roh kepada Junius Brutus Booth, bapa kepada pembunuh upahan presiden Abraham Lincoln. Tidak dapat dipastikan mengapa roh Booth menghantui bangunan ini kerana dia meninggal dunia beberapa batu daripada hotel dan teater ini.

Satu lagi lembaga yang popular ialah roh kepada Nettie Dickerson. Dia dipercayai hidup di Charlston pada tahun 1800 dan bekerja sebagai seorang pelacur. Beberapa orang mendakwa pernah melihat wanita itu berkeliaran di teater ini dengan memakai pakaian berwarna merah.

3. Teater Dominion - United Kingdom

teater dominion

Teater Dominion yang dibuka pada tahun 1929 ini terletak di Tottenham Court Road di London Borough of Camden. Teater ini pernah menjadi tempat untuk pertunjukan musikal We Will Rock You yang berlangsung selama 12 tahun dari 14 Mei 2002 hingga 31 Mei 2014. Selain itu, ia juga menjadi tempat ujibakat Britain's Got Talent dan juga teater persembahan pelawak terkenal Charlie Chaplin.

Namun, apa yang sering diperkatakan mengenai teater lama ini ialah aktiviti paranormal yang sering berlaku di sini. Menurut kepercayaan para penggiat teater di barat, sekiranya anda terlihat kelibat atau lembaga hantu di teater, ia adalah petanda bahawa anda mungkin bernasib baik.

stuart cheveralls dan temannya natalie

Hal itu yang terjadi kepada salah seorang penaung teater We Will Rock You iaitu Stuart Cheveralls. Chevaralls yang mengambil gambar bersama temannya Natalie di dalam teater itu secara tidak sengaja telah mengambil gambar satu roh yang berada di belakang mereka berdua.

Ramai percaya roh itu adalah mangsa yang terkorban 114 tahun sebelum teater itu dibina. Sebelum adanya Teater Dominion, tapak itu ialah sebuah gudang pembuat minuman keras. Pada tahun 1814, satu tangki besar yang mengandungi 3,550 tong bir telah pecah dan mengakibatkan tsunami alkohol yang telah mengorbankan 8 nyawa. Peristiwa itu digelar sebagai "Banjir Bir London".

2. Teater Royal, Drury Lane - United Kingdom

teater royal drudy lane

Teater Royal dari Drudy Lane ini dianggap seagai salah satu teater paling berhantu di dunia. Teater Royal yang merupakan teater ke empat di tapak ini ditubuhkan dengan pengubahsuaian lengkap pada tahun 1812 tetapi ia telah wujud sejak tahun 1660 lagi dengan beberapa generasi teater yang berbeza.

Teater yang juga dikenali sebagai Teater Drury Lane ini terletak di Convent Garden, London. Salah satu penampakan lembaga yang terkenal di teater ini ialah "Man in Grey" yang berpakaian seperti seorang bangsawan pada kurun ke-18. Legenda mengatakan Man in Gret ialah seorang lelaki yang tengkoraknya ditemui ditanam di dalam dinding teater ini pada tahun 1848.

Selain itu, hantu kepada pelakon Charles Macklin dan juga badut Joseph Grimaldi juga dikatakan menghantui teater ini. Macklin sering dilihat berada di belakang pentas di mana tempat dia telah membunuh rakan pelakonnya iaitu Thomas Hallam pada tahun 1735. Grimaldi pula dikatakan menjelma sebagai salah satu roh yang membantu para pelakon mengatasi perasaan gemuruh mereka sebelum menaiki pentas.

1. Dewan Persatuan Huguang - China

dewan persatuan huguang

Dewan Persatuan Huguang mula dibina pada tahun 1759 ini dibuka sebagai pusat teater opera pada tahun 1807. Ia merupakan salah satu daripada "Empat Teater Terhebat" di China, di samping Teater Opera Zhengyici. Ramai pelakon opera yang hebat pernah membuat persembahan di dewan bersejarah ini.

Dewan bersejarah ini juga dikatakan sebagai salah satu tempat paling berhantu di China. Ini kerana dewan bersejarah ini dikatakan dibina di atas satu kawasan perkuburan lama. Banyak kes kejadian paranormal yang dilaporkan berlaku di sini sehingga hari ini.

Ramai pengunjung yang mendakwa terlihat lembaga menyeramkan dan mendengar suara menangis serta meratap di dewan ini. Anda dinasihatkan agar tidak membaling batu di dalam kawasan dewan ini kerana pernah ada pengunjung yang dimarahi oleh roh yang berada di dewan ini kerana berbuat demikian.




Hakcipta iluminasi.com (2017)