Ujian air kencing terbukti boleh terjadi false positive dan false negative seperti kes Uqasha terdahulu

Pasti ada di antara kita yang pernah mengalami situasi di mana anda harus kencing dalam cawan kecil. Sesetengah daripadanya melalui ujian air kencing sebelum memulakan kerja di tempat baru.

Akan tetapi, ujian ini bukanlah 100% tepat di mana bahan-bahan dalam badan yang tidak berbahaya biasanya boleh membuatkan anda kelihatan positif dadah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com kongsikan 9 benda yang boleh membuatkan anda "kantoi" ujian air kencing.

1. Teh koka

teh koka

Bagi yang tak tahu, minum teh koka boleh membawa kepada hasil positif palsu bagi dadah kokain.

Teh ini popular di Amerika Selatan dan diperbuat daripada daun tumbuhan koka, sumber yang sama dari mana kokain diperolehi.

Dalam kajian tahun 2006, 5 orang minum teh koka sebelum menjalani ujian dadah. Semua peserta diuji positif untuk metabolit kokain 2 jam selepas meminum teh ini, dan tiga peserta masih diuji positif kokain selepas 36 jam.

Para penyelidik menyimpulkan bahawa "pihak penjagaan kesihatan profesional harus mempertimbangkan sejarah pengambilan teh koka ketika menafsirkan hasil toksikologi air kencing."

2. Ubat selsema

ubat selsema

Sesetengah ubat selsema yang dijual di farmasi mengandungi bahan yang boleh menyebabkan hasil positif palsu terhadap dadah amphetamines. 

Sebagai contoh, bahan seperti brompheniramine, yang merupakan antihistamin dalam beberapa ubat-ubatan selsema dan alergi.

Ini boleh mengganggu ujian untuk methamphetamine, yang membawa kepada keputusan positif palsu, menurut kajian kajian 2010.

Dan pada satu ketika dahulu, penggunaan penyedut hidung Vick's Inhaler menyebabkan hasil positif palsu untuk amphetamine, menurut kajian kajian 2008.

Inhaler Vick mengandungi levomethamphetamine, yang merupakan "imej cermin" kimia kepada methamphetamine.

Walau bagaimanapun, ujian dadah terbaru dapat membezakan antara methamphetamine dan bahan kimia dalam penyedut Vick, jadi produk ini tidak lagi menjadi penyebab hasil ujian positif palsu.

3. Asap rokok ganja

asap ganja

Dalam kes-kes yang teruk, berada di dalam bilik dengan seseorang yang menghisap ganja boleh menyebabkan keputusan positif terhadap ujian marijuana, menurut kajian pada tahun 2015.

Dalam penyelidikan itu, 6 orang menghisap ganja dalam ruang tertutup, manakala 6 orang yang tidak merokok duduk di sebelah mereka.

Selepas 1 jam, beberapa orang yang tidak merokok yang diuji positif ganja dalam ujian sensitif yang dapat mengesan tetrahydrocannabinol, atau THC (bahan aktif dalam ganja), pada kepekatan 20 hingga 50 nanogram per mililiter.

Para penyelidik menyimpulkan bahawa "Keputusan ini menunjukkan bahawa pendedahan asap ganja yang melampau boleh menghasilkan ujian air kencing yang positif pada konsentrasi maksium yang biasa digunakan."

Walau bagaimanapun, para penyelidik menyatakan bahawa ujian positif seperti ini dalam dunia sebenar sememangnya jarang berlaku, kerana ujian perlu dilakukan dalam masa beberapa jam pendedahan terhadap asap ganja, dan orang yang tidak merokok mungkin menyedari bahawa mereka telah terdedah kepada asap rokok ganja.

4. Antibiotik

antibiotik

Antibiotik tertentu, termasuk rifampin dan fluoroquinolones, boleh menyebabkan keputusan positif palsu untuk opiat.

Dalam satu kes yang dilaporkan pada tahun 2002, seorang budak lelaki berusia 7 tahun di Lubnan yang melawat bilik kecemasan diuji positif terhadap opiat.

Walau bagaimanapun, hasil tersebut kemudiannya dibatalkan setelah pihak perubatan memutuskan bahawa rifampin yang diambil kanak-kanak tersebut menganggu ujian yang dibuat. 

5. Sabun bayi

sabun bayi

Sabun tertentu yang digunakan di hospital untuk memandikan bayi sejurus selepas kelahiran boleh menyebabkan bayi diuji positif ganja, menurut kajian 2012.

Ujian sedemikian dilakukan untuk menentukan sama ada ibu tersebut menggunakan dadah semasa hamil.

Pekerja penjagaan kesihatan mendapati bahawa bayi yang dibasuh dengan sabun ini, termasuklah Johnson & Johnson's Head-to-Toe Baby Wash, J&J Bedtime Bath, CVS Night-Time Baby Bath, Aveeno Soothing Relief Creamy Wash and Aveeno Wash Shampoo, memberikan hasil positif dalam ujian untuk THC, sebatian aktif dalam ganja. 

Para penyelidik dalam kajian itu mengatakan mereka tidak pasti mengapa sabun menyebabkan positif palsu ganja.

Mungkin sebilangan sebatian di dalam sabun mempunyai struktur yang sama seperti THC, atau mungkin bahan kimia di dalam sabun mengubah cara kerja ujian, kata para penyelidik.

Dan bagi persoalan bagaimana sabun masuk ke dalam sampel air kencing, para penyelidik mengesyaki bahawa sisa sabun pada kulit bayi termasuk ke dalam sampel air kencing bayi.

6. Ibuprofen

ibuprofen

Mengambil ubat anti-radang tanpa steroid, seperti ibuprofen boleh membawa kepada keputusan positif palsu untuk beberapa jenis dadah. Akan tetapi, kes-kes seperti ini jarang berlaku.

Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 1990, 60 orang mengambil ibuprofen pada dos yang berbeza (dos tunggal 400 mg sehari, tiga dos 200 mg sehari atau tiga dos 400 mg sehari, bergantung kepada kumpulan eksperimen mereka).

Seorang pesakit yang mengambil dos tertinggi ibuprofen iaitu sebanyak 1,200 mg sehari, diuji positif untuk cannabinoid, sebatian dalam ganja.

Pesakit lain diuji positif untuk barbiturat, yang digunakan dalam ubat-ubatan anti-kegelisahan atau ubat tidur. Para peneliti menyimpulkan bahawa hasilnya menunjukkan kemungkinan kecil berlakunya hasil positif palsu setelah mengambil ibuprofen.

7. Air tonik

air tonik

Air tonik mengandungi sejumlah kecil kuinina, ubat yang digunakan untuk mengubati malaria.

Kuinina juga kadang-kadang bercampur dengan dadah jalanan, dan oleh itu ia boleh menjadi penunjuk kepada penggunaan dadah haram.

Dalam kajian tahun 1989, penyelidik dari Universiti Brown di Rhode Island melaporkan bahawa keputusan positif pada ujian air kencing untuk kuinina dihasilkan daripada penggunaan air tonik dalam minuman campuran.

8. Ubat HIV

ubat hiv

Ubat antiviral yang digunakan untuk merawat HIV juga boleh menyebabkan ujian air kencing positif untuk ganja.

Sebagai contoh, pada tahun 2006, penyelidik melaporkan penemuan menarik dari kajian terhadap 24 orang yang mengambil ubat efavirenz (nama jenama Sustiva).

Pada awal kajian, semua peserta diuji negatif untuk THC. Tetapi setelah mengambil efavirenz, mereka semua diuji positif THC.

Penyelidik mengatakan bahawa efavirenz boleh mengganggu cara ujian berfungsi.

9. Biji kaskas

biji kaskas

Biji kaskas secara semulajadi mengandungi sebatian morfin dan kodeina, dan penggunaan sebilangan produk dengan biji kaskas dapat mencetuskan hasil positif palsu untuk dadah-dadah ini.

Dalam satu kajian pada tahun 1987, 5 orang ahli makmal telah menghasilkan biskut yang mengandungi kira-kira 1 sudu teh (5 mililiter) inti kaskas yang mereka beli dari kedai runcit.

2 jam selepas makan beberapa keping biskut tersebut, semua ahli makmal diuji positif untuk opiat. Kepekatan dadah adalah lebih besar daripada 300 ng/mL, yang merupakan jumlah minimum yang digunakan oleh ujian tersebut.

Rujukan:

1. Livescience

2. Journals

3. NCBI




Hakcipta iluminasi.com (2017)