Kebanyakan orang biasanya akan tertarik dengan perkara aneh dan misteri di dunia. Tidak semua cerita seram berdasarkan fiksyen semata-mata kerana beberapa objek yang dijadikan cerita seram itu sebenarnya memang benar-benar wujud.

Kebanyakan objek-objek yang dikatakan disumpah ini telah direkodkan kejadian misterinya yang boleh membuatkan anda kecut perut. Beberapa objek ini juga telah menjadi inspirasi kepada penghasilan filem-filem seram. Berikut adalah senarai beberapa objek yang dikatakan berpuaka dan disumpah.

10. Lukisan “The Anguished Man” 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum lukisan ini diwariskan kepada Sean Robinson, neneknya telah menyimpan lukisan ini di loteng selama hampir 25 tahun. Neneknya sering memberitahu Robinson bahawa lukisan ini mempunyai kuasa jahat dan disumpah serta mendakwa lukisan ini dilukis menggunakan cat yang dicampurkan dengan darah dan pelukisnya membunuh diri selepas menyiapkan lukisan ini.

Neneknya juga mendakwa sering mendengar suara aneh malah melihat bayangan seorang lelaki berada di rumahnya ketika lukisan itu berada dalam simpanannya. Perkara menakutkan ini yang membuatkan neneknya memutuskan untuk menyimpan lukisan ini di loteng rumah selama 25 tahun lamanya.

Selepas mewarisi lukisan itu, keluarga Robinson juga mengalami fenomena yang sama seperti yang diceritakan oleh neneknya. Anaknya pernah ditolak jatuh dari tangga dan isterinya pula pernah merasakan sesuatu sedang mengusap rambutnya. Mereka sekeluarga juga sering mendengar suara tangisan dan terlihat bayangan seorang lelaki berada dalam rumah mereka.

Setelah itu, mereka memasang kamera di seluruh rumah bagi merakamkan kejadian aneh itu dan memuat naikkan ia ke dalam YouTube. Antara fenomena yang terakam oleh kamera ialah pintu terhempas dengan sendiri, gambar lukisan itu jatuh dengan sendiri dan banyak lagi. Kini, Lukisan "The Anguished Man" itu disimpan di ruangan bawah tanah rumah keluarga itu.

9. Pakaian pengantin Anna Baker

baju pengantin anna baker

Pakaian pengantin yang dikatakan berpuaka ini disimpan di dalam sebuah bilik di rumah agam Baker yang dibina pada tahun 1849. Pakaian pengantin ini dikatakan milik kepada anak perempuan Elias Baker.

Anak perempuannya iaitu Anna Baker dikatakan telah jatuh cinta dengan seorang pekerja keluli tempatan namun bapanya melarang lelaki itu daripada mengahwini Anna kerana tidak setaraf dengan mereka. Sejak itu, Anna tidak dibenarkan menikahi lelaki itu sehingga dia meninggal dunia sebagai seorang anak dara lanjut usia pada tahun 1914.

Apabila rumah agam itu diubah menjadi sebuah muzium, sepasang persalinan gaun perkahwinan disimpan kerana ia dipercayai berhantu. Ramai pelawat muzium mendakwa mereka telah menyaksikan sendiri gaun perkahwinan itu menari atau bergerak-gerak di dalam rak kaca pameran. Dipercayai bahawa roh Anna telah menghantui gaun perkahwinan itu. Manakala penampakan Elias Baker dan Anna juga sering terjadi di sekitar rumah agam itu.

8 . Lukisan "The Crying Boy"

lukisan the crying boy

The Crying Boy adalah lukisan yang dihasilkan oleh pelukis Bruno Amadio yang dikeluarkan secara besar-besaran. Sejarah lukisan itu diedarkan secara meluas mula dikesan sejak tahun 1950-an. Terdapat banyak versi lukisan ini yang terdapat di pasaran yang memaparkan gambar seorang budak lelaki atau perempuan menangis. Dikhabarkan lukisan ini sebenarnya telah terkena 'sumpahan.'

Pada 4 September 1985, akhbar tabloid British The Sun melaporkan bahawa seorang ahli bomba mendakwa bahawa terdapat banyak lukisan ini seperti tidak berusik walaupun dijumpai di tengah-tengah abu rumah terbakar. Selama beberapa bulan selepas itu, The Sun dan tabloid lain mengeluarkan beberapa artikel mengenai kes kebakaran rumah yang dialami oleh pemilik lukisan-lukisan ini.

Steve Punt, iaitu seorang penulis dan pelawak British telah menjalankan beberapa siri penyiasatan tentang sumpahan lukisan budak lelaki menangis melalui sebuah rancangan radio BBC dipanggil "Punt PI" dengan membuat kajian tentang lukisan itu secara mendalam. Menerusi penyiasatannya yang dibuat di Building Research Establishment (sebuah organisasi yang mengelola makmal penyelidikan sains binaan di United Kingdom), dia membuat kesimpulan bahawa lukisan-lukisan ini telah dirawat menggunakan varnis mengandungi bahan kalis api.

Semasa kebakaran, tali penggantung adalah yang akan terlebih dahulu hangus apabila disambar api. Disebabkan itulah gambar jatuh terlangkup dan 'dilindungi' daripada api. Namun, tiada penjelasan diberikan bagi gambar yang tidak terjejas walaupun bahagian depannya menghala ke atas dan terdedah kepada kebakaran.

7. Lukisan "The Hands Resist Him"

lukisan the hands resist him

Lukisan The Hands Resist Him terkenal sebagai lukisan berhantu eBay. Ia dihasilkan oleh pelukis bernama Bill Stoneham pada tahun 1972, yang menggambarkan seorang budak lelaki dan perempuan berdiri di hadapan pintu kaca yang dipenuhi banyak tangan di belakangnya.

Lukisan itu menjadi terkenal kerana khabar angin yang tersebar di internet pada tahun 2000 apabila ia dijual di eBay dengan latar belakang mengenai lukisan itu yang dikatakan berpuaka. Menurut penjualnya, lukisan Bill Stoneham itu mempunyai sumpahan dan berhantu.

Malah, penjual itu juga mendakwa gambar dalam lukisan itu akan bergerak-gerak pada waktu malam serta keluar dari lukisan itu dan berlegar-legar dalam bilik pameran di mana lukisan itu ditempatkan. Penjual itu juga mendakwa lukisan budak lelaki itu sering keluar dari lukisan kerana takutkan pada lukisan kanak-kanak perempuan di sebelahnya.

Penjual lukisan itu juga memberitahu bahawa dia tidak akan bertanggungjawab ke atas segala liabiliti setelah lukisan itu dijual.

6. Cermin Ladang Myrtles

cermin ladang mrytles

Ladang Myrtles mempunyai sebuah rumah lama dan ia merupakah salah sebuah rumah bersejarah di Louisiana, Amerika Syarikat. Dibina pada tahun 1796 oleh Jeneral David Bradford, rumah di ladang ini dianggap sebagai salah sebuah rumah paling berhantu di Amerika Syarikat.

Menurut cerita, rumah itu dikatakan dibina di atas perkuburan kaum Indian Kuno Tunica dan dikatakan terdapat sebanyak 12 hantu yang sering berlegar-legar dan kelihatan di situ. Malah, sejak rumah itu dibina, dikatakan hampir 10 pembunuhan telah berlaku di situ.

Di dalam rumah itu, terdapat satu cermin yang dikatakan menyimpan roh kepada Sara Woodruff dan dua orang anaknya. Sara Woodruff merupakan isteri kepada Clarke Woodruff iaitu penjaga rumah ladang itu setelah kematian Jeneral David Bradford pada tahun 1808.

Menurut adat di sana, sekiranya berlaku sebarang kematian, cermin perlulah ditutup dengan kain. Namun begitu, ketika kematian Sara Woodruff dan dua orang anaknya, cermin di rumah ladang ini tidak ditutup dan telah memerangkap roh mereka di situ selamanya. Beberapa orang telah melaporkan melihat roh Sara dan tapak tangan pada cermin berhantu ini.

5. Peti sumpahan Hosea

peti sumpahan hosea

Lebih dari 150 tahun yang lalu, seorang lelaki bernama Jacob Cooley telah mengarahkan salah sorang hamba abdinya yang bernama Hosea untuk membina sebuah peti untuk anaknya yang bakal lahir. Namun begitu, peti berlaci yang siap dibina itu tidak menepati citarasa Jacob yang kemudiannya berang dan memukul Hosea sehingga mati.

Rakan-rakan Hosea yang lain ingin membalas dendam ke atas Jacob dan telah meminta bantuan seorang tukang sihir untuk menyumpah peti yang dibina oleh Hosea itu. Peti yang disumpah itu dikatakan telah menyebabkan lebih daripada 17 kematian ke atas mereka yang rapat dengan Jacob Cooley termasuk anak sulungnya sendiri.

Selepas itu, sumpahan pada peti itu telah dibatalkan oleh seorang ahli sihir yang lain dan kini ia dipamerkan di Muzium Sejarah Kentucky, Amerika Syarikat.

4. Kotak Dibbuk

kotak dibbuk

Kotak Dibbuk ini pada asalnya adalah sebuah kotak milik Kevin Mannis untuk menyimpan wain tetapi mengandungi roh Dibbuk. Dibbuk atau Dybbuk adalah satu roh jahat dalam mitologi yahudi yang dikenali selalu merasuk dan mengganggu manusia yang masih hidup.

Kotak ini menjadi terkenal apabila ia dilelong oleh Kevin Mannis di dalam eBay beserta cerita menakutkan mengenainya. Menurut Mannis, kotak ini pada asalnya milik seorang mangsa Holocaust yang terselamat bernama Havela. Havela membeli kotak ini di Sepanyol sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat.

Pada mulanya, Mannis ingin memulangkan kotak ini kepada cucu Havela namun ditolak. Cucunya mendakwa nenek mereka hanya menyimpan kotak ini dalam bilik menjahitnya sahaja dan tidak pernah dibuka kerana roh Dibbuk yang ada di dalamnya.

Mannis kemudiannya membuka kotak itu dan mendapati ianya mengandungi beberapa objek seperti dua duit syiling tahun 1920-an, beberapa jenis rambut yang diikat tali, satu patung kecil yang diukir perkataan "Shalom", sebuah piala wain kecil, kelopak bunga kering dan tapak lilin dengan kaki berbentuk sotong kurita.

Mannis memberitahu bahawa dia sering mengalami mimpi buruk ketika kotak itu berada dalam simpanannya. Ibunya pula mengalami strok pada hari yang sama dia memberikan kotak itu sebagai hadiah harijadi ibunya.

Kebanyakan pemilik lain kotak ini pula mendakwa kotak itu sering mengeluarkan bau seperti air kencing kucing atau bau bunga melati dan juga diikuti dengan mimpi buruk melibatkan seorang lelaki tua yang mendakwa sebagai penjaga kotak ini.

Iosif Neitzke, seorang pelajar dari Missouri dikenali sebagai pemilik terakhir yang melelong kotak ini di eBay. Neitzke mendakwa bahawa kotak ini telah menyebabkan banyak lampu di rumahnya meletup dengan tiba-tiba dan rambutnya gugur.

Jason Haxton, Pengarah Muzium Perubatan Osteopathic di Kirksville, Missouri yang aktif mengikuti blog Neitzke, mendakwa bahawa Neitzke telah jatuh sakit dan mempunyai beberapa masalah kesitahan lain seperti radang, batuk berdarah dan banyak lagi.

Akhirnya Haxton telah mengambil kotak itu dan menyembunyikannya di satu tempat rahsia dan dia tidak mahu mendedahkan lokasi kotak itu disimpan sehingga kini. Kotak Dibbuk ini malah pernah menjadi inspirasi untuk satu filem seram pada tahun 2012 iaitu The Possession.

3. Cincin Valentino

cincin rudolph valentino

Rudolph Valentino adalah seorang pelakon Amerika kelahiran Itali yang terkenal dan telah membintangi tujuh filem senyap sepanjang kariernya. Sebelum dua filem terakhirnya, dia telah terjumpa sebuah cincin perak dihiasi batu berharga di sebuah kedai barang kemas di San Fransisco. 

Valentino berminat untuk membeli cincin tersebut namun diberitahu oleh penjual kedai itu bahawa cincin itu mempunyai sumpahan. Ini membuatkan Valentino lebih tertarik untuk memiliki cincin itu dan segera membelinya.

Dia kemudian memakai cincin yang baru dibelinya itu semasa penggambaran filem "The Young Rajah" tetapi filem itu ternyata gagal mendapat sambutan. Valentino juga memakai cincin yang disumpah itu ketika berlakon dalam filem terakhirnya iaitu "The Son of the Sheik". Tidak lama selepas pengambaran itu, Valentino meninggal dunia akibat radang usus ketika masih lagi memakai cincin itu.

Cincin itu kemudian diserahkan pula kepada pelakon Pola Negri yang merupakan sahabat baik Valentino. Negri pula telah jatuh sakit tidak lama selepas itu namun berjaya pulih. Dia kemudiannya menyerahkan cincin itu kepada seorang penyanyi muda iaitu Ross Colombo yang selepas itu mati dalam kejadian tembak-menembak.

Kawan kepada Colombo iaitu Joe Casino pula menjadi pemilik cincin itu yang seterusnya dan menyimpan cincin itu dalam sebuah bekas kaca. Joe Casino yang sangat teringin memakai cincin itu namun tidak kesampaian apabila terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya sejurus selepas memilikinya. 

Adik kepada Joe Casino iaitu Del memiliki cincin itu setelah kematian abangnya dan menyimpannya dalam peti besi. Seorang lelaki bernama James Willis telah merompak peti besi itu dan ditembak mati oleh seorang anggota polis ketika cincin itu masih berada dalam koceknya.

Seorang pengarah filem kecil-kecilan iaitu Edward Small telah meminjam cincin itu daripada Del untuk digunakan dalam penggambaran filem arahannya mengenai kehidupan bintang Rudolph Valentino, namun seorang krew bernama Jack Dunn telah memakai cincin itu di set penggambaran meninggal dunia tidak lama selepas itu akibat penyakit darah yang jarang berlaku. Sekarang, cincin itu berada di dalam peti deposit sebuah bank di Los Angeles.

2. Kerusi Thomas Busby

kerusi thomas busby

Kerusi berpuaka yang dimaksudkan ini adalah kerusi kegemaran Thomas Busby yang bekerja di sebuah bar tempatan di North Yorkshire, United Kingdom. Pada tahun 1702, Busby telah disabitkan bersalah atas pembunuhan bapanya mertuanya sendiri iaitu Daniel Auty.

Busby dikatakan telah mencekik bapa mertuanya sehingga mati kerana duduk di kerusi kegemarannya setelah bergaduh dengan anak perempuannya yang merupakan isteri kepada Busby. Sebelum dia dibawa ke tempat di akan dikenakan hukuman gantung, Busby telah singgah di bar tempat dia bekerja dan telah melakukan kutukan atau sumpahan pada kerusi kegemarannya itu.

Dia mendakwa bahasa sesiapa sahaja yang duduk di kerusinya itu akan dihantui olehnya dan mati dalam keadaan perlahan-lahan. Selama beratus tahun lamanya kerusi itu kekal di bar itu. Ramai juga orang yang berani duduk di kerusi itu sebelum pergi berperang ketika Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1967, dua orang juruterbang Angkatan Tentera Udara telah duduk di kerusi itu. Semasa memandu pulang, kenderaan mereka terbabas dan merempuh sebuah pokok dan kedua-dua tentera itu mati di tempat kejadian.

Beberapa tahun selepas itu, dua orang pekerja buruh memutuskan untuk duduk di kerusi yang disumpah itu. Pada petang itu juga salah seorang dari mereka telah terbunuh ketika jatuh semasa bekerja. Banyak lagi kematian yang dikaitkan dengan kerusi milik Thomas Busby ini.

Kini, "Kerusi Kematian" ini ditempatkan di sebuah muzium tempatan di Thirsk, England. Pihak muzium telah memastikan ianya adalah mustahil bagi pengunjung untuk cuba duduk di kerusi ini agar mengakhiri "pembunuhan" akibat sumpahan yang ada padanya.

1. Anak patung Annabelle

anak patung annabelle

Annabelle adalah sebuah anak patung yang diperbuat daripada kain dan dikatakan sebagai objek paling berhantu di dunia. Kini, ia ditempatkan di Muzium Occult Warren di Monroe, Connecticut. Anak patung Annabelle ini juga telah mengilhamkan banyak filem seram antaranya seperti The Conjuring dan Annabelle. 

Menurut pasangan pakar paranormal iaitu Ed dan Lorraine Warren, anak patung ini telah diberikan kepada seorang pelajar kejururawatan pada sekitar tahun 1970-an. Pasangan psikik ini juga mendakwa anak patung ini didiami oleh roh seorang gadis yang sudah mati bernama Annabelle Higgins.

Pada mulanya, jururawat itu dan rakan sebiliknya menjaga anak patung ini namun menjadi takut setelah mendakwa anak patung itu berkelakuan aneh tidak lama selepas itu. Mereka menghubungi pasangan Warrens yang kemudiannya membawa anak patung itu balik ke muzium mereka dan mendakwa anak patung itu mempunyai kuasa merasuk.

Pasangan Warren telah menempatkan anak patung Annabelle itu di dalam sebuah bekas kaca untuk dipamerkan di muzium itu. Seorang penunggang motosikal bersama teman wanitanya telah melawat muzium itu telah mengejek patung itu sebagai karut walaupun telah diberi amaran oleh Ed.

Ketika perjalanan pulang mereka dari muzium itu, pasangan itu telah terbabas lalu melanggar sebuah pokok dan mati dengan serta-merta. Pasangan Warren mendakwa bahawa anak patung Annabelle itu yang bertanggungjawab atas kematian penunggang motosikal itu dan pasangannya.

Banyak lagi kisah menyeramkan mengenai anak patung Annabelle ini walaupun ada sesetengah pengkaji mendakwa ianya hanyalah cerita rekaan pasangan Warren semata-mata.




Hakcipta iluminasi.com (2017)