demam sepanyol 1918

Wabak atau penyakit berjangkit adalah antara pembunuh paling kejam dalam sejarah manusia. Pembunuh senyap ini tidak mengenal mangsa dan merentas ke seluruh sempadan antarabangsa.

Sebagai contoh, wabak cacar sahaja telah membunuh antara 300-500 juta nyawa sepanjang sejarah kewujudannya selama 12,000 tahun. Kali ini, iluminasi.com ingin membawakan kepada anda senarai wabak yang memakan korban nyawa paling banyak dalam sejarah moden.

8. Wabak Demam Rusia (1889-1890)

Jumlah Kematian : 1,000,000+

wabak demam rusia

Pada peringkat awal, wabak ini dikenali sebagai Demam Asia atau Demam Rusia dan ia berpunca daripada penyebaran virus Influenza A subjenis H2N2. Namun, baru-baru ini penemuan terbaru mendapati penyebabnya adalah sebagai virus Influenza A subjenis H3N8.

Kes pertama dilaporkan berlaku pada Mei 1889 di tiga lokasi berbeza iaitu di Bukhara di Asia Tengah (Turkestan), Athabasca di barat laut Canada dan Greenland. Pertumbuhan populasi pada abad ke-19 terutamanya di kawasan bandar memudahkan lagi wabak ini tersebar.

Tidak begitu lama selepas itu, wabak ini tersebar ke seluruh dunia. Walaupun ia adalah wabak pertama dalam era bakteriologi dan banyak yang dipelajari mengenainya, wabak ini telah mengorbankan lebih daripada satu juta nyawa.

7. Wabak Demam Hong Kong (1968)

Jumlah Kematian : 1,000,000+

wabak demam hong kong asia h3n2

Wabak Demam Selsema yang dikenali sebagai Wabak Kategori 2 ini juga kadang-kadang dipanggil sebagai "Demam Hong Kong". Wabak ini tersebar pada tahun 1968 disebabkan oleh virus Influenza A subjenis H3N2 (cabang dari H2N2).

Kes pertama wabak ini dilaporkan pada 13 Julai 1968 di Hong Kong. 17 hari kemudian, wabak ini dilaporkan sudah merebak ke Singapura dan Vietnam. Dalam tempoh tiga bulan berikutnya, wabak ini telah tersebar ke Filipina, India, Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Walaupun Wabak Demam Selsema 1968 ini mempunyai kadar kematian rendah (0.5%) di kalangan pesakit, ia mengorbankan lebih daripada sejuta nyawa. Ini termasuk 500,000 penduduk Hong Kong iaitu kira-kira 15 peratus populasi pulau itu.

6. Wabak Taun Keenam (1899–1923)

Jumlah kematian : 1,300,000+

wabak taun vibrio cholerae

Seperti lima wabak taun yang berlaku sebelumnya, Wabak Taun Keenam ini bermula di India di mana ia telah membunuh lebih dari 800,000 orang sebelum tersebar ke Timur Tengah, Afrika Utara, Eropah Timur dan Rusia.

Wabak Taun Keenam ini juga merupakan penyakit Taun terakhir di Amerika Syarikat. Pihak berkuasa kesihatan di Amerika telah belajar daripada kes-kes sebelum ini dan berusaha dengan pantas mengasingkan pesakit yang dijangkiti.

Wabak ini juga telah membunuh lebih 200,000 orang di Filipina termasuklah wira revolusi dan Perdana Menteri pertama mereka Apolinaro Mabini. Selain itu, wabak ini juga meletuk sebanyak 27 kali ketika musim haji di Mekah selama 30 tahun.

5. Wabak Taun Ketiga (1846–1860)

Jumlah kematian : 2,000,000+

wabak taun ketiga 872

Umumnya Wabak Taun Ketiga ini dianggap sebagai salah satu paling dahsyat antara ketujuh-tujuh wabak Taun yang berlaku. Wabak yang meletus pada kurun ke-19 ini berlanjutan sehingga hampir 15 tahun lamanya.

Sama seperti wabak taun lain, Wabak Taun Ketiga ini bermula di India dan tersebar melalui Sungai Ganges ke seluruh Asia, Eropah, Amerika Utara dan Afrika.

Rusia antara negara paling teruk terjejas dengan kematian melebihi 1 juta orang. Di Tokyo sahaja, penyakit ini mengorbankan sekitar 100,000 hingga 200,000 nyawa manakala di Sepanyol ia mengorbankan sehingga 236,000 orang.

4. Demam Asia (1956-1958)

Jumlah kematian : 2,000,000+

demam asia

Demam Asia adalah wabak Influenza A dari subjenis H2N2 yang berasal dari China. Wabak yang bermula pada tahun 1956 ini berlarutan sehingga 1958 dan dianggap antara wabak demam paling teruk pada abad ke-20.

Dalam tempoh dua tahun, Demam Asia ini tersebar dari wilayah Guizhou di China ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat. Kebanyakan jangkitan wabak ini dilaporkan berlaku ke atas kanak-kanak, orang tua dan wanita mengandung.

Anggaran kematian akibat wabak in berbeza-beza bergantung pada sumbernya. Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia membuat perhitungan akhir dengan kira-kira melebihi 2 juta kematian dan 70,000 daripadanya berlaku di Amerika Syarikat.

3. Wabak HIV/AIDS (Kemuncak 2005-2012)

Jumlah kematian : 36,000,000

wabak hiv aids penyakit berbahaya

Wabak terkenal ini kali pertama dikenal pasti bermula di Republik Demokratik Congo pada tahun 1976. Wabak HIV atau AIDS ini terbukti sebagai wabak global apabila mengakibatkan lebih daripada 36 juta kematian sejak tahun 1981.

Kini, terdapat kira-kira 31 hingga 35 juta orang hidup dengan HIV dan kebanyakannya berada di Afrika Sub-Sahara dengan 5 peratus populasinya dijangkiti (kira-kira 21 juta orang).

Apabila kesedaran mengenai wabak ini semakin meluas, rawatan-rawatan moden telah dibangunkan dan menjadikan HIV lebih mudah diurus. Kini, kebanyakan mereka yang menghidap HIV atau AIDS meneruskan kehidupan yang lebih produktif. Pada tahun 2005 hingga 2012, terdapat sebanyak 2.2 juta kematian setiap tahun berkaitan wabak ini dilaporkan.

2. Wabak Demam Sepanyol (1918-1920)

Jumlah kematian: sehingga 50,000,000

wabak demam selsema 1918

Antara tahun 1918 hingga 1920, satu wabak maut telah tular ke seluruh dunia. Ia telah menjangkiti lebih kurang satu pertiga penduduk dunia dan mengorbankan sehingga 50 juta nyawa.

Daripada 500 juta orang yang dijangkiti wabak demam selsema itu, dianggarkan sekitar 25 juta orang telah meninggal dunia dalam enam bulan pertama sahaja.

Wabak Demam Selsema 1918 berbeza dengan wabak demam-demam lain. Biasanya, wabak demam selsema lain akan mengorbankan banyak kanak-kanak, orang tua dan pesakit yang sudah lemah. Namun, Wabak Demam Selsema 1918 ini pula mengorbankan banyak golongan dewasa yang sihat tetapi kanak-kanak dan orang tua yang lemah sistem imun terselamat.

1. Cacar (Abad ke-20)

Jumlah kematian : 300 hingga 500 juta

wabak cacar air kanak kanak berbahaya

Pada abad ke-20 sahaja, dianggarkan bahawa penyakit cacar telah menyebabkan sehingga 300-500 juta kematian. Wabak ini juga telah mengakibatkan ratusan juta yang lain terkorban pada abad-abad sebelumnya sejak ia dikesan ribuan tahun yang lalu pada mumia yang ditemui di Mesir.

Pada awal tahun 1950-an, kira-kira 50 juta kes cacar berlaku di seluruh dunia setiap tahun. Pada tahun 1967, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan bahawa 15 juta orang menghidap cacar dan lebih daripada dua juta mati pada tahun itu sahaja.

Selepas kempen suntikan vaksin anti-cacar yang berjaya sepanjang abad ke-19 dan 20, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesahkan bahawa penyakit cacar telah dihapuskan di seluruh dunia pada Disember 1979.

Rujukan:

1. Virus paling membunuh

2. Penyakit berjangkit terburuk dalam sejarah

3. Wabak paling banyak korban



Hakcipta iluminasi.com (2017)