mitos tentang kereta yang masih dipercayai

Penciptaan kereta adalah antara salah satu detik paling penting dalam sejarah manusia. Bukan sahaja kita mempunyai cara baru untuk bergerak dengan selesa, ia akhirnya membawa kepada penghasilan kenderaan yang lebih kompleks seperti trak dan lori.

Kereta adalah salah satu sebab di sebalik kemajuan pesat kemanusiaan sejak abad yang lalu, kerana ia membolehkan kita sampai ke tempat yang mana tidak boleh dibawa oleh pengangkutan sebelumnya.

Walaupun tidak dapat dihitung berapa banyak kereta yang digunakan pada hari ini, namun ramai daripada kita yang masih tak tahu bagaimana ia berfungsi.

Dan ini membuatkan ramai yang percaya perkara karut dan mitos tentang kereta serta perkara berkaitan dengannya secara membabi buta.

iluminasi.com kongsikan 5 mitos mengarut tentang kereta yang masih dipercayai hingga kini.

1. Panaskan kereta waktu pagi terlalu lama

mitos panaskan kereta waktu pagi

Ini bukannya mitos tetapi tidak lagi begitu relevan pada di kebanyakan tempat di dunia.

Semasa musim sejuk di luar negara, ramai orang akan menghidupkan kereta mereka pada waktu pagi dan dibiarkan beberapa minit sebelum ia dipandu. 

Hal ini juga dilakukan oleh kita di Malaysia pada waktu pagi. Seperti yang diketahui, ia dilakukan kerana kereta perlu dipanaskan sebelum dipandu dan jika tidak, ia berisiko mengurangkan hayat enjin.

Walaupun ia benar satu ketika dahulu, namun kini tidak lagi bagi kereta moden.

Logik di sebalik pemanasan adalah bahawa enjin memerlukan sedikit masa untuk melaraskan pengambilan petrol mengikut suhu, yang mana adalah benar bagi kereta yang masih mempunyai karburetor.

Sebaliknya, kereta moden dipasang beberapa variasi suntikan bahan api, yang mempunyai sensor yang mengawal jumlah gas yang diperlukan untuk suhu semasa.

Pemanasan sebenarnya membahayakan enjin dan memendekkan hayat enjin dengan mengurangkan minyak dari silinder dan omboh enjin.

Jika anda ingin memandu, cukup sekadar menghidupkan enjin tak lebih dari 30 saat dan kemudian memandu.

2. Transmisi manual lebih cekap bahan api

mitos transmisi manual lebih jimatkan minyak

Kebanyakan daripada kita sebenarnya lebih sukakan kereta transmisi automatik berbanding manual.

Namun, transmisi manual mempunyai peminatnya sendiri dan salah satu sebab utamanya adalah kecekapan bahan bakar di mana transmisi ini dipercayai lebih efisyen.

Walaupun terdapat banyak faktor yang memainkan peranan penting dalam memilih kereta, namun kepercayaan ini masih mempengaruhi keputusan seseorang walaupun ia sebenarnya tidak tepat.

Walaupun transmisi manual pada masa lalu lebih efisien pada kelajuan rendah (kerana automatik selalu dalam gear, berbanding dengan manual yang kadang-kala neutral), hal ini tidak lagi berlaku.

Disebabkan oleh perkembangan teknologi, kereta automatik adalah sangat cekap dalam penggunaan bahan api.

Malah, transmisi automatik adalah lebih cekap pada kelajuan yang lebih tinggi, kerana enjin kereta tidak perlu bekerja keras hasil daripada jumlah gear yang lebih banyak.

Namun masih ramai yang lebih memilih untuk membeli kereta transmisi manual oleh kerana harganya yang lebih murah dan pilihan peribadi.

3. Tukar minyak enjin setiap 5,000 kilometer

mitos tukar minyak enjin setiap 5000 kilometer

Kepercayaan bahawa anda perlu menukar minyak enjin selepas sejumlah kilometer boleh ditemui di seluruh dunia. Jika begitu ramai yang percaya, ia mestilah benar, kan?

Sebenarnya, penyokong utama kepercayaan ini adalah perniagaan yang mendapat untung daripadanya. Mitos ini begitu meluas sehingga ia memiliki laman Wikipedia sendiri.

Hakikatnya, anda tidak perlu menukar minyak enjin kereta dengan kerap. Had yang disyorkan untuk menukar minyak berbeza mengikut pengeluar kereta, walaupun ia biasanya dilakukan sekitar 12,000 km.

Sesetengah kereta, seperti BMW, hanya memerlukan penukaran minyak setiap 24,000 km. Perkara yang wajar dilakukan ialah hanya merujuk kepada manual kereta anda. 

4. Guna telefon bimbit di stesen minyak boleh sebabkan letupan 

mitos guna telefon bimbit di stesen minyak sebabkan letupan

Ini bukan sahaja dipercayai secara meluas tetapi juga disokong dengan adanya tanda amaran di semua stesen minyak.

Teorinya ialah apabila telefon bimbit bersambung ke menara yang berdekatan, entah bagaimana ia akan membuat wap gas disambar api.

Walaupun kita tidak pasti dari mana teori ini berasal, ia tentu tidak mempunyai asas dalam sains. Tidak ada kes telefon bimbit yang menyebabkan kebakaran dalam sejarah stesen minyak.

Terdapat satu kejadian di mana telefon pelajar berusia 21 tahun dianggap bertanggungjawab untuk satu kebakaran. Namun, selepas pemeriksaan selanjutnya, mereka menyedari bahawa kebakaran itu disebabkan oleh perkara lain.

Walaupun ia merupakan idea yang baik untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika mengisi minyak, namun menggunakannya tidak boleh menyebabkan kebakaran di stesen minyak.

5. Isi minyak waktu pagi lebih menjimatkan 

mitos isi minyak waktu pagi lebih jimat

Ini mungkin mitos yang paling mengarut dan masih dipercayai hingga ke hari ini. Ramai yang percaya bahawa mengisi minyak pada waktu pagi akan lebih menjimatkan wang anda.

Ini juga mungkin penyebab kepada mengapa orang ramai bersesak-sesak untuk mengisi minyak pada waktu pagi.

Logik yang dipercayai oleh orang ramai adalah kerana disebabkan cuaca lebih sejuk pada waktu pagi, minyak menjadi lebih padatmembuatkan anda memperoleh minyak yang lebih banyak.

Walaupun ia kedengarannya seperti tepat secara saintifik, hakikatnya adalah sebaliknya. Ini kerana gas disimpan dalam tangki bawah tanah di bawah stesen di mana suhunya adalah konsisten.

Rujukan:

1. Consumer Reports

2. NY Daily

3. USA Today

4. Popular Mechanics



Hakcipta iluminasi.com (2017)